suria

Anak jual rokok sampai kena gantung sekolah, bapa sikit pun tak meradang... Tak sangka bisnes makin rancak, terus jadi kartel telefon bimbit!

Pergaulan remaja bersama rakan sebaya. -Gambar hiasan

KETIKA berada dalam keadaan terdesak, ramai dalam kalangan kita sanggup melakukan apa saja bagi mencari duit dengan mudah.

Lebih-lebih lagi pelajar yang mahu cari duit poket, sama ada untuk menampung perbelanjaan harian mahupun meringankan beban ibu bapa.

Mengimbas kembali zaman remaja, seorang doktor berkongsi pengalamannya yang berani menjual rokok di 'pasaran gelap'.

Namun nasib tidak menyebelahinya apabila ditangkap warden asrama sehingga dikenakan hukuman gantung sekolah ketika di Tingkatan Empat.

Hakikatnya, ada yang lebih menggerunkan selepas hukuman tersebut dijatuhi, iaitu menghadap bapanya sendiri.

"Saya punya takut nak berhadapan dengan ayah, sampai empat hingga lima kali pergi tandas. Sampai dah tak ada air kencing nak keluar.

"Apabila ayah sampai, saya naik kereta dan membatukan diri. Jantung saya berdegup seolah ia menendang-nendang dinding dada saya," tulisnya dalam satu hantaran di Facebook.

Merokok memberi kesan buruk kepada kesihatan. -Gambar LOW LAY PHON/The Star

Memecah kesunyian sepanjang perjalanan, kata Dr Kamarul, bapanya ketika itu bertanyakan tentang jualan rokok di sekolah.

"Banyak untung? soal ayah... suara dia serius. Saya jeling padanya sekilas pandang. Matanya tertancap pada jalan raya, tapi saya rasakan seolah-olah matanya terjegil memandang saya.

"Tak berapa, jawab saya. Kalau tak berapa untung, buat apa jual? kata Ayah. Sebab benda tu je yang mudah nak jual, balas saya," katanya.

Perbualan kemudian bertukar kepada bapanya bercerita mengenai bagaimana susahnya mahu memulakan bisnes, malah berkongsi tentang cara menyimpan wang dan menambat hati klien.

ARTIKEL BERKAITAN: "Boleh buat series Netflix" - Licik 'bisnes haram' di hostel sebab terdesak, pemuda insaf aniaya rakan sampai kena gantung sekolah

ARTIKEL BERKAITAN: Senang kerja! Warden buat live TikTok ketika spotcheck dorm pelajar, otai hadir dedah port rahsia sorok barang larangan

Dalam perjalanan ke rumah yang mengambil masa lebih sejam, semua yang diceritakan tentang bisnes termasuk visi dan perancangan bapanya untuk masa depan.

"Sedikit pun ayah tak sentuh tentang keburukan rokok atau kebodohan tindakan saya menjual barang terlarang. Saya tahu ayah tak suka saya jual rokok, tapi dia lebih tumpukan perbualan kami kepada perkara yang kami berdua suka, iaitu bisnes.

"Dia lebih memberi perhatian kepada perkara positif yang dilihat ada dalam diri saya. Dia sokong, puji dan beri galakan. Akhir sekali baru dia kata Ayah tak kisah kau nak berniaga, tapi jual benda lainlah," katanya.

Ayah lebih memberi perhatian kepada perkara positif yang dilihat ada dalam diri saya.

DR KAMARUL ARIFFIN NOR SADAN

Sekembalinya ke sekolah selepas tamat tempoh hukuman, Dr Kamarul berkata, dia menawarkan servis menggunakan telefon bimbit, bermodalkan untung jualan rokok.

"Zaman tu pelajar tak mampu beli telefon bimbit, kena guna telefon awam. Masalahnya, kena tunggu giliran nak guna telefon awam sangat panjang.

"Jadi saya sediakan servis untuk menelefon awek di asrama puteri. Duit untung jual rokok, saya beli dua telefon bimbit. Satu saya pegang, satu lagi ejen saya di asrama puteri pegang.

"Kalau ada pelajar lelaki nak telefon awek, saya telefon ejen saya dan suruh dia sampaikan pada penerima panggilan. Saya caj panggilan tu per minit," ujarnya yang kemudian menjana pendapatan dengan menjual telefon terpakai dan berniaga tambah nilai untuk pra bayar.

Pelbagai jenis telefon dijual di pasaran. -Gambar hiasan / FAIHAN GHANI/TheStar

Menurut Dr Kamarul, bisnesnya berkembang sehingga membolehkannya memiliki empat telefon bimbit yang boleh dibanggakan pada waktu itu.

"Malangnya, ketika itu memiliki telefon bimbit di asrama adalah satu kesalahan. Tiga daripada empat telefon bimbit saya akhirnya kena rampas semasa spot check besar-besaran

"Maka berakhirlah zaman kegemilangan saya sebagai kartel telefon bimbit," katanya.

Menerusi perkongsian ceritanya, Dr Kamarul mahu memuji cara bapanya menangani masalah termasuk mendorong untuk maju ke arah yang positif.

"Berilah perhatian kepada pencapaian positif anak-anak. Tumpukan pada kekuatan mereka. InsyaAllah mereka akan menjadi insan yang cemerlang di masa hadapan.

"Berkat tunjuk ajar dan sokongan ayah saya dulu, kini saya seorang doktor dan usahawan, ada empat pusat rehabilitasi, satu rumah penerbitan buku dan beberapa bisnes lain yang sedang diusahakan.

"Terima kasih, ayah. Tak terbalas jasamu. Semoga ayah ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman. Al-fatihah," katanya mengakhiri perkongsian di Facebook.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain