suria

Pelamin mewah menyembah bumi! Akibat khemah kenduri dibuka awal, hiasan kerja kahwin rosak terkena hujan... Bridal rugi RM10,000

Pemilik perunding perkahwinan menanggung kerugian kira-kira RM10,000.

BERAT mata memandang, berat lagi bahu yang memikul.

Luluh hati seorang perancang perkahwinan apabila melihat perkakas yang digunakan untuk majlis perkahwinan di Jengka, Pahang, baru-baru ini dibiarkan berselerakan dia atas jalan hingga basah ditimpa hujan.

Menurut pengasas Ita Andaman, Rozita Hamzah yang berpengalaman dalam bidang perancang perkahwinan selama 22 tahun, insiden berkenaan menyebabkan dia mengalami kerugian kira-kira RM10,000.

“Pertama kali jadi macam ni sepanjang bekerja dalam bidang ni. Apabila sampai rumah kenduri masa nak buka pelamin, itu yang saya nampak.

“Barang-barang dilonggok dan ditinggalkan macam sampah di tengah hujan. Barang yang sememangnya punca rezeki saya dan pekerja saya.

"Barang yang bukan seringgit dua nilainya tapi dibuat macam tak ada harga. Prop dan barang-barang tu nilainya ribuan ringgit,” ujarnya dalam hantaran di Facebook Ita Andaman.

ARTIKEL BERKAITAN: Tetamu terlopong pelamin runtuh, pengantin lelaki gugup fikir belum akad nikah... Reaksi tok kadi buat ‘mini love’ memang lucu!

ARTIKEL BERKAITAN: Wedding planner demam 3 hari tengok baju sewa dipulangkan pengantin, kotor melampau... tertanya photoshoot di mana?

Turut bersimpati dengan apa yang berlaku, mStar menghubungi Ita bagi mendapatkan penjelasan lanjut mengenai apa yang terjadi.

Untuk rekod set pelamin bersama meja bagi majlis akad nikah yang dipasang pada 28 April lalu berharga RM2,200.

Bercerita lanjut, Ita, 50, berkata perkara itu terjadi gara-gara kegagalan dalam isu komunikasi antara pihaknya, penyedia kanopi mahupun tuan tuan.

Keadaan bunga-bunga hiasan yang dibiarkan atas jalan.

Tegas Ita, dia memahami aturan kerja untuk memunggah semula kanopi biasanya dilakukan sejurus acara tamat atau sehari selepas majlis sekiranya ia tidak menghalang lalulintas.

Kata Ita, sekiranya dia dimaklumkan awal agar perlu segera membuka pelamin selepas majlis tamat, sudah pasti pihaknya siap sedia berada di lokasi untuk melakukan kerja-kerja pemunggahan.

Jelas Ika, jarak perjalanan ke rumah pelanggannya itu memakan masa sekitar 20 minit dan mereka hanya sampai di lokasi pada pukul 6 petang.

Mana sifat perikemanusiaan... kalau saya lambat pun letaklah barang saya elok-elok di perhentian bas depan rumah pengantin.

ROZITA HAMZAH

PEMILIK ITA ANDAMAN

"Masa saya tiba petang Sabtu (hari kenduri) tu kanopi dah tiada dan keadaan dah teruk. Saya rasa mereka akan salahkan saya balik sebab lambat kemas. Kami terpaksa ambil masa untuk datang sebab perlu punggah barang yang ada dalam lori dulu.

"Sekitar pukul 5 petang mereka suruh pengantin hubungi kami untuk buka pelamin, mana sempat nak datang sekelip mata.

"Tapi itulah yang saya tekankan, mana sifat perikemanusiaan... kalau saya lambat pun letaklah barang saya elok-elok di perhentian bas depan rumah pengantin. Saya ada pesan masa wakil keluarga pengantin telefon, minta mereka isikan bunga-bunga dalam beg sampah pun tak apa.

Ita dan pekerja-pekerja memasang pelamin pada 28 April lalu.

"Bukannya sesuka hati cabut dan tinggalkan macam tu tengah hujan. Cuaca pada ketika tu pun dah mendung nak hujan," ujarnya lagi.

Bercerita lanjut tentang kerugian yang dialami, Ita berkata kebanyakan barang-barang pelamin yang digunakan di majlis berkenaan mengalami kerosakan dan tidak boleh digunakan.

“Barangan prop dan platform (lantai) pelamin semua sudah kembang terkena air hujan. Ada bunga yang luntur warna. Ada bunga yang warna putih jadi bertompok.

"Kain dan karpet saya gunakan dah terkena karat besi. Jumlah kerugian sebenar saya tak dapat nak beritahu sebab bunga-bunga yang digunakan tu saja pun jumlah dah mencecah ribuan ringgit," katanya.

Hiasan pelamin hasil tangan Ita Andaman.

Bagaimanapun, dia tetap menghargai usaha pihak keluarga pengantin yang berusaha menyelamatkan dan menyimpan kerusi pelamin, lampu serta beberapa barangan lain di dalam rumah.

Ujar Ita yang terkilan dengan apa berlaku, dia reda dan yakin bahawa ia adalah ujian daripada Allah sebagai tanda sayang kepadanya ketika mencari rezeki untuk keluarga.

Dalam pada itu, dia sempat menitipkan pesan kepada netizen supaya bersama-sama mengambil tanggungjawab menjaga setiap barang sewaan kerana kita tidak tahu nilai setiap barang dipinjamkan itu.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain