suria

Tak larat lipat kain? Wanita ini tawar servis ’next level’, guna teknik khas supaya jatuh tak terbuka... Nak suruh gosok tudung pun boleh!

Nurkhalidah dan suaminya menawarkan servis melipat dan menggosok baju sejak 2015.

MENYEDARI bidang yang diceburi bukan kerjaya popular, wanita ini sama sekali tidak pernah berasa malu melakukan pekerjaan yang kurang digemari ramai, iaitu melipat dan menggosok pakaian.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita bernama Nur Khalidah Mohd Khalid berkata, segala-galanya bertitik tolak selepas dia melahirkan cahaya mata kedua pada 2015.

"Idea nak tawarkan perkhidmatan melipat dan menggosok baju bermula selepas saya bersalin anak kedua. Saya dan suami ketika itu struggle memandangkan kerja dua-dua tak tetap lagi masa tu.

"Apabila dalam keadaan macam tu, saya terfikir apa benda yang orang tak rajin nak buat. Jadi terlintas idea nak buat buat part time melipat kain... mengapa tidak saya cuba.

"Kemudian saya iklankan dekat Facebook dan daripada situ orang mula nampak. Masa mula-mula tu memang meriah.... Alhamdulillah, tak menang tangan dibuatnya," ujar Nurkhalidah.

lipat 3

Suami Nurkhalidah berperanan menggosok baju pelanggan.

Mesra disapa sebagai Ida, wanita ini berkata ketika awal-awal memulakan perkhidmatan tersebut, dia tidak menetapkan sebarang harga sebaliknya pelanggan hanya perlu membayar upah seikhlas hati.

"Saya tak letak harga sebab bimbang orang dah tak mahu guna perkhidmatan ini, dan saya percaya kepada rezeki. Alhamdulillah, walau saya tak letak harga upah, berbaloi hasil pendapatan yang diperoleh.

"Tapi pelanggan yang mencadangkan supaya letak upah dan akhirnya pada 2018, barulah saya letak harga," ujar wanita berusia 32 tahun ini.

ARTIKEL BERKAITAN: Kerja 8 jam tapi bayar RM30, netizen bengang remaja ambil upah lipat baju dianiaya... Sudahlah malas, kedekut pula!

ARTIKEL BERKAITAN: Buat banyak kerja dalam sehari, termasuk lipat pakaian demi sara keluarga! - “Pelanggan ‘reda’ je akak lipat baju mereka lepas jam 10 malam”

Sama seperti kebanyakan orang yang terkesan akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Nurkhalidah berkata dia turut tidak terkecuali.

"Jika sebelum PKP meriah sampai tak menang tangan, tapi masa PKP, pendapatan menyusut sebab kurang yang hantar pakaian. Namun saya dan suami bersyukur, tetap ada juga biarpun sikit.

"Ia mulai pulih dan bermula tahun lalu, permintaan semakin meningkat. Kini suami yang menguruskan permintaan pelanggan memandangkan dia sudah membantu saya secara sepenuh masa sejak 2019.

lipat 2

Nurkhalidah menggunakan teknik lipatan poket agar pakaian yang dilipat lebih kemas.

"Saya pula kini bekerja di sebuah hospital di Selangor sebagai pembantu perawatan kesihatan... saya akan ambil alih bab melipat selepas habis syif. Suami fokus kepada menggosok pakaian," ujar ibu kepada tiga cahaya mata berusia antara 11 tahun hingga lima tahun ini.

Diam tak diam, Nurkhalidah sediri tidak menyangka dia sudah memasuki tahun kesembilan dalam kerjaya tersebut.

Ditanya apakah perkara yang membuatkan dia kekal untuk meneruskan bisnes tersebut, Nurkhalidah berkata dia berpegang dengan niat untuk memudahkan urusan orang lain.

Saya puas hati jika pelanggan suka. Apa yang penting, niat utama adalah untuk mudahkan orang.

NURKHALIDAH MOHD KHALID

"Sepanjang tempoh sembilan tahun ini, ada beberapa perkara yang saya tambah baik. Masa awal-awal dulu saya buat lipatan biasa saja, tapi sekarang saya buat lipatan poket.

"Lipatan poket ni ada tekniknya. Jadi jika pakaian terjatuh ketika pelanggan nak angkat susun dalam almari, ia takkan terbuka. Ia cantik saja dalam lipatan.

"Kemudian, kami akan susun pakaian ikut warna supaya pelanggan senang nak cari. Pakaian anak-anak kecil yang ada pasangan seluar dan baju, kita terus lipat dengan pasangannya. Selain itu, saya juga gunakan pewangi fabrik.

"Saya puas hati jika pelanggan suka. Apa yang penting, niat utama adalah untuk mudahkan orang," ujarnya lagi.

lipat 4

Nurkhalidah dan suaminya gembira dapat memudahkan kerja orang lain di samping mereka dapat meraih pendapatan sampingan.

Sering memuat naik content mengenai kerja-kerja melipat dan menggosok baju di aplikasi TikTok, Nurkhalidah berkata dia sekadar mahu berkongsi dengan para pengikutnya agar sama-sama menjana pendapatan sampingan meskipun bergelar suri rumah.

"Banyak sebenarnya saya dapat Direct Message (DM) daripada suri rumah yang juga berminat nak buat kerja seperti ini. Mereka banyak bertanya tentang berapa upah saya ambil, pewangi fabrik yang digunakan dan cara lipatan.

"Semuanya saya beritahu dan tak lokek pun untuk berkongsi. Pada saya, rezeki kita kongsi sama-sama," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain