suria

“Mak cakap ayah kerja dekat syurga” - Anak terpinga-pinga tak faham, rasa pelik tengok kawan ada bapa

Fahmi menceritakan kisah silam sewaktu kecil yang membesar tanpa bapa di sisi. -Gambar hiasan

INSTITUSI kekeluargaan pastinya tidak lengkap tanpa figura seorang ibu atau bapa.

Namun tidak semua insan di dunia ini bernasib baik untuk merasai kasih sayang daripada kedua-dua insan itu.

Sebagaimana diceritakan usahawan Fahmi Huzairi Abdul Ghani di Facebook, dia tidak pernah merasai belaian seorang bapa sejak dilahirkan.

“Mama cakap ayah saya meninggal waktu dalam kandungan. Tapi masa kecil saya bukan faham pun meninggal tu apa. Saya faham ayah kerja tak cuti-cuti," katanya.

Fahmi tidak pernah berjumpa dengan bapa kandungnya sejak lahir.

Imbas Fahmi lagi, kejadian ketika usianya lapan tahun masih segar dalam ingatan.

“Masa kecil saya dan kawan-kawan berjalan di sekitar bandar Temerloh, Pahang. Tiba-tiba salah seorang kawan kami ajak naik ke satu bangunan pejabat.

"Jom naik atas jumpa ayah kita. Cadangan salah seorang daripada kami. Apabila dia sebut ‘ayah kita’ saya rasa dunia sangat bersinar-sinar. Saya happy tak terkata sebab pertama kali akan dapat melihat dan berjumpa dengan ayah.

"Rupa-rupanya ayah-ayah mereka semua bekerja di pejabat tersebut. Jadi apabila naik, masing-masing dapat jumpa ayah mereka dan dapat 50sen untuk beli air dan jajan,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Hidu dalam-dalam, cium tuala arwah bapa buat lepas rindu... Ramai sebak tonton video anak manja ini - “Dud sayang papa!”

ARTIKEL BERKAITAN: Terlalu rindu ayah... ibu buntu si abang peluk baju, adik menangis ajak ke kubur - “Sebelum ni dia tak macam tu”

Namun bagi Fahmi dia masih tercari-cari di manakah insan yang bergelar ayah untuknya hingga para perkeja di pejabat berkenaan mula bertanya.

Setelah mendengar cerita Fahmi, mereka akhirnya faham tentang apa yang berlaku.

"Kawan-kawan saya dapat jumpa ayah mereka, kenapa saya tak boleh jumpa ayah saya?

"Mak cakap ayah saya kerja hamba Tuhan, dia kerja dekat syurga,” terang Fahmi.

Mama cakap ayah saya meninggal waktu dalam kandungan.

FAHMI HUZAIRI

Sedih dengan jawapan Fahmi, salah seorang daripada wanita di pejabat itu bingkas memeluknya.

Ketika wanita yang digelar makcik ini menangis, dia sempat menitipkan pesan kepada Fahmi.

"Nanti apabila Fahmi dah besar, dah ada anak-anak, makcik doakan awak jadi ayah yang terbaik untuk anak.

“Jadi ayah yang tak pernah tinggalkan anak-anak, sentiasa ada untuk mereka sebab hari ini awak sedang belajar bagaimana sayunya hati apabila tiada ayah disisi,” ujarnya mengimbas kembali cerita lama.

Seorang bapa merupakan tempat anak-anak bermanja dan bergantung harap. -Gambar hiasan

Jelas Fahmi dia mengambil masa yang lama untuk memahami kehidupannya yang dilahirkan tanpa kasih sayang bapa di sisi sebagai tempat bermanja.

Bagaimanapun dia berharap agar suatu hari dapat berjumpa dengan bapanya di syurga kelak.

“Mungkin itulah perasaan anak-anak apabila tiada ayah di sisi, atau ayah-ayah yang tak pernah meluangkan masa, ambil berat fasal anak-anak mereka.

“Anak-anak yang merindu tanpa kata, anak yang tertanya-tanya di mana ayah waktu mereka memerlukan sokongan, dorongan dan harapan seorang figura bernama ayah,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain