DI dunia ini, dikatakan ada tujuh manusia yang berwajah sama. Jadi, tidak hairanlah jika kita tiba-tiba terjumpa seseorang yang wajahnya saling tak tumpah dengan orang yang kita kenali sehingga adakalanya boleh mendatangkan kekeliruan. Menerusi satu video tular, wajah seorang wanita bertukar sayu sebaik melihat dari jauh sosok seorang lelaki yang dikatakan sama dengan arwah suaminya. Dalam kejadian pada 11 April lalu itu, jelas terpancar di wajahnya kerinduan seorang isteri terhadap pasangannya yang kini sudah berada di alam lain. View this post on Instagram A post shared by mStar (@mstaronlineofficial) Sebagaimana dapat dilihat dalam rakaman dikongsikan oleh cik_csbk, lelaki itu yang nampak sedikit gempal dari belakang memakai baju-T berlengan pendek warna hitam. Dia yang sedang berada di seberang jalan sambil berjalan membawa beg silang bagaimanapun tidak sedar dirinya dirakam dari jauh Namun, lokasi video tersebut dirakam tidak dinyatakan oleh wanita itu dalam hantarannya di TikTok. Di hujung video, wanita ini juga berkongsi gambar ketika dipeluk mesra oleh suaminya berlatar belakang sebuah pemandangan indah di tepi pantai. "Ya Allah, terkejut sangat. Dari belakang sebiji (saling tak tumpah). "Al-Fatihah bidadaraku sayang," tulisnya di ruangan kapsyen. ARTIKEL BERKAITAN: Sekali pandang macam arwah Siti Sarah, dua kali pun tetap sama... Tapi buka mulut nyanyi lagu ‘Kesetiaan’ terus jadi lain! ARTIKEL BERKAITAN: Semua mirip... Selepas 7 tahun tragedi, wanita ini jumpa ‘kembar’ arwah abang - “Kami selalu tengok game sepak takraw dia di TV” Hantaran tersebut menjadi tular di media sosial dengan rata-rata warganet turut merasai kesedihannya yang sudah pasti merindui suami yang sudah meninggal dunia sekitar dua tahun lalu. Selain itu, ada juga netizen mencadangkan supaya dia menegur lelaki tersebut untuk melihat wajahnya yang mungkin juga mirip arwah suami. Namun, menurut wanita berkenaan dia tidak kuat untuk berbuat demikian kerana bimbang dirinya tidak mampu menahan kerinduan sehingga terpeluk individu tersebut. Dia juga menitipkan pesanan kepada orang ramai yang masih mempunyai pasangan supaya sentiasa menghargai mereka selagi diberi kesempatan. Keputusan tetap sama... abang di alam lain. CIK_CSBK "Boleh jadi kalau saya pergi tegur terus terpeluk. Dulu saya sikit pun tak pernah terfikir akan terpisah 'sejauh' berbeza alam macam ni. Asyik cakap mintak simpang 44, tak nak (berpisah). Simpang empat wujudlah. "Berkali saya cakap ni bukan ini tipu, abang 'ada', abang hidup. Abang pergi kerja, abang mandi dalam bilik. Keputusan tetap sama... abang di alam lain. PJJ (percintaan jarak jauh) yang entah bila bertemu, bakal atau... ? "Jangan sia-siakan cinta dengan pasangan kalian. Bersama abang tak pernah, bahkan susah sangat nak marah nak merajuk nak bergaduh nak sedih sebab itu dia teristimewa bukan untuk saya dan anak-anak saja. Namun Allah 'ambil' semula kerana dia baik akhlak, budi, kasih dan amalannya," ujarnya dalam kapsyen video susulan yang dikongsi. Tangkap layar video menunjukkan reaksi anaknya setelah melihat video tersebut. Video kedua yang dimuat naik memaparkan keterujaan dirinya ketika menunjukkan semula video tersebut kepada anaknya yang mungkin juga bersetuju bahawa lelaki itu sama seperti bapanya dari pandangan belakang. Kelihatan budak lelaki itu begitu terkejut seolah-olah tidak percaya apabila melihat rakaman tersebut. Mengakhiri video kedua, kelihatan mata wanita ini berkaca seolah-olah menahan sebak apabila melihat anaknya menatap apa yang terpapar di telefonnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube