suria

Bekas suami buat wanita tersentuh, hantar mesej birthday untuk anak tapi tak lupa hargai si ibu! Boleh jadi ‘pasangan bercerai contoh’

Alya bersama anak tunggalnya, Aara yang berusia dua tahun.

TIADA mana-mana pasangan yang mahukan perkahwinan mereka berakhir dengan perpisahan, lebih-lebih lagi jika memiliki anak yang masih kecil dan tidak mengerti apa-apa.

Namun, siapalah manusia untuk mengubah kisah hidup yang sudah direncana Yang Maha Esa.

Walaupun ditakdirkan berpisah, namun ia bukanlah 'tiket' untuk dua individu bermusuhan lantaran ada perkara lebih besar perlu diutamakan iaitu tanggungjawab membesarkan anak bersama-sama.

Begitulah juga dengan wanita ini yang mengambil pendekatan untuk mengekalkan hubungan baik bersama bekas suami demi anak tunggal mereka yang baru menginjak usia dua tahun.

Perkongsian videonya di TikTok, memaparkan mesej yang diterima daripada bekas suami, benar-benar menyentuh hati warga maya di mana rata-ratanya memuji mereka berdua kerana bersikap matang dan saling mengambil berat meskipun sudah berpisah.

ARTIKEL BERKAITAN: Tak bermusuh dengan isteri baharu bekas suami, wanita ini siap hantar hadiah birthday... Syukur anak-anak dapat ibu tiri baik hati!

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas berpisah 10 tahun, wanita ini pilih balik kepada bekas suami walau boyfriend baik dengan anak - “Saya langsung tak ada perasaan pada dia”

Menerusi video itu, bekas suaminya menghantar mesej sempena ulang tahun kelahiran anak perempuan mereka yang ke-2, yang jatuh pada tanggal 22 Jun lalu.

Tidak sekadar mengucapkan 'selamat hari jadi' untuk si anak, bekas suaminya mengarang ucapan yang panjang lebar khas buat wanita tersebut kerana menjadi ibu yang hebat untuk cahaya mata mereka.

Berkongsi cerita dengan mStar, wanita yang hanya mahu dikenali sebagai Alya itu berkata, dia amat terharu dan tersentuh apabila menerima ucapan yang dihantar oleh bekas suaminya, iaitu ucapan pertama sempena hari lahir anak mereka, selepas rasmi berpisah pada September tahun lalu.

aara

Aara (kanan) bersama ibu saudaranya.

"Saya rasa terharu dan tersentuh sebab ada manusia yang hargai saya selepas hampir putus nyawa keluarkan seorang manusia bernama Aara Heidi.

"Walaupun dia dah jadi bekas suami, sepanjang perkahwinan, Hasif (bekas suami) seorang yang rajin buat kerja rumah, rajin tolong saya masak.

"Dia tak berkira langsung dari segi makanan dan wang dengan anak perempuan kami, Aara. Dia juga seorang ayah yang sangat soft-spoken (lembut tutur kata)," ujar wanita berusia 25 tahun dari Shah Alam, Selangor ini.

Alya mengakui, sejak berpisah dengan bekas suaminya, bukanlah satu perkara mudah untuk membesarkan anak apabila memikul gelaran ibu tunggal.

"Jujurnya tak mudah menjadi ibu tunggal. Semua benda kita buat sendiri. Nak besarkan seorang manusia yang memerlukan kasih sayang, perhatian, didikan... ia tak mudah.

"Apa yang saya cuba buat adalah libatkan anak dalam kehidupan saya dan Alhamdulillah, Aara Heidi seorang anak yang matang dan sangat memahami walaupun dia baru dua tahun.

"Punca kekuatan saya adalah Aara Heidi. Apa-apa saya buat kerana anak. Saya kerja kuat, buat keputusan... Aara Heidi adalah orang pertama yang saya fikirkan," katanya yang bekerja dalam sektor swasta.

Dia tak berkira langsung dari segi makanan dan wang dengan anak perempuan kami, Aara. Dia juga seorang ayah yang sangat soft-spoken.

ALYA

Membuat perkongsian di media sosial sekadar suka-suka, Alya dalam pada itu berkata dia ingin menekankan mengenai tanggungjawab ibu dan bapa terhadap anak meskipun masing-masing sudah membawa haluan sendiri.

"Untuk pasangan yang dah berpisah, besar mana pun masalah, jangan libatkan anak. Anak tak boleh pilih ibu bapa mereka tapi kita yang pilih dan tentukan macam mana nak besarkan mereka dengan sempurna.

"Jangan bagi tekanan dekat anak sebab benda yang terjadi sehingga penceraian puncanya datang daripada ibu bapa, bukan anak.

"Untuk orang di luar sana, jangan anggap ibu tunggal ni perjalanan hidupnya mudah. Jangan pandang hina sebab semua masalah yang dia hadap, dia pendam seorang," akhirinya.

Perkongsian Alya di TikTok sehingga kini meraih lebih 21,000 jumlah tontonan.

ex 1

Antara komen netizen pada perkongsian Alya.

Menjengah ruangan komen, rata-rata warga maya meluahkan rasa kagum dengan sikap yang ditunjukkan oleh wanita itu dan bekas suaminya, malah menyifatkan mereka layak menjadi 'role model' buat pasangan lain.

"Bestnya dapat bekas suami yang berpendidikan. Faham tanggungjawab... rezeki awak, sis.

"Bekas suami yang berpelajaran dan tahu agama insyaAllah dia takkan sikit pun lupa tanggungjawab dia.

"Kamu berdua sangat matang. Moga Allah merahmati kamu berdua untuk kebaikan anak dan ukhuwah.

"Ya Allah, saya menangis. Kalaulah anak-anak ada ayah yang macam ni, kalaulah saya ada bekas suami macam ni... mungkin kehidupan tak jadi teruk," demikian antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

TONTON VIDEO PILIHAN!

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain