MUSIM kenduri kahwin bersilih ganti sambil pasangan pengantin disambut meriah. Bagi lima sahabat ini, mereka melakukan sesuatu yang menakjubkan apabila menghasilkan video transisi masing-masing menerima sejambak bunga di pelamin. Menariknya, si penerima jambangan bunga kemudian 'bertukar' menjadi pengantin mengikut turutan, sambil pelamin di bahagian belakang turut berubah. Video berdurasi 14 saat itu pula berakhir dengan sahabat yang kelima menerima jambangan bunga tersebut tanpa transisi. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Video yang tular di media sosial itu turut mencetuskan tanda tanya netizen bagaimana rakaman tersebut boleh dilakukan di empat majlis perkahwinan berbeza dalam tempoh singkat. Bercakap kepada mStar, salah seorang daripada mereka, Farah Aida Mohammad berkata, video itu yang menghimpunkan empat klip yang dirakamkan di empat majlis perkahwinan termasuk dirinya sendiri. Lebih mesra disapa Farah, katanya, keseluruhan video tersebut mengambil masa selama enam bulan sebelum dikongsi di media sosial yang mana turut melibatkan empat sahabatnya iaitu Juleea Mad Jais (Ju), Nur Afizah Mohd Khair (Fii), Nursyafiqah Iman Norazlan (Piqa) dan Nur Maisurah Abd Rahim (Mai). "Ia bermula dengan majlis perkahwinan Ju pada 1 Oktober 2022, diikuti Fii (22 Oktober 2022), majlis perkahwinan saya sendiri pada 3 Februari lalu dan terbaharu Iman pada 28 April. "Memang ramai yang tertanya-tanya, kami semua dah tahu tarikh majlis kahwin masing-masing sejak empat daripada kami masih tunangan orang. Dari situ kami membuat aturan mengikut trend," katanya kepada mStar. Majlis perkahwinan pada 1 Oktober dan 22 Oktober 2022. Farah yang berusia 27 tahun berkata, dia dan empat sahabatnya yang sebaya umur mula saling mengenali ketika belajar dalam jurusan Diploma Rekaan Dalaman di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Perak pada 2014. "Walaupun karakter kami berbeza, tapi semua 'sekepala'. Macam saya ni agak pendiam, Ju orangnya manja, Fii lebih menyerlah, Iman happy-go-lucky dan Mai pun lebih matang. "Setiap majlis perkahwinan, kami masing-masing akan berkongsi pandangan dan idea dari segi warna, gubahan hantaran dan mekap pengantin," ujarnya yang berasal dari Iskandar Puteri, Johor. Majlis perkahwinan pada 3 Februari dan 28 April 2023. Menurut Farah, seorang sahabatnya yang masih belum mendirikan rumah tangga banyak membantu menghilangkan perasaan gemuruh mereka yang bergelar pengantin. ARTIKEL BERKAITAN: Terpisah 15 tahun, tanpa diduga 2 sahabat berjumpa depan Kaabah... namun diuji terlebih dahulu sebelum pertemuan ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kolej beli 70 tiket wayang semata-mata nak tengok Tom Cruise berdua-duaan dengan BFF, habiskan RM1,600 demi kejutan "Mai yang main peranan memberi nasihat kepada kami semua supaya tidak gementar menjelang majlis perkahwinan," katanya lagi. Lima sahabat di majlis perkahwinan Farah (tengah). Mengimbas kembali persahabatan yang terjalin selama sembilan tahun, Farah yang merupakan pereka dalaman berkongsi momen yang tidak dilupakan ketika mereka belajar di UiTM. "Suatu hari, kami berlima kena buat tugasan berkumpulan untuk menghasilkan bangunan bersejarah dan kami memilih Menara Eiffel di Paris, dengan menggunakan batang lidi. Walau sudah beranak cucu, kami berharap agar persahabatan yang terjalin ini terus kukuh dan berterusan sampai bila-bila. FARAH AIDA MOHAMMAD "Memandangkan kami semua tidak tinggal sebilik di kolej, jadi kami plan sewa hotel bajet untuk buat tugasan tu. Siap sewa kereta dan pergi ke Teluk Batik. "Tapi lain yang kami buat, jalan-jalan dan main mekap di bilik. Esoknya dalam perjalanan nak balik ke kolej, tayar kereta pancit. Memang kelakar, sudahnya kami sambung bina struktur Menara Eiffel tu di bilik salah seorang daripada kami," ujarnya sambil ketawa mengenangkan saat manis itu. (depan, dari kiri) Piqa, Farah, Ju, (belakang, dari kiri) Mai dan Fii mengenali antara satu sama lain sejak belajar di UiTM Seri Iskandar. Kini, empat lagi sahabat Farah mempunyai kehidupan dan kerjaya masing-masing. Ju terlibat dalam bidang jualan rekaan dalaman, Fii (pensyarah rekaan dalaman), Piqa (pereka dalaman) dan Mai (penulis skrip). Farah berkata, dia tidak menyangka video trend yang dilakukannya bersama empat sahabat itu meraih perhatian ramai sehingga mencatatkan lebih 15 juta tontonan di TikTok. "Kami berempat yang sudah berkahwin mengharapkan kebahagiaan rumah tangga, manakala seorang lagi yang belum tu kami doakan agar menemui jodoh yang baik-baik. "Sama ada kahwin atau tidak, walau sudah beranak cucu, kami berharap agar persahabatan yang terjalin ini terus kukuh dan berterusan sampai bila-bila," katanya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube