suria

Jalan sesak kereta tak bergerak depan rumah, sekeluarga cari pahala tawar tandas percuma! Ada yang check-in macam homestay

Sebuah keluarga menyediakan kemudahan 'tandas percuma' kepada orang ramai yang terkandas dalam kesesakan jalan raya.

RAMAI yang terpaksa menghadap kesesakan lalu lintas untuk balik beraya sempena cuti Aidiladha, malah ada yang perlu menempuh perjalanan sehingga 27 jam untuk tiba di kampung halaman.

Situasi sama perlu ditempuhi mereka yang mahu pulang ke rumah masing-masing selepas raya berakhir, termasuklah mereka yang beraya di Pantai Timur.

Ketika ramai yang berjam-jam 'tersangkut' di jalan raya, sebuah rumah menjadi tumpuan.

Kebanyakan pengguna jalan raya singgah ke rumah tersebut untuk menggunakan tandas, dan menariknya 'kemudahan' yang disediakan adalah percuma!

Siti Noranis Sakarnor berkata, keluarganya menyaksikan kesesakan lalu lintas yang teruk di hadapan rumah mereka di Kampung Beris Tok Ku di Setiu, Terengganu.

Lebih mesra disapa Anis, katanya, idea tersebut dicetuskan oleh abangnya, Muhammad Hafiz, 30, apabila terdapat beberapa orang awam yang singgah dan mahu menumpang tandas rumah mereka.

"Kesesakan teruk di hadapan rumah kami, ia merupakan jalan pintas yang digunakan mereka untuk balik ke Kuala Lumpur. Paling teruk masa Sabtu petang sampai ke pukul 11 malam.

"Kesakan teruk di jalan kampung sampai tak bergerak kereta mereka. Ada yang datang ke rumah bertanya surau jauh lagi dari sini ke sebab mereka nak ke tandas.

"Surau jauh lagi, dan jarak stesen minyak pun dianggarkan 2 kilometer. Jadi, abang cadang supaya kami tumpangkan mereka untuk guna tandas," katanya kepada mStar.

Kesesakan teruk di jalan kampung pada waktu malam.

Anis yang berusia 20 tahun berkata, rumahnya dilengkapi tiga tandas dan dua daripadanya dijadikan sebagai 'tandas awam' secara percuma untuk pengguna jalan raya.

ARTIKEL BERKAITAN: Raya punya hal, 25 jam harung jalan sesak... lapar dan dahaga 'tak boleh bincang'! Gadis syukur jumpa orang Terengganu baik hati

ARTIKEL BERKAITAN: Nampak banyak kereta 'luar' masuk kampung, grup belia tak berlengah... 'tong-tong' duit beli makanan - "Sampai habis stok air mineral, roti di kedai runcit Felda Lakum"

"Kasihan tengok bila mereka 'sangkut' dalam jalan sesak, ada yang lima jam dalam kereta tapi masih belum keluar dari Terengganu. Ramai yang keluar kereta untuk cari tandas, hisap rokok, berehat dan hirup udara luar.

"Kami pasang 'signboard' besar-besar ada tandas percuma. Dari orang dewasa hingga kanak-kanak, ramai datang ke rumah untuk guna tandas," katanya.

'Papan tanda' menunjukkan arah tandas.

Menurut anak bongsu daripada lapan beradik itu, suasana di rumah mereka terkawal dengan kesemua orang awam yang datang beratur untuk menggunakan tandas secara bergilir.

"Tiada masalah dari segi keselamatan sebab kami ada tandas terletak di bahagian lain, yang mana ada pintu untuk masuk ke ruang utama.

Dari yang orang dewasa hingga kanak-kanak, ramai datang ke rumah untuk guna tandas.

SITI NORANIS SAKARNOR

"Apa yang kami buat ni memang niat nak tolong orang. Tahun-tahun sebelum ini ada je jalan sesak depan rumah, tapi kereta masih bergerak perlahan," katanya.

Selain tandas, kata Anis, keluarganya turut menyediakan air mineral secara percuma kepada orang ramai yang menggunakan tandas di rumahnya.

Sebuah dikunjungi orang awam untuk menggunakan tandas.

Malah jelasnya lagi, terdapat keluarga yang menginap di rumahnya disebabkan kesesakan teruk dan mereka tidak mahu meneruskan perjalanan pada lewat malam.

"Kami menerima kunjungan enam orang sekeluarga termasuk kanak-kanak untuk bermalam. Kebetulan di salah satu bahagian rumah kami ada dua bilik yang tidak digunakan.

"Dua bilik tu kami beri mereka bermalam dan dikenakan caj macam homestay. Esok pagi mereka 'check out' dan sambung perjalanan.

"Alhamdulillah, kami sekeluarga dapat bantu yang termampu dengan memberi kemudahan orang ramai yang 'sangkut' dalam kesesakan di jalan raya," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain