PELBAGAI cara dan kaedah digunakan anak rantau untuk pulang beraya ke kampung halaman masing-masing sempena cuti Aidilfitri baru-baru ini. Ada yang meruntun jiwa dan tak kurang juga dilihat lucu serta mencuit hati. Begitulah kisahnya untuk gadis ini apabila dia ditinggalkan bas ekspres yang dinaikinya di kawasan rehat dan rawat (R&R) Bukit Gantang, Perak. Wanita ini berkongsikan kejadian yang menimpanya. Melalui satu video tular di TikTok, Amirah Nabila, 30, berkata dia sedang dalam perjalanan dari kampungnya di Kedah untuk balik ke Kuala Lumpur. "Bas berhenti dekat R&R, jadi saya turun untuk ke tandas. Sampai je di tandas saya nampak ramai sangat orang dekat situ, saya pun beratur sama dan tunggu giliran. "Selepas selesai urusan di tandas, saya pergi ke kedai runcit di medan selera R&R untuk beli roti dan buah-buahan sebagai alas perut sebab saya tak makan sejak pagi. ARTIKEL BERKAITAN: Anak tertinggal bas balik kampus, bapa kejar di highway sampai dapat! Hikmahnya boleh ambil angin dengan isteri di Janda Baik ARTIKEL BERKAITAN: Kecoh OKU bisu bersama dua anak kena tinggal bas di stesen minyak, “Dia menjerit-jerit... menangis” "Kemudian ketika sedang berjalan ke arah bas, saya nampak bas tu dah bergerak. Saya cuba kejar tapi bas tu dah ke depan dengan laju... semput nak kejar. "Saya tengok dekat tiket bas saya ada nombor phone, saya cuba call kaunter khidmat pelanggan tapi tak berangkat pula, saya dah cuba call banyak kali," kata Amirah ketika dihubungi mStar. Tatkala situasi kelihatan rumit, muncul pasangan suami isteri tampil untuk membantu sebagai 'talian hayat' untuk Amirah. Rasa penat kena mengejar bas ni... tragedi lepas raya yang akan saya ingat sampai bila-bila. AMIRAH NABILA "Sebenarnya saya tak keseorangan... ada seorang lagi penumpang bas wanita yang senasib macam saya. "Tiba-tiba ada satu keluarga ni mungkin nampak apa yang berlaku, mereka terus datang dekat kami. Mereka ajak naik kereta pergi kejar bas tu. "Suami isteri tu ada tiga orang anak kecil, semua lelaki, Memang baik sangat mereka semua. Mereka tolong kami kejar bas tu sampai dapat," cerita Amirah. Dalam video tersebut, dapat diperhatikan bapa keluarga yang memandu kereta itu cuba sedaya-upaya mengejar bas berkenaan. Amirah terhutang budi keluarga ini sudi membantunya. Apabila sudah semakin hampir dengan bas itu, mereka membunyikan hon manakala Amirah membuka tingkap dan melambaikan tangan bagi mendapatkan perhatian pemandu bas. "Nasib baik la saya ingat nombor pendaftaran bas tu. "Akhirnya dapat juga naik semula bas ni. Terima kasih orang baik yang tumpangkan. Semoga dimurahkan rezeki sebab sudi tolong kami. "Rasa penat sebab aksi kejar-mengejar bas ni. Tragedi lepas raya yang akan saya ingat sampai bila-bila," kata Amirah lega setelah berjaya menjejakkan kaki semula ke dalam bas. Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya sedikit sangsi bagaimana pemandu bas boleh tertinggal penumpang di belakang. "Tanggungjawab driver bus kena rajinkan diri check setiap kali berhenti untuk ke tandas. "Bas sepatutnya ada sistem headcount untuk tengok cukup ke penumpang bas, bandingkan dengan waktu mula start perjalanan, kalau kurang pergi cari," ujar sebahagian warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube