RINDU tidak berpenghujung merupakan satu perasaan biasa bagi mereka yang kehilangan insan tersayang. Turut dibelenggu rasa sama ialah Nurhafira Alfi, 25, yang kematian bapa akibat jangkitan kuman dalam darah pada 20 Februari 2022. Bagi mengubat rasa rindu, Nurhafira atau Alfira akan membaca mesej lama perbualan dengan arwah menerusi aplikasi WhatsApp yang masih disimpan rapi sebagai kenang-kenang. "Chat terakhir dengan ayah, dia kata nak masak gulai ketam untuk kakak. Tapi tak sempat. Ayah jatuh sakit, koma dan pergi tinggalkan kakak selamanya. "Rindu yg tiada penghujung. Kakak sayang ayah dunia dan akhirat," tulis Alfira menerusi perkongsian di TikTok hingga menarik perhatian ramai. Alfira dan bapanya. Ketika dihubungi mStar, Alfira menyingkap semula kisah dukanya setelah kematian bapa tersayang, Alfi Kasim pada usinya 56 tahun. "Mula-mula tu ayah hanya demam saja sebab doktor tak dapat kesan dia sakit apa. Selepas beberapa minggu di hospital, ayah terkena jangkitan kuman dalam darah, jadi dia ditidurkan. "Doktor cakap organ dalam badan dia dah tak berfungsi. Selepas kematian ayah, saya sedih dan rindu dia sampai sekarang. "Saya sangat rapat dan manja dengan ayah sebab saya satu-satunya anak perempuan," katanya yang merupakan anak kedua daripada tiga beradik. ARTIKEL BERKAITAN: Hidu dalam-dalam, cium tuala arwah bapa buat lepas rindu... Ramai sebak tonton video anak manja ini - “Dud sayang papa!” ARTIKEL BERKAITAN: Bapa buat persiapan tinggalkan keluarga! Beri nombor pin bank, renew khairat kematian - “Kamu tak perlu keluar 5 sen pun” Mengimbas kenangan bersama bapanya, Alfira yang berpindah ke Senawang, Negeri Sembilan setelah mendirikan rumah tangga berkata dia merindui bapanya yang suka menghantar swafoto (selfie) dan video menerusi perbualan di WhatsApp. "Masa saya belajar di Sarawak memang selalu hubungi ayah di Melaka. Dia juga selalu kirimkan duit. Lepas dah berkahwin pun ayah selalu kirim duit walaupun saya dah bersuami... segan saya dibuatnya. "Apabila kami berjauhan memang dia selalu tanya khabar dengan hantar video dan selfie. Lebih kerap masa tahun-tahun akhir sebelum dia pergi. Boleh nampak dalam selfie dia perubahan pada muka berisi sampai jadi kurus sebab sakit," ujar ibu kepada seorang cahaya mata itu. Alfira merupakan anak manja yang sangat rapat dengan arwah bapanya. Menurut Alfira yang kini merupakan suri rumah yang berniaga secara sambilan, arwah merupakan seorang yang suka memasak untuk keluarganya. Ujar Alfira, dia bagaimanapun berasa amat terkilan apabila mengenang kembali janji arwah bapanya yang tidak sempat menunaikan hasrat untuk memasak menu ketam masak gulai. Kini walaupun sudah lebih setahun pemergian bapanya, dia masih tidak makan masakan ketam masak gulai kerana terlalu merindui arwah. "Ayah memang suka ajak makan. Selagi tak makan dia akan pelawa macam memaksa kita. Dia pun rajin memasak untuk kami sekeluarga. Hari-hari jual buah berangan dekat pantai di Klebang... itulah punca pendapatan ayah membesarkan kami sekeluarga. NURHAFIRA "Menu gulai ketam tu memang makanan kesukaan kami termasuklah saya sendiri. Saya memang terkilan sangat tak sempat makan gulai ketam masakan terakhir dia sebab masa saya balik tu ayah dah terlantar sakit sebelum meninggal. "Jadi sampai sekarang saya tak makan lagi gulai ketam. Macam tak berselera nak makan sebab teringat ayah. Rasa nak suruh ayah yang masak juga," katanya lagi. Kata Alfira, adik dan abangnya kini meneruskan legasi perniagaan buah berangan yang sebelum ini diusahakan bapanya selama 20 tahun di Klebang, Melaka. Perniagaan buah berangan bakar diusahakan oleh bapanya sejak 20 tahun lalu. Bukan itu sahaja, nama premis perniagaan mereka juga ditukar sebagai tanda memperingati arwah bapanya yang sentiasa berada dalam hati Alfira sekeluarga. "Masa ayah ada, hari-hari dia menjual buah berangan dekat pantai di Klebang. Waktu tu pantai belum ada tambak lagi. Itulah punca pendapatan ayah membesarkan kami sekeluarga. "Sebelum ni nama kedai kami Buah Berangan Panas tapi sekarang dah bertukar Buah Berangan Ayah supaya kami terasa ayah masih ada dengan kami. "Apa-apa pun, bagi mereka yang masih ada ibu bapa, hargai mereka. Jangan sia-siakan. Jadikan ibu bapa ni tempat kita berkongsi cerita. "Banyakkan cipta kenangan dengan ambil gambar atau video banyak-banyak," ujarnya menutupi kisah. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube