suria

Tengah ’sedap’ keluar dating tiba-tiba bakal BF lesap, beg tangan dalam kereta angkut sekali - “Jangan pendek akal macam saya”

Lelaki bertanggungjawab terhadap keselamatan teman wanitanya ketika keluar bersama. -Gambar hiasan

TEMU janji bersama teman wanita atau lelaki adalah lumrah dalam percintaan.

Ia merupakan sebahagian daripada proses untuk mengenali pasangan dengan lebih dekat kerana komunikasi melalui platform elektronik sahaja tidak memadai.

Namun risiko keselamatan amat tinggi kerana tiada siapa yang tahu jika seseorang itu mungkin mempunyai niat serong.

Ciapan asal di Twitter.

Seperti yang berlaku terhadap seorang gadis ini, dia mengadu ditinggalkan secara mengejut oleh lelaki yang dikenalinya melalui aplikasi mencari jodoh (dating app), baru-baru ini.

Bagaimanapun kes itu sudah diselesaikan dengan baik dan ia diminta supaya dijadikan pengajaran kepada wanita di luar sana.

"Saya kenal secara online dengan seorang lelaki ini, saya keluar dating naik kereta dia. Tiba-tiba dia hilang macam tu je dengan barang peribadi saya masih dalam kereta dia.

ARTIKEL BERKAITAN: Depan isteri jadi suami ‘soleh’, keluar rumah rancak buka ‘dating apps’ cari perempuan... Paling sedih kantoi mesej langgan pelacur!

ARTIKEL BERKAITAN: Suami kantoi bersusun ‘dating apps’ dalam telefon, isteri suruh sumpah dengan al-Quran janji tak main cinta online

"Namun saya nak ucapkan terima kasih banyak dekat ayah dia sebab sudi beri kerjasama. Dah dapat semula barang saya. Ini satu pengajaran untuk saya. Jangan sesekali percaya dengan lelaki dekat dating app.

"Jangan jadi pendek akal macam saya. Jangan pernah berani keluar waktu malam dengan lelaki yang kita baru kenal, tolong jangan," tulis wanita itu insaf.

Perkongsian wanita itu di Twitter menarik perhatian ramai termasuk seorang lelaki yang mengimbas memori lama dan mendakwa dia pernah melihat kejadian yang serupa tetapi malangnya ia berakhir dengan tragedi.

Kalau keluar malam, sebelum pukul 12 tengah malam hantar dia (teman wanita) balik rumah.

WARGA MAYA

"Kaum lelaki, tolong la bertanggungjawab kalau bawa perempuan keluar. Pastikan hantar mereka pulang dengan selamat. Ketika saya masih remaja, ada seorang gadis ni ditinggalkan di tepi jalan oleh teman lelakinya pada waktu malam.

"Dia merayu untuk tidak ditinggalkan di situ tetapi permintaannya tidak diendahkan dan dia dibiarkan begitu sahaja dalam kegelapan malam. Dia akhirnya diculik, dirogol, dibunuh dan badannya dikerat untuk dibakar.

"Mangsa hanya berumur 16 tahun, dia merupakan pelajar sekolah di kawasan perumahan saya. Kejadian pada tahun 2011 di Masai, Johor. Seluruh kejiranan saya trauma sehingga ke hari ini.

"Pada tahun 2015 suspek itu dah dapat hukuman mati yang diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan, syukur," kata lelaki itu.

Sebahagian ciapan balas warga maya.

Kejadian yang dikongsikan lelaki berkenaan dipercayai merujuk kepada jenayah pembunuhan kejam didalangi seorang pengawal keselamatan bersama rakannya di sebuah ladang kelapa sawit.

Warga maya lain pula mengatakan tidak manis untuk membawa keluar wanita sehingga ke lewat malam.

"Untuk lelaki, jangan la curi-curi bawa anak dara orang keluar. Jangan buat benda tak senonoh dengan anak orang. Jaga kehormatan diri dia sebab insan itu kau nak buat isteri.

"Nak dia jadi mak kepada anak-anak kau. Kalau suka, pergi terus terang dengan ibu bapa dia. Kalau keluar malam, sebelum pukul 12 tengah malam hantar dia balik rumah.

"Apabila dah hantar teman wanita depan rumah, pastikan dah nampak dia masuk ke dalam pintu rumah baru gerak. Kepada wanita, jangan mudah percaya lelaki di dating apps," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain