suria

Istanbul Aku Datang! Berbelas kali pergi Turkiye, jumpa jodoh jejaka asing... wang kertas RM5 jadi permulaan bibit cinta

Sering berkunjung ke Turkiye, Kek Yah bertemu jodoh dengan jejaka warga asing.

ISTANBUL Aku Datang!

Filem komedi romantik arahan Bernard Chauly, lakonan Lisa Surihani, Tomok dan Beto Khusairy itu cuma kisah rekaan di layar perak, tetapi menjadi realiti bagi seorang wanita.

Begitulah kisah cinta Nur Fareha Mohamad Yakob yang bertemu dengan jodohnya, seorang jejaka warga Syria di Istanbul, ibu negara Turkiye.

istanbul aku datang 4 W

Kek Yah (kiri) pertama kali bertemu dengan Mohammad Affan di sebuah kedai manisan di Istanbul.

Berkongsi cerita kepada mStar, Nur Fareha atau lebih dikenali sebagai Kek Yah berkata, dia mempunyai minat mengembara ke luar negara sejak usianya 23 tahun.

Sehingga kini, katanya, dia telah berkunjung ke lebih 50 negara dan Turkiye merupakan antara destinasi paling kerap dikunjunginya, sama ada bersama rakan mahupun secara solo.

"Kebanyakannya pergi dengan kawan-kawan. Tapi apabila usia meningkat kepada 27 tahun dan masing-masing sibuk dengan kerjaya, jadi saya banyak melakukan pengembaraan solo.

"Setiap kali travel di mana-mana, saya akan buat kawan baharu. Bukan sekadar mengenali budaya dan tempat menarik, tetapi juga orang di sekeliling," katanya ketika dihubungi mStar.

istanbul aku datang 2 W

Pasangan ini bernikah pada 15 Januari 2023.

Sepanjang mengembara ke serata dunia sejak 12 tahun lalu, wanita berusia 35 tahun ini mengakui 'jatuh cinta' dengan Turkiye terutama Istanbul.

"Saya sudah berbelas kali pergi ke Turkiye. Bagi saya, negara ini ada satu aura tersendiri, dengan persekitaran yang cantik seperti Eropah, tetapi matawangnya lebih rendah," ujarnya yang juga merupakan pemandu pelancong secara sambilan sejak 2017.

ARTIKEL BERKAITAN: Dah tak solo! Kaki travel bertemu jodoh dengan tour guide,'cair' keberanian jejaka Kashmir - “India bukan dalam senarai percutian saya”

ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh 'tunggu' di kafe! Pemuda kembara solo ke Eropah tawan hati 'Angelina Jolie', 2 kali tiket flight batal akhirnya kahwin selepas setahun video call - "Saya sebut KLCC"

Mengenai kisah percintaan dengan jejaka Syria, Mohammad Affan Jehad, 30, Kek Yah yang berasal dari Banting, Selangor memberitahu, dia pertama kali bertemu suaminya di Istanbul, pada 29 Mei 2022.

"Ketika itu saya pergi ke kedai manisan tempat dia bekerja. Saya serahkan wang kertas not RM5 dengan tandangan nama saya kepada dia untuk dijadikan 'souvenir' di situ, sebagaimana yang dilakukan pelancong lain.

"Tak sangka dia simpan duit tu untuk dirinya, dalam dompet! Saya tahu selepas datang semula ke kedai itu sebulan kemudian dan di situlah bermulanya dia mahu mengenali saya," ujarnya mengenai suaminya yang mencari rezeki di Turkiye selama lapan tahun.

istanbul aku datang 3 W

Mengabadikan kenangan di Istanbul.

Menurut anak kedua daripada lima beradik itu, bercinta dengan orang asing bukan mudah kerana banyak cabaran termasuk memikat hati keluarga.

"Dia berjaya pikat hati mak kerana kerajinannya, menghormati orang tua dan melayan saya dengan sangat baik. Yang penting, dia bukan lelaki yang suka mengambil kesempatan.

Perlu ada kesabaran yang tinggi dalam perhubungan.

NUR FAREHA MOHAMAD YAKOB

"Saya seorang wanita yang sangat independent (berdikari), tetapi dia sering membantu, permudah urusan saya dan suka memanjakan... dia layan saya seperti permaisuri, buat saya 'cair',” katanya mengenai Mohammad Affan.

Dalam tempoh perkenalan selama beberapa bulan, kedua-dua mereka kemudian mengambil keputusan untuk bernikah di Istanbul pada 15 Januari lalu, dan baru melangsungkan majlis resepsi di Banting pada 29 April.

Menurut Kek Yah, suami melayannya seperti permaisuri.

Kek Yah yang mengusahakan bisnes sambal goreng kentang turut berkongsi tip kepada mana-mana individu yang mahu berkahwin dengan pasangan warga asing.

"Nasihat untuk kahwin campur, kunci utama adalah komunikasi kerana perbezaan bahasa dan budaya. Walaupun berkomunikasi dalam Bahasa Inggeris, cakap bahasa 'rojak', kita perlu memahami antara satu sama lain.

"Kita nak kahwin untuk jangka panjang. Jadi, kita kena kenal budaya dia, dan perkenalkan budaya kita pada dia. Paling penting, perlu ada kesabaran yang tinggi dalam perhubungan," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain