suria

Dua beranak kongsi payung jalan kaki tengah panas! Anak nak pergi temuduga, ibu ikut harap ada kerja kosong

Azam sebak melihat kakak dan ibu berjalan kaki untuk mencari kerja.

SETIAP daripada kita diuji dengan dugaan berbeza-beza.

Adakalanya, meluah masalah terbuku di hati secara terbuka seperti di media sosial sedikit sebanyak boleh memberikan kelegaan.

Begitulah yang dilakukan oleh Azam Saleh, menceritakan keperitan hidup dan masalah keluarga dihadapinya menerusi perkongsian video-video di TikTok.

Terbaharu, Azam merakam video momen menunjukkan kakak dan ibunya yang baru keluar rumah, berjalan kaki di bahu jalan sambil berpayung dalam cuaca panas terik.

Menurut pemuda ini, dia sangat sedih melihat kedua-dua ahli keluarganya itu mengharungi bahang sinaran matahari demi mencari kerja.

Sebahagian daripada kita memilih meluahkan masalah dihadapi di media sosial. -Gambar hiasan

"Hari ni kakak saya interview (temuduga) kerja. Doakan semoga kakak saya dapat kerja.

"Mak saya pula nak ikut kakak sebab nak cari kerja juga. Sebaknya bila tengok kakak dan mak jalan kaki macam ni.

"Ya Allah, aku tahu kau tengah uji aku dan keluarga. Aku terima dengan hati yang sangat terbuka," tulisnya dalam video tersebut.

Menerusi ruangan kapsyen video, Azam berkata posting tersebut dibuat semata-mata untuk meluahkan masalah dihadapi, tidak sesekali berniat memalukan keluarganya sendiri.

"Kalau siapa-siapa rasa saya buka aib sendiri, demi Allah niat saya cuma nak meluahkan saja.

ARTIKEL BERKAITAN: “Tak ada tempat dah yang aku boleh panggil rumah” - Wanita dari 'broken family' diabai sejak kecil, jadi ‘bank’ mak ayah selepas hidup senang

ARTIKEL BERKAITAN: Famili tak tahu, 3 tahun gadis ini derita akibat stres sampaikan selalu cederakan diri... nasib baik ibu saudara bantu – “Mereka memahami, tak judgemental”

"Ya betul kalau ada apa-apa, cari Allah tapi kadangkala saya perlukan seorang hamba Allah yang ikhlas sudi untuk mendengar luahan hati ni," ujarnya.

Terdahulu, pemuda berusia 20 tahun ini membuat hantaran meluahkan tentang nasib dan kehidupannya yang susah.

Dalam hantaran tersebut, Azam mendakwa dirinya dipukul sehingga dia pernah melarikan diri dari rumah pada usia sembilan tahun.

Tambahnya, bapanya meninggal dunia ketika dia masih lagi bergelar seorang bayi.

Malah, dia juga menjelaskan disebabkan tekanan hidup dia menghidap penyakit Major Depressive Disorder (MDD) pada 2018.

Famili bergaduh besar sampai kena naik mahkamah.

AZAM

Lebih memburukkan keadaan apabila dia mendakwa keluarganya sendiri menuduh dia hanya berpura-pura mengalami masalah tersebut walaupun sudah didiagnosis oleh doktor.

"Pada 2009 dah mula kena pukul dengan keluarga sampai tak boleh berjalan seminggu. Pada 2014 lari dari rumah sebab dah tak tahan dipukul. Waktu ini juga kena tahan di wad kanak-kanak di Hospital Kuala Lumpur.

"Pada 2016, famili mula bergaduh dan berpisah. Famili bergaduh besar sampai kena naik mahkamah," katanya dalam hantaran yang meraih lebih 2.3 juta jumlah tontonan itu.

Dalam kebanyakan hantaran dibuat, rata-rata netizen turut bersimpati dengan diri Azam yang dianggap kurang bernasib baik.

Selain itu, mereka turut mendoakan kesejahteraan serta berharap Azam tabah menghadapi ujian dihadapinya.

Antara komen netizen di TikTok.

"Tak apa jangan pendam nanti sakit. Sabar tu perit dan pahit. InsyaAllah manis penghujungnya.

"Luahlah kawan, jangan terlalu pendam nanti sakit.

"Semoga dipermudahkan segala urusan kakak dan keluarga awak," ujar netizen menerusi ruangan komen.

mStar cuba mendapatkan penjelasan lanjut mengenai masalah dihadapi namun masih tiada respons diterima.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain