PEMBERIAN dua bungkus tepung gandum sudah cukup membuatkan seorang hamba Allah ini menadah tangan menzahirkan kesyukuran di atas rezeki yang diterimanya. Kisah hamba Allah itu dikongsikan oleh seorang lelaki menerusi satu hantaran di Facebook. Di dalam hantaran berkenaan, lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Fard Osman berkata, pada suatu hari kediamannya didatangi individu berkenaan yang mahu meminta sedikit bantuan makanan. Menurut individu tersebut, dia kesempitan wang kerana baru mula bekerja selepas pulih daripada kemalangan jalan raya manakala isterinya pula baru melahirkan anak. Pelbagai barang keperluan sudah dibungkus untuk diagihkan kepada penerima. "Dia datang waktu pagi Subuh beberapa hari lalu. Saya dengar seseorang beri salam tapi saya ingatkan rumah sebelah. Tapi saya buka pintu dan bertemunya. "Sejak saya buat inisiatif food bank dua tahun lalu, rumah saya sering dikunjungi penyumbang yang nak hantar barang, jadi saya fikir mungkin penyumbang. "Dia perkenalkan diri dan beritahu pernah datang rumah ambil sumbangan. Saya amati dan cam wajahnya... memang dia salah seorang penerima food bank, ketika itu dia bekerja sebagai pengawal keselamatan," cerita Fard kepada mStar ketika mengimbas kembali kisah yang berlaku itu. ARTIKEL BERKAITAN: Ebit Lew beri inspirasi, pemuda terus set up food bank di Sabah... 30 minit barang dah habis - “Seterusnya bank alat tulis” ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga bersedekah setiap kali ditimpa ‘ujian hujan’, tak simpan kuih tak habis untuk jual semula esok - “Rugi itu pasti, untung itu rezeki” Menurut Fard, reaksi individu berkenaan tatkala menerima bantuan walaupun sedikit sudah cukup membuatkan dia insaf. "Dia ceritakan kisahnya tapi masa dia datang baru-baru ini, food bank belum restock. Yang tinggal tepung gandum saja, tapi saya berikan sedikit beras sendiri kepadanya. "Dia tak kisah... katanya, dengan tepung tu boleh buat cekodok atau lempeng. Mukanya bersinar-sinar gembira sebab ada rezeki untuknya. Terus dia menadah tangan dan berdoa. Salah satu sudut di rumah Fard dijadikan tempat pengumpulan 'food bank'. "Saya memang tak boleh tengok dan dengar bila orang berdoa depan-depan. Serta merta jadi hiba," kata Fard lagi. Menurut Fard, individu tersebut berusia dalam pertengahan usia 30an dan datang dengan menaiki motosikal. Tambah Fard yang bekerja dalam bidang penghantaran (delivery), dia sedikit ralat kerana tidak dapat memberikan sumbangan berupa set barangan keperluan dapur yang lengkap kerana dikunjungi secara mengejut. "Bagi kita mungkin sikit, tapi bagi dia, pemberian itu sangat besar. Kisah abang itu dan penerima-penerima yang lain benar-benar membuka mata hati saya. "Apa yang kita beri tu sebenarnya tak dibandingkan dengan apa yang Allah beri kepada kita," ujar lelaki berusia 28 tahun ini lagi. Bercerita lebih lanjut mengenai inisiatif food bank yang dilakukannya sejak Jun 2021, Fard berkata dia hanya bergerak secara bersendirian namun disokong oleh insan-insan pemurah yang sudi memberi sumbangan. "Saya sendiri pernah berada di situasi titik paling bawah. Saya pernah rasa susah hingga tak ada siapa pun nak menolong. Ketika itu saya tanam dalam diri, kalau dah bangkit, satu hari nanti saya nak tolong orang. "Inilah tercetusnya idea buat food bank. Masa mula-mula tu, saya beli diapers je. Kemudian ada orang minta makanan. Saya fikir betul juga, sebab ada yang tak ada duit nak beli makanan. "Saya guna duit sendiri dan ikut kemampuan. Saya post dekat Facebook dan apabila ramai nampak post itu, mereka pun nak join menyumbang. Saya sendiri pernah berada di situasi titik paling bawah. Saya pernah rasa susah hingga tak ada siapa pun nak menolong. FARD OSMAN "Mula-mula saya tak nak orang join sebab tak mahu terikat, tapi isteri kata mengapa tidak? Apabila ramai sumbang, kita boleh beli banyak set dan sumbangkan kepada ramai penerima," katanya yang berasal dari Bukit Katil, Melaka. Fard turut melahirkan rasa syukur kerana inisiatif yang digerakkannya itu masih berterusan sehingga kini, malah terlalu ramai yang ingin turut serta sebagai penyumbang. "Ada beri barang, ada beri wang. Mereka amanahkan, saya jadi orang tengah saja. Saya hanya dibantu isteri... Kalau kawan-kawan berkelapangan, mereka pun datang tolong bungkus pek makanan. "Memang terlalu ramai yang nak sumbang, tapi saya syorkan untuk hubungi saya dulu supaya senang nak coordinate. Takut tak muat pula kalau barang-barang penuh. "Selalunya, saya hantar kepada penerima menerusi maklumat yang diterima dan ada juga yang hubungi sendiri. Mereka ini bukan orang yang miskin saja, tapi sakit, tanggungan ramai, hilang kerja dan sebagainya. 'Food bank' hasil sumbangan orang ramai kepada Fard untuk diagihkan kepada penerima. "Yang nak ambil sendiri di rumah pun boleh, tapi seeloknya hubungi dulu. Takut apabila datang mengejut, barang tak ada macam kes abang tadi," ujarnya lagi. Tidak menyangka hantarannya menjadi tular sehingga meraih lebih 2,300 share di Facebook, Fard berkata dia sama sekali tidak menginginkan pujian namun berharap sedikit sebanyak perkongsiannya dapat membuka mata lebih ramai orang untuk berbahagi rezeki. "Ini bukan usaha saya seorang tapi bersama dengan sahabat, isteri dan penyumbang. Pujian harus kepada mereka juga. "Alhamdulillah, ramai yang terinspirasi. Bagi yang nak mula, mulakan dengan apa yang ada dan ikut kemampuan sendiri. "Ada juga komen, mereka sedih sebab food bank di kawasan mereka dah tutup. Saya harap sangat, wakil rakyat, ketua kampung atau yang ada rezeki lebih, buatlah food bank. "Jangan risau, rakyat kita ni sangat pemurah... kalau anda mulakan, pasti ramai nak menyumbang," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube