KISAH personaliti dakwah, Ebit Lew membantu seorang wanita bertatu penuh di muka bernama Mondy Tatto yang didakwa seorang gelandangan nampaknya terus menjadi perbualan hangat di media sosial. Di sebalik usaha murninya itu, ada dalam kalangan netizen membangkitkan beberapa isu lebih-lebih lagi selepas kedua-duanya tampil bersama dalam siaran langsung membuat jualan sambal tempoyak bilis petai. Menerusi siaran langsung pada Rabu, Mondy yang lengkap mengenakan pakaian sopan serta bertudung labuh kelihatan duduk bersebelahan Ebit menerusi sesi jualan dalam talian. Situasi berkenaan mengundang teguran netizen kerana dilihat kurang manis memandangkan Ebit menggalas imej seorang pendakwah serta berstatus suami orang. Tangkap layar ketika siaran langsung di TikTok pada Rabu. "Adakah dia isteri anda, Ebit? Anda melayan dia seperti seorang isteri. Anda tidak menjaga pandangan. Anda membukakan pintu kereta untuk dia. Anda jalan sebelah dengan dia. "Anda duduk sebelah dia dalam satu video siaran langsung di TikTok malam kelmarin (malam Rabu). "Orang yang betul kuat agama pasti sangat menjaga batas dan menundukkan pandangan. Tidak mudah nak jumpa atau bercakap mesra dengan wanita," tulis seorang individu menerusi satu hantara di Facebook. ARTIKEL BERKAITAN: Awek punk Indonesia nampak insaf selepas dibantu, dibawa ke Malaysia... Kini jual sambal bersama Ebit Lew ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki tuduh Ebit Lew guna anak dan isteri buat ‘content’ mohon maaf, katanya tak sengaja... Mengaku sudah cerai isteri Dalam hantaran yang sama, individu tersebut berkata usaha untuk berdakwah sememangnya murni namun dalam situasi ini, adalah sebaik-baiknya ia digalas oleh pendakwah wanita. "Asatizah wanita dah ramai. Serahkan tanggungjawab dakwah para wanita kepada wanita. Jangan terhegeh-hegeh sangat," ulasnya lagi. Tidak hanya melontarkan teguran kepada Ebit, individu tersebut dalam nada lantang turut menegur segelintir pihak yang didakwanya terlalu taksub kepada personaliti dakwah itu. Ebit membawa Mondy ke Malaysia bertujuan untuk membantu ibu tunggal warganegara Indonesia itu. "Terlalu banyak perkara yang tidak kena, tapi tetap ada pentaksub. Ya, saya marah. Saya marah kerana Islam tidak begitu murah sehingga dia boleh melakukan apa sahaja yang dia mahu menggunakan agama sebagai kandungannya (content). "Berhenti menjadi lembu bagai dicucuk hidung. Berhenti bersangka baik pada perkara yang jelas mungkar. Berhenti mensucikan apa yang terang-terang berdosa. Bukalah mata semua. "Saya hanya berdoa agar Allah menghantar hidayah kepada pentaksub bermuhasabah. Jangan datang pada saya dan beritahu saya bahawa saya buka aib atau mencari aib. "Inilah yang ditunjukkannya sendiri kepada seluruh dunia. Semoga Allah beri hidayah pada semua," demikian teguran yang disuarakannya. Masa tengok video tu dah rasa lain macam, red flag banyak sangat. NETIZEN Hantaran tersebut sehingga kini meraih lebih 8,100 shares di Facebook selain turut dibanjiri ratusan komen netizen. Ada di antara mereka turut bersetuju dengan pandangan serta teguran yang disuarakan individu berkenaan. "Saya juga berfikir benda yang sama. Tak faham apa purpose dia beriya bawa perempuan itu ke sini, lepas itu live apa semua. Ramai lagi orang yang susah. "Betul, juga fikir yang sama. Atas nama dakwah sekalipun bukankah tetap ada batasan? "Masa tengok video tu dah rasa lain macam. Red flag banyak sangat," demikian antara komen netizen. Sebahagian komen daripada netizen yang turut memberi teguran berkaitan kisah Mondy. Terdahulu, kisah Mondy, seorang warganegara Indonesia yang disantuni Ebit ketika kunjungannya ke negara berkenaan, menjadi tular di media sosial. Ramai yang memuji usaha dakwah Ebit apabila cuba mengubah cara hidup ibu tunggal muda berkenaan untuk kembali mendekati Islam. Namun dalam masa yang sama, ada segelintir individu menyifatkan Ebit ibarat 'menyusukan kera di hutan' serta melakukannya demi konten. Kisah Mondy terus panas apabila ada individu 'membongkar' identiti wanita itu di mana dia bukanlah seorang gelandangan seperti yang digambarkan Ebit, sebaliknya merupakan seorang pempengaruh media sosial yang memiliki 1 juta pengikut di TikTok. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube