suria

Masak macam nak makan satu famili besar, rupanya hidangan terakhir ibu - “Dada aku berombak, last meal tu sedap sangat”

Anak ini berat untuk mengakui realiti bahawa ibunya sudah pergi buat selama-lamanya. -Gambar hiasan

KEHILANGAN insan bergelar ibu yang melahirkan kita ke dunia ini bukan mudah untuk diterima.

Hati pasti hiba mengenangkan susah payah ibu membesarkan anak-anak dan pemergiannya sememangnya tiada pengganti.

Begitulah kisah pemuda ini yang harus merelakan hati untuk melepaskan ibunya ke negeri abadi.

Ciapan asal di laman Twitter.

Enggan mendedahkan identiti, dia berkongsi kisahnya di Twitter dengan menyatakan pemergian si ibu adalah titik terendah dalam hidupnya.

"Sehari sebelum kejadian tergelap dalam hidup aku, 13 April 2017, aku dekat Johor dan mak dekat Kedah. Aku on-call sembang dengan mak. Semuanya baik. Tak ada apa yang pelik.

"Keesokan harinya, 14 April, abah call, abah cuma cakap balik, cari jalan untuk balik macam mana pun. Aku dah boleh agak ada sesuatu yang tak kena, sesuatu yang abah cuba sembunyikan dari aku.

ARTIKEL BERKAITAN: Ibu ‘lawat’ anak bekerja, rakam penuh bangga... awalnya tak setuju jadi pramugari - “Kawan sokong, mereka kata saya cun”

ARTIKEL BERKAITAN: “Abah suka tanya soalan yang saya tiada jawapan” - Bapa lama ‘berkabung’ kematian ibu, anak cuma mampu lihat... tak mampu rawat luka

"11 pagi hari sama, kakak aku call pula. Aku tak dengar apa dah, aku cuma dengar dia meraung. Rupanya mak sesak nafas dan rebah selepas habis siram pokok dan menyapu. Rebah di pangkuan tok (ibu dia sendiri).

"Aku seakan-akan disedut ke dalam perut bumi, kesedihan yang aku rasakan waktu tu, aku tak boleh ungkapkan dengan kata-kata," ujarnya.

Pemuda itu berkata segalanya berlaku dengan pantas dan tidak menyangka hari yang paling digeruni akhirnya tiba.

Dan aku tahu itulah masakan dia yang terakhir aku boleh rasa dekat dunia ni, selepas ni tak akan ada dah.

PEMUDA

"Semua tu jadi terlalu cepat. Aku balik Kedah dalam keadaan hilang arah. Rasa macam semua ni tak betul. Dan mengharapkan hari itu cuma mimpi yang panjang.

"Aku berharap sangat aku boleh segera bangun dan segalanya masih normal. Hari-hari yang mendatang selepas tu, aku sering mencari dan menunggu untuk dia balik walaupun aku tahu dia tak akan balik.

"Aku tetap simpan harapan tu walaupun ia mustahil. Lepas subuh aku tunggu dekat luar. Kalau siang aku naik turun dalam rumah. Aku belum bersedia lagi untuk semua ni," katanya penuh kesedihan.

Pemuda ini cuba menguatkan diri ketika menguruskan jenazah arwah ibunya.

Mengimbas semula memorinya, pemuda itu berkata apa yang berlaku mengubah keseluruhan kehidupannya.

"Aku jadi hilang arah dan lost yang teruk sepanjang tiga bulan.

"Sepanjang tempoh itu, ia adalah titik terendah dalam hidup aku yang meninggalkan parut mendalam," ujarnya cuba mencari kekuatan dalam diri untuk meneruskan hidup.

Lebih menyayat hati apabila pada hari ibunya meninggal dunia, pemuda itu menyedari juadah yang dimasak arwah masih ada di dapur rumah.

"Hari kejadian tu, habis kebumi, aku balik rumah, aku paksa diri masuk dapur. Aku tengok hidangan terakhir yang disediakan ibu masih ada.

Pemuda ini berat hati untuk mengucapkan selamat tinggal kepada ibunya.

"Banyak betul kuantiti makanan yang ibu masak walaupun sebenarnya ada bertiga je di rumah waktu tu, aku di Johor.

"Kakak aku cakap mungkin mama dah tahu kita semua nak balik hari tu, anak dan menantu semua akan balik," katanya.

Walaupun tidak berselera, pemuda itu tetap memaksa dirinya untuk menjamah juadah tersebut kerana ia adalah kali terakhir dia dapat makan masakan air tangan ibunya.

"Aku paksa telan last meal tu dengan dada berombak. Aku tak tahu kenapa last meal tu aku rasa sedap sangat. Dada berombak kuat sebab aku tahu itu hidangan terakhir yang mama buat untuk anak-anak dia.

Tiada makhluk yang kekal di muka bumi ini dan akan dijemput Ilahi apabila tiba masanya. -Gambar hiasan

"Dan aku tahu itulah masakan mama yang terakhir aku boleh rasa dekat dunia ni, selepas ni tak akan ada dah. Aku telan sampai habis.

"Habis makan, abah cakap sesuatu dekat semua anak menantu yang buatkan kami terdiam, Abah minta maaf. Abah dah cuba tapi abah tak boleh buat apa-apa," imbau pemuda itu.

Menurut pemuda itu, andai dapat diundur masa, ada banyak perkara yang ingin dilakukan dengan lebih baik.

Doa dan amal jariah dari seorang anak boleh menjadi penghubung kepada ibu bapa yang sudah tiada. -Gambar hiasan

"Aku tak banyak rakam video dan gambar dengan arwah mak. Ada tu memang ada. Tapi tak banyak. Itu salah satu penyesalan terbesar aku.

"Sekarang aku belajar dari kesilapan. Aku rakam segala memori keluarga sebanyak yang mungkin. Sakit sangat, untuk kehilangan tiba-tiba dalam keadaan tak bersedia ni, cukuplah sekali je aku rasa.

"Zahirkan setiap inci rasa sayang dekat ibu bapa kita. Kadang tu kita sayang tapi tak mampu nak ucap. Berat untuk sebut. Tapi kita kena buang perasaan malu tu, jangan menyesal nanti.

"Ciptalah momen sebanyak-banyaknya dengan ibu bapa kita. Simpan sepuas-puasnya. Kerana istilah 'masa mencemburui kita' itu nyata di alam ini," kata pemuda tersebut mengakhiri perkongsian.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain