suria

Meriah meja! Keluarga pemandu treler hari-hari makan sedap... bukan kaya tapi bijak berbelanja, jimat sampai boleh beli emas

Wanita ini menceritakan kelebihan sekiranya memasak di rumah berbanding makan di luar.

MENGURUSKAN rumah tangga bukanlah satu tugas yang mudah dan semestinya memerlukan kewangan kukuh.

Apatah lagi bagi mereka yang bergelar isteri, banyak tanggungjawab dan komitmen yang terpaksa ditanggung dalam memastikan keluarga terurus.

Bagi pasangan suami isteri yang memiliki dua cahaya mata ini, mereka bijak merancang perbelanjaan setiap bulan dan saling memahami dalam hal ini.

Menerusi perkongsian Nur Amirah Nabillah, 26, dia mampu menjimatkan perbelanjaan bulanan keluarganya dengan memasak aneka didangan dan lauk pauk menyelerakan setiap hari di rumah.

Ketika dihubungi mStar, dia berkata suaminya hanya perlu mengeluarkan sekitar RM700 sehingga RM1,000 untuk perbelanjaan barang dapur bagi tempoh sebulan bulan.

“Perbelanjaan saya sekeluarga untuk barang-barang dapur seperti sayur, buah dan barang basah tak besar. Untuk bahan kering, barang mandian dan susu anak pula biasanya boleh bertahan sehingga dua bulan.

“Saya memilih untuk memasak setiap hari sejak tiga tahun lalu sebab banyak boleh jimat. Kalau makan dekat kedai pun jemu dan tak habis sebab jenis makan sikit. Bila masak sendiri suami dan anak-anak boleh makan berulang-ulang kali.

“Kalau nak cakap pasal penat memasak tu, kadang makan dekat kedai pun penat sebab saya ada anak kecil. Nanti mereka sibuk nak panjat meja siap pergi ‘jelajah’ kedai lain. Takut orang lain terganggu dengan kami,” katanya.

Jelasnya yang senang disapa Yyaa, setiap hari dia akan memasak sebanyak dua kali untuk dimakan bersama keluarga.

Walaupun tiada menu istimewa yang diminta oleh anak-anak mahupun suami, Yyaa yang berasal dari Ipoh, Perak tetap memilih untuk menyediakan hidangan istimewa setiap kali memasak seperti yang dapat dilihat dalam video yang dikongsi.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri bangun tidur mengeluh sakit kaki, suami tak berkira terus belanja kasut mahal... Lelaki ini tak sangka rezeki makin mencurah-curah

ARTIKEL BERKAITAN: Pasangan suami isteri tumpang meja pelanggan lain ‘layan’ nasi campur, sudahnya dapat makan free! Jumpa orang baik pun satu rezeki

Katanya, dia amat memahami kerja suami, Muhammad Firdaus, 26, sebagai pemandu lori treler yang perlu bertugas selama 15 jam setiap hari justeru dia berusaha mempelbagaikan menu untuk memenuhi seleranya.

“Saya tak ada menu wajib. Suami dan anak-anak makan saja apa yang dimasak. Cuma saya suka hidang dengan hiasan cantik-cantik macam kedai.

“Suami saya waktu malam lepas pulang dari tempat kerja barulah dia makan. Biasanya kalau saya hidang rendang atau gulai lemak dia kurang makan sebab dah penat.

Antara keperluan wajib dibeli setiap bulan yang menelan belanja sekitar RM1,000.

“Jadi setiap hari saya pelbagaikan menu dan masak panas-panas sambil tunggu dia sampai rumah. Kalau saya masak makanan western dia tak merungut tapi nampaklah dia makan tak habis,” ujarnya yang sudah berumah tangga lebih enam tahun.

Bercerita lanjut mengenai juadah yang disediakan, dia bersyukur apabila dapat melakukan banyak penjimatan kerana memasak di rumah.

Dalam pada itu, Yyaa turut berkongsi pelbagai tip berguna untuk golongan ibu di luar sana.

Antara menu yang dimasak oleh Yyaa.

“Selama saya masak di rumah dengan perbelanjaan sedemikian, banyak yang boleh saya jimat seperti minyak kereta untuk makan di luar memandangkan saya duduk di lokasi sedikit terpencil.

“Kami dapat buat simpanan kecemasan sekitar RM500 hingga RM1,000 sebulan. Ada juga wang saya beli emas masa tengah nilai jatuh tapi saya tak utamakan barang kemas sangat. Apa yang ada sudah memadai. Orang lain yang cukup-cukup makan dan tak ada simpanan pun tak hina bagi saya.

Tak semua isteri di dunia ni mengimpikan suami kaya. Cukup dia memahami keperluan keluarga dan tanggungjawab.

NUR AMIRAH NABILLAH

“Dekat TikTok memang saya banyak kongsikan resipi masakan. Selain tu ada juga tip menyusu badan, tip putus susu dan banyak lagi termasuklah cara nak simpan barang masakan dalam peti ais dengan lebih baik," katanya.

Dalam pada itu, Yyaa turut menyatakan kesyukurannya apabila dikurniakan seorang suami yang berkira apatah lagi melibatkan keperluan rumah dan cuba memenuhi keinginan isteri juga anak-anak.

Katanya lagi, dia memilih untuk berhenti kerja sebagai jurutera elektrik setelah kelahiran anak pertama mereka.

Yyaa bersama suami dan anak-anak.

“Sekarang saya berniaga jamu dan ambil tempahan kuih raya saja sebagai kerja sambilan. Jadi sambil-sambil itulah saya share apa saya buat dengan masa terluang ni. Tak sangka pula boleh viral video-video saya post.

“Saya pun faham sekarang harga barang dah naik jadi kita memang kena pandai jimat berbelanja. Dulu perbelanjaan saya sekeluarga untuk barang dapur sekitar RM400 saja. Banyak barang saya dah cuba kurangkan dan tak beli macam sebelum ni.

“Bagi saya, tak semua isteri di dunia ni mengimpikan suami kaya. Cukup dia memahami keperluan keluarga dan tanggungjawab. Dalam Islam pun memang kewajipan suami cari rezeki tetapi sebagai isteri saya selalu fikir macam mana nak bantu dia.

“Kalau suami balik kerja perlu masak basuh kain, jadi di mana ihsan dalam rumahtangga. Perkahwinan itu bukan soal hukum dan tanggungjawab sahaja tapi juga kasih sayang.

"Bak kata orang dulu-dulu nak pikat hati suami pikat perut dia dahulu. Bagi saya selain anak, memasak juga boleh mengeratkan hubungan,” katanya menutup kisah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain