MENJELANG sambutan Hari Raya Aidiladha, ramai yang mula mencari haiwan ternakan seperti lembu dan kambing untuk ibadah korban. Sempena cuti perayaan itu, sebilangan rakyat Malaysia turut mengambil peluang untuk menjalankan majlis-majlis seperti kenduri perkahwinan, akikah dan sebagainya. Terbaharu, seorang pembekal haiwan ternakan meraih pujian netizen apabila dia menawarkan kambing untuk tujuan akikah pada harga serendah RM300 seekor. TikTok pembekal haiwan ternakan itu dihujani komen netizen dari serata Malaysia. Menggelarkan dirinya sebagai Abe Mat, pembekal haiwan ternakan itu bagaimanapun meluahkan rasa sedih apabila tindakannya menawarkan harga 'tidak masuk akal' menyebabkan dia dimarahi segelintir individu. "Ramai yang hubungi, marah saya sebab jual kambing RM300 seekor. Salah ke saya jual murah? Saya jual murah sebab saya nak tolong orang yang kurang mampu, supaya mereka mampu untuk buat akikah anak masing-masing. "Sebab dulu saya dah pernah rasa macam mana perasaan tak mampu untuk buat akikah anak saya. Saya berniaga bukan atas dasar keuntungan semata-mata," ujar peniaga dari Besut, Terengganu itu. InsyaAllah Raya Haji ni saya akan sedekahkan 20 ekor kambing untuk akikah kepada yang belum mampu untuk akikah. ABE MAT Pembekal haiwan ternakan itu turut meluahkan hasrat untuk mengagihkan 20 ekor kambing percuma kepada mereka yang mengalami masalah kewangan menjelang Hari Raya AidilAdha tidak lama lagi. "Jatuh air mata saya bila baca komen. InsyaAllah Raya Haji ni saya akan sedekahkan 20 ekor kambing untuk akikah kepada yang belum mampu untuk akikah. Yang betul-betul tak mampu sahaja ya. "Saya doakan yang lain dimurahkan rezeki supaya mampu untuk akikah anak masing-masing. InsyaAllah saya akan cuba bantu semampu saya untuk tuan dan puan yang tak mampu akikah anak masing-masing. ARTIKEL BERKAITAN: Potong dulu baru timbang, kepala ayam tak kira harga... Penjual di Changlun tiba-tiba viral, cari keberkatan dalam berniaga ARTIKEL BERKAITAN: Niat nak bantu peniaga sebab gerai suram, balik rumah pelanggan pula termenung... akhirnya ‘rahsia’ lemang tak laku terbongkar "Saya nak tolong ramai-ramai pun, saya bukannya senang sangat. Tolong doakan saya dimurahkan rezeki dan dipermudahkan segala urusan," ujarnya yang memiliki lebih 113,000 pengikut di aplikasi TikTok. Dalam perkongsian lain, peniaga itu memaklumkan dia menerima sambutan luar biasa sehingga terpaksa menambah bekalan kambing untuk memenuhi permintaan pelanggannya. "Disebabkan permintaan terlalu banyak, InsyaAllah stok kambing 300 ekor akan sampai dalam masa terdekat. Harap cukup untuk anda semua. Antara komen netizen di TikTok. "Bagi yang dah WhatsApp saya, harap bersabar ya. Saya akan balas satu persatu, WhatsApp terlalu banyak masuk sampaikan tak sempat lagi untuk balas. Harap maaf di atas kesulitan pihak saya," ujarnya lagi. Tambah pemuda itu lagi, penghantaran kambing tidak terhad di sekitar Terengganu sahaja, sebaliknya merangkumi semua negeri dalam Malaysia. Dia turut berkongsi video memaparkan pelanggannya dari Pahang dan Selangor yang sanggup menempuh perjalanan jauh untuk membeli kambing jualannya di Besut. Pembekal haiwan itu berkata dia berniat untuk membantu orang ramai. Menjengah ke ruangan komen, netizen tidak henti-henti memuji inisiatif baik pembekal haiwan ternakan itu dan mereka turut mendoakan agar dia terus dimurahkan rezeki. "Allahu moga adik dikurniakan darjat tertinggi dan syurga kelak. Memudahkan urusan insan yang susah di dunia ini. "Baiknya bos. Semoga Allah limpahkan rezeki yang halal lagi berkat kepada bos," tulis beberapa netizen. Mengikut semakan di laman sesawang Aqiqah Centre, harga kambing akikah sekitar RM750 untuk empat hingga lima kilogram (kg) daging dan boleh mencecah RM1,200 untuk 13 hingga 14 kg daging. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube TONTON VIDEO PILIHAN!