PELBAGAI cara akan dilakukan setiap pasangan demi mencipta kemanisan dalam hubungan suami isteri. Salah satunya ialah dengan mengekalkan hubungan romantik tanpa mengenal batas usia. Perkara itu dibuktikan sendiri oleh seorang guru yang menceritakan pengalamannya bertemu dengan seorang lelaki di sebuah masjid. Menerusi perkongsian cikgu Mohamad Yusof Sulehin, ketika itu dia sedang menunggu isteri dan anaknya menunaikan solat. "Sambil tunggu bini (isteri) dan anak solat Asar, saya duduk sekejap di kerusi yang ada kat masjid tu. Tiba-tiba datang sebuah kereta Perodua Axia parking dekat saya. "Keluarlah seorang pakcik. Dia bukakan pintu kereta sebelah penumpang dan kemudian pegang tangan seorang makcik... terus (pimpin) masuk ke dalam masjid. "Lama lepas tu pakcik datang semula ke keretanya. Dia senyum kat saya," tulisnya di Facebook. Satu perkongsian yang memberi pengajaran kepada masyarakat. Namun, apa yang menghairankannya adalah lelaki berkenaan hanya keseorangan tanpa wanita yang dibawanya masuk ke masjid sebentar tadi. ARTIKEL BERKAITAN: Cerita pasal sedekah, makcik lesap dari kedai! Tiba-tiba muncul semula bawa sebotol sirap bersama hajat - "Rasa nak menangis saya" ARTIKEL BERKAITAN: Guru bersangka buruk tengok budak tak doa, zikir selepas solat! Terus muhasabah diri dapat tahu hakikat ibadatnya A+++ "Macam pelik makcik tu tak ada (bersama), saya pun tanya, 'Makcik mana?'. "Pakcik tu jawab, 'Oh pakcik hantar makcik kat ruang solat perempuan. Pakcik bukakan kipas, buka lampu. Kami datang awal ni sempatlah makcik baca Al-Quran, zikir kejap sambil tunggu maghrib'," katanya mengimbas kembali perbualan mereka berdua. Netizen terharu dengan perkongsian Mohamad Yusof. Penjelasan pakcik berkenaan ternyata mengundang sebak guru di sebuah sekolah di Pasir Gudang, Johor itu. Kata Mohamad Yusof, realiti yang disaksikannya sendiri itu mengajar erti 'kebersamaan' dalam perhubungan. "Allahuakbar. Apabila dengar jawapan pakcik ni terus rasa sebak. Apabila cerita soal kebersamaan pasangan, kita selalu fikir nak pakai baju sama, nak keluar shopping sama-sama, kan? "Tapi pakcik ni ajar saya bahawa hakikat kebersamaan dengan pasangan ialah apabila kita dapat pimpin tangan isteri untuk sama-sama jadi pasangan bahagia dunia akhirat. Inilah kebersamaan hakiki. Kebersamaan dengan pasangan ialah apabila kita dapat pimpin tangan isteri untuk sama-sama jadi pasangan bahagia dunia akhirat. MOHAMAD YUSOF SULEHIN GURU "Nak tolong bini, bukan sekadar tolong basuh pinggan, tolong basuh singki. Tapi yang paling penting ialah tolong guide isteri, sama-sama berpimpin tangan untuk masuk syurga. "Semoga saya dan kita semua yang bergelar suami akan jadi lelaki yang baik macam pakcik ni. Amin," kata Mohamad Yusof yang sering berkongsi kisah teladan masyarakat. Antara komen netizen. Sementara itu, menerusi ruangan komen bagi perkongsiannya di Facebook, rata-rata netizen terharu dengan sikap penyayang pakcik berkenaan. "Untung la isteri yang suami memimpin ke jalan Allah SWT. "Saya cemburu dengan makcik tu. Tak tahu pengakhiran saya macam mana. Hanya sentiasa berdoa semoga semua baik-baik saja hingga akhir hayat. "Semoga lebih ramai lelaki yang begini," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube