KETIKA ini pelbagai jenis makanan dijual dalam bentuk sejuk beku (frozen) bagi memudahkan lagi tugas para suri rumah khususnya. Kebiasaannya makanan frozen ini hanya perlu dipanaskan atau dimasak untuk tempoh yang singkat sebelum sedia untuk dimakan. Namun lain pula halnya dengan kisah yang dikongsikan oleh seorang individu ini di TikTok. Memandangkan ketika ini musim perayaan, individu tersebut membeli ketupat palas frozen daripada peniaga yang tidak dinyatakan identitinya. Lazimnya, ketupat palas frozen yang dijual di pasaran sudah siap dimasak dan pelanggan hanya perlu mengukusnya kembali agar beras pulut menjadi lembut sebelum dimakan. Namun ketupat palas yang dibelinya langsung tidak dimasak sebaliknya hanya diisi dengan beras pulut di dalam daun palas. Beginilah keadaan ketupat palas sebaik pembalutnya dibuka. Menerusi video yang dikongsikan, kelihatan individu itu meleraikan beras pulut yang masih mentah tanpa dimasak terlebih dahulu dengan santan. "Tengok ni, ketupat apa ni? Ketupat frozen kepala b***h hang! Pulut lerai macam ni... frozen pung*** hang. Dengan tak rebus... frozen apa tak rebus? Bagi ayam makan bolehlah," luahnya dalam nada geram. ARTIKEL BERKAITAN: Banyak kes penganiayaan peniaga terhadap pelanggan, ustaz pesan penipuan dalam perniagaan dilarang dalam Islam ARTIKEL BERKAITAN: Urut dada ditipu penjual kuih raya ‘tak takut dosa’! Biskut cip coklat cuma di atas, tepi balang... yang lain semua kosong Bagaimanapun individu tersebut tidak menyatakan berapa banyak ketupat frozen yang sudah dibeli dan kerugian yang dialaminya. Video tersebut meraih perhatian daripada warga maya apabila sehingga kini meraih lebih 960,000 jumlah tontonan di aplikasi TikTok. Menjengah ruangan komen pula, ramai melahirkan rasa simpati dengan nasib yang menimpa individu tersebut kerana menjadi mangsa 'scam' peniaga yang hanya ingin mengaut keuntungan. Malah ada warga maya yang merupakan peniaga ketupat frozen turut tampil meninggalkan komen pada video tersebut. Dia suruh masak sendiri kot... dia cuma tolong balutkan saja. NETIZEN "Saya penjual ketupat frozen. Sepatutnya pulut itu kena masak dengan santan siap-siap, barulah dimasukkan ke dalam daun dan disejukbekukan. Pelanggan balik nanti tinggal kukus atau rebus saja. "Saya penjual ketupat frozen... pulut kena masak separuh dulu dengan santan. Pernah frozen sampai setahun. Alhamdulillah bila rebus masih dalam keadaan baik macam baru. "Tengok balutan pun dah tahu peniaga tu meniaga setahun sekali. "Dia suruh masak sendiri kot... dia cuma tolong balutkan saja," demikian antara komen netizen. Rata-rata warga maya berkongsi cara memasak ketupat frozen yang sebenar. Ramai yang turut menyeru para peniaga agar berlaku jujur dan tidak menganiaya pelanggan demi menjimatkan kos atau mengait keuntungan. Sebagai maklumat tambahan, memetik perkongsian daripada laman Facebook Ustaz Azhar Idrus, beliau menghuraikan hukum perbuatan menipu, tidak jujur dan sengelat atau menindas dalam berniaga itu adalah berdosa dan haram, manakala rezeki yang diperolehi darinya juga adalah haram. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube