suria

Fuh, macam filem pasca perang dan bencana! Pemuda panik terperangkap dalam mall waktu malam... masuk terang, nak keluar gelap gelita

Pemuda ini terperangkap di dalam pasar raya tanpa disedarinya.

SEPERTI babak dalam sebuah filem!

Bayangkan satu situasi di mana anda hanya keseorangan di dalam sebuah pasar raya yang tersergam luas dan semua kedai di dalamnya sudah ditutup.

Begitulah suasana yang perlu dihadapi pemuda ini apabila dia memasuki sebuah pusat beli-belah dan mendapati dirinya terperangkap di bahagian dalam dengan sekelilingnya sunyi sepi.

Dikenali sebagai Aiman Shafiee, 26, dia berkata sebelum kejadian perutnya meragam dan perlu segera menggunakan tandas.

"Saya dengan kawan-kawan berbuka dekat satu kedai mamak di sebelah pasar raya Mydin di Sandakan, Sabah. Dah selesai iftar kami pun lepak sampai ke malam.

"Saya pula kebetulan hari tu seharian memang perut asyik memulas je. Mungkin waktu sahur ada tersalah makan sambal yang pedas.

ARTIKEL BERKAITAN: [V] “Rasa macam jatuh ke bawah” - Wanita cuma ingat mati sejam setengah terperangkap dalam lif, sedih pakcik tua pengsan depan mata

ARTIKEL BERKAITAN: [V] Anak cemas terperangkap banjir di tempat kerja, bapa janji cari jalan datang jemput! Misi berjaya walau diuji kereta tersangkut di longkang

"Bila dah hujung waktu kami lepak tu, tiba-tiba perut saya memang nak kena membuang, saya pun bergegas pergi ke tandas dekat dalam pasar raya Mydin sebelah tu.

"Waktu saya tengah berjalan masuk Mydin tu nampak mereka semua tengah prepare nak tutup tapi saya tak kisah sangat sebab lagi fokus nak ke tandas," kata Aiman ketika dihubungi mStar.

Walaupun begitu, ketika Aiman sedang berada di dalam tandas, tiba-tiba berlaku satu insiden yang boleh dikatakan menyeramkan dan pada masa yang sama melucukan.

Saya waktu tu cemas sedikit, duduk risau kalau ada zombie keluar dari sebalik sudut bangunan Mydin ni kejar saya.

AIMAN SHAFIEE

"Saya dalam tandas tu lama sebab duduk melayan je perut yang asyik buat hal ni. Dalam 10 minit hingga setengah jam juga.

"Tiba-tiba lampu di dalam bilik air tu terpadam. Saya mula panik, mula-mula saya ingatkan kawan-kawan nak kenakan saya, saya pun gelak macam tu je la.

"Gelap gelita jadi bilik air tu, saya terpaksa buka lampu suluh dari phone saya. Saya cepat selesaikan urusan dan pakai seluar semua untuk segera tinggalkan tandas tu. Perut masih sakit lagi sebenarnya.

"Tapi bila saya keluar dari tandas tu terus menyirap darah saya, lengang dah Mydin dengan tak ada siapa pun dalam tu," ujar Aiman kebuntuan.

Aiman berjaya keluar setelah bantuan dari pengawal keselamatan pasar raya tiba.

Perkara pertama yang terlintas dalam fikiran Aiman pada ketika itu adalah situasinya mirip seperti dalam sebuah filem pasca-perang dan bencana.

"Bila nampak keadaan kosong, kedai tutup, tirai besi dekat entrance tu dah kunci, saya waktu tu cemas sedikit, risau kalau ada zombie keluar dari sebalik sudut bangunan ni kejar saya.

"Saya ligat fikir macam mana saya boleh tak perasan premis ni nak tutup sebab biasanya akan ada announcement dari pasar raya yang beritahu kata dah nak tutup.

"Mungkin saya dalam tandas tu terasing dari dunia luar terus tak perasan announcement tu. Saya cuba cari kalau ada mana-mana pintu kecemasan yang saya boleh gunakan untuk keluar, tapi tak ada, semuanya dah berkunci.

Aiman bersama rakan-rakannya.

"Saya pun call kawan saya yang dekat kedai mamak sebelah tu minta tolong. Mereka gelakkan dulu saya lepas tu baru pergi cari pengawal keselamatan untuk tolong bukakan pintu," cerita Aiman.

Aiman akhirnya berjaya 'diselamatkan' dan insiden itu menjadi bahan jenaka setiap kenalannya untuk minggu-minggu yang mendatang.

"Bila kawan-kawan dah tolong panggilkan, pengawal keselamatan tu pun datang bukakan entrance.

Keadaan di dalam pasar raya yang lengang.

"Sementara tunggu tu saya rakam video untuk kenangan, sebab saya boleh katakan jarang sekali untuk orang terjebak macam dalam situasi saya ni. Tak sangka bila upload dekat TikTok dapat sambutan pula.

"Bila pengawal keselamatan buka entrance tu saya terus dengar gelak tawa kawan-kawan saya. Tak pernah tercapai dek akal ada orang boleh terperangkap dalam pasar raya. Saya jadi 'bahan' lawak dalam circle kawan saya.

"Jadi dekat sini saya nak pesan kalau rasa nak membuang waktu dah lewat malam, pergi la cari stesen minyak yang 24 jam untuk guna tandas mereka. Jangan guna pasar raya nanti jadi macam saya," kata Aiman menutup bicara.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain