suria

Sejak 2012 derita hutang lebih setengah juta, lelaki bankrap mampu bangkit... kongsi bagaimana Allah tak zalim kepada hambanya

Diisytiharkan bankrap bukanlah pengakhiran bagi hidup seseorang. Gambar sekadar hiasan

MENANGGUNG beban hutang yang banyak sehingga diisytiharkan bankrap sememangnya salah satu mimpi ngeri bagi mana-mana individu.

Namun bak kata pepatah, gagal sekali bukan bermakna gagal selama-lamanya.

Bankrap bukan bererti hidup seseorang sudah berakhir dan tiada peluang untuk membina kehidupan baharu.

Begitulah mesej yang mahu disampaikan seorang lelaki ini kepada masyarakat menerusi satu hantaran yang dibuat di media sosial.

Dalam hantaran yang dimuat naik di laman Facebook Muflis Bankrupt Malaysia, lelaki tersebut berkongsi tip bagaimana dia bangkit daripada bankrap untuk dijadikan panduan bersama, khususnya buat mereka yang senasib dengannya.

"Saya bankrap tahun 2012 lagi dan sekarang pun masih bankrap. Tahun lepas saya nak mohon pelepasan tapi tidak dibenarkan sebab masa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), saya tidak disiplin membayar bulanan.

bankrap 2

Lelaki berkenaan pernah terfikir untuk melarikan diri kerana masalah kewangan yang dihadapinya. Gambar hiasan

"Jadi saya disarankan bayar bulanan secara konsisten dulu baru boleh mohon semula. Saya dibankrapkan tak banyak sangat dalam 450k sahaja. Tapi disebabkan bank-bank lain pun banyak juga, semua dicampur sekalilah," tulisnya memulakan bicara.

Menurut lelaki berkenaan, dalam situasi yang paling teruk, dia pernah berhutang ketika masih dalam status bankrap dengan jumlah RM600,000 sehingga tahap mahu melarikan diri.

ARTIKEL BERKAITAN: Mak ayah paksa anak kerja gomen buat ‘loan’ besarkan rumah, ugut derhaka jika ingkar... Tak mampu bayar akhirnya dapat notis bankrap

ARTIKEL BERKAITAN: Nak beristeri, sila simpan duit! Pemuda dedah buat loan untuk kahwin ‘pantang’ dalam masyarakat Cina

Bagaimanapun, dia akhirnya memilih untuk tidak lari daripada masalah kewangannya dan berani berdepan dengan bebanan hutang meskipun melebihi setengah juta ringgit.

"Jika kita susah dan kita meraung, kita berputus asa, kita takut... ia tetap susah juga. Dengan kita meraung dan berputus asa ia tidak membuatkan kita jadi tenang pun.

"Kita kecewa bertahun-tahun pun tidak selesai masalah. Jika kita ada hutang bank yang tak boleh bayar, sama je kita pilih tenang pun tak boleh bayar, kita pilih takut pun tak beleh bayar. Baik kita pilih tenang," nasihatnya.

Justeru lelaki itu berkata, langkah awal yang perlu dilakukan adalah mengubah sikap daripada negatif kepada positif dan fokus berusaha untuk memperbaiki kesilapan demi membina kehidupan baharu.

Bangun malam mohon dengan Allah agar dapat keluar dari masalah ini. Mohon dengan Tuhan dan kita disiplinkan diri kita agar usaha sebaik mungkin.

INDIVIDU BANKRAP

"Fokus kita hidup mesti diteruskan. Usaha je, Allah tidak zalim. Dengan usaha berterusan insyaAllah akan ada hasil.

"Bangun malam mohon dengan Allah agar dapat keluar dari masalah ini. Mohon dengan Tuhan dan kita disiplinkan diri kita agar usaha sebaik mungkin.

"Saya seorang peniaga kecil-kecilan saja. Saya masih bankrap sekarag. Tapi saya usaha untuk sara keluarga dan Alhamdulillah boleh sara keluarga dengan baik sekali.

"Sekarang masih bayar Jabatan Insolvensi Malaysia sebanyak RM750 sebulan. Mungkin nampak macam sedap je nasihat tapi ini bukan hanya teori... saya sendiri yang praktikkan.

"Selama enam bulan atau lebih, tak sampai setahun saya fokus bayar hutang dan fokus berniaga Alhamdulillah saya dapat bayar semua RM600,000 tersebut. Yang penting jujur dan berdisiplin," kongsinya lagi.

solat malam

Selain berusaha keras membangunkan perniagaan, lelaki berkenaan tidak lupa memohon doa kepada Allah. Gambar sekadar hiasan

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya turut terinspirasi dengan perkongsian lelaki berkenaan malah mengucapkan terima kasih kerana memberikan semangat agar tidak berputus asa ketika berdepan masalah kewangan.

"Moga Allah merahmati dan membalas dengan kebaikan pada tuan sekeluarga atas perkongsian yang baik ini.

"Terbaik... bankrap bukan penamat segalanya.

"Benar-benar terinpsirasi. Terima kasih tuan atas perkongsian," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain