SEORANG wanita dikenali sebagai Cik Salmah meraih perhatian netizen kerana masih gigih berniaga cendol pada usia 63 tahun. Menurut anaknya Nur Shaliza Baharuddin, 30, yang senang disapa Anje, dia sendiri turut mengagumi kekuatan ibunya yang tidak jemu berniaga sejak tahun 1980-an. "Mak berniaga cendol sejak saya belum lahir lagi. Mak merupakan peneroka Felda, tapi pendapatan tak cukup, sikit sangat. Sebab tu dia berniaga. Selain cendol, dulu mak pernah buka gerai jual Ais Batu Campur (ABC). Anje bersama ibu kesayangannya. "Sampai sekarang mak masih buat dan jual cendol. Cuma sekarang dia hanya buat pada bulan Ramadan. Kalau dalam bulan-bulan biasa, dia hanya buat jika ada tempahan pelanggan. Walaupun dah berusia, dia tetap nak berniaga. "Mak fikir orang nak makan cendol, jadi dia buat dengan passion, dia buat benda yang dia suka, dengan niat nak gembirakan hati orang. Kesungguhan mak memberi inspirasi untuk saya berniaga," ujar bekas kru kabin itu. Menurut Anje yang kini mengusahakan produk kecantikan, dia juga pernah mencuba untuk menghasilkan cendol, namun 'tewas' dengan kudrat ibunya yang sudah lewat usia. Walaupun hasil berniaga sehari dapat RM20 hingga RM40 je, mak sentiasa tersenyum. NUR SHALIZA BAHARUDDIN Tambah Anje, ibunya yang menetap di Felda Chini di Pekan, Pahang juga gigih bersengkang mata untuk menghasilkan cendol yang mana ia dibuat menggunakan 100 peratus daun pandan bagi menjamin keaslian rasanya. "Cara nak buat tu sangat rumit. Banyak proses. Mak buat sendiri semuanya. Bermula dengan ambil daun pandan, cuci, gunting, kisar, bancuh, kemudian kena masak dalam tempoh yang lama. "Lepas tu nak tekan lagi dalam acuannya. Masa tengah panas tu terus masuk acuan. Lepas tu kena tekan pakai cawan plastik. Kena tekan guna kudrat sebab cendol tu pejal, bukan cair. Saya yang muda pun tak kuat, tapi mak saya larat buat sendiri. ARTIKEL BERKAITAN: Jangan lupa pekena cendol padu jika ke Perak... selain resipi asli ibu mentua, tauke sado pun jadi tarikan ARTIKEL BERKAITAN: Wow! Besarnya cendol, boleh makan ke? Niat gadis ini nak basahkan tekak terbantut – “Mak tegur sebab samakan dengan alas kaki” "Paling penting dia gunakan pandan 100 peratus. Dia biasanya masak cendol sampai 1 pagi. Pukul 4 pagi dia masak sahur, lepas sahur terus bungkus cendol sampai 8.30 pagi dan terus hantar ke kedai," cerita Anje lagi.' Tambah Anje yang menetap di Kuantan, dia juga akan membantu ibunya setiap kali pulang menziarahi kedua orang tuanya setiap seminggu atau dua minggu sekali. Menurut usahawan itu, dia turut kagum apabila ibunya masih mengekalkan harga yang sangat murah meskipun proses penghasilan cendol yang rumit dan memakan masa. Kecekalan Cik Salmah menjadi inspirasi untuk Anje terjun dalam bidang perniagaan. "Mak jual RM3 sebungkus. Sebungkus tu boleh makan kenyang satu keluarga. Walaupun hasil berniaga sehari dapat RM20 hingga RM40 je, mak sentiasa tersenyum. Dia bahagia sangat-sangat. Dia berniaga sambil bersedekah. "Mak tak pernah merungut. Walaupun keuntungan sikit. Saya kagum sebab saya membesar dengan hasil dia jual cendol. Dia jual murah sangat. Saya pernah suruh dia berhenti berniaga, suruh rehat je, tapi dia tak nak. Nanti pelanggan asyik tanya. "Saya juga ambil inspirasi daripada mak. Selepas tiga tahun saya berniaga, Allah bagi rezeki saya dapat keluar kereta. Mak orang pertama saya maklumkan. Berkat daripada doa mak," ujarnya. Dalam pada itu, video tentang kegigihan Cik Salmah berniaga cendol turut meraih perhatian warga TikTok sehingga dia dihujani dengan pujian serta titipan doa netizen. Anje merupakan bekas kru kabin yang kini mengusahakan produk kecantikan jenama sendiri. Menurut Anje yang juga anak kelima daripada tujuh beradik, dia bersyukur dengan reaksi positif itu dan berharap kisah ibunya dapat memberi inspirasi kepada orang ramai di luar sana. "Sejujurnya saya terharu dengan komen netizen. Ramai yang doakan mak saya. Pada masa sama, ramai anak peniaga cendol turut muncul di ruangan komen. "Saya harap kesungguhan mak saya dapat jadi inspirasi untuk kita semua, khususnya orang muda. Tak kisah jual apa sekali pun, yang penting jangan berputus asa dalam mencari rezeki," ujarnya lagi. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube