suria

“Dia tengok kerusi susun atas meja” - Tauke maggi ketam pelik pelanggan mengadu kedai tutup... Sedih bergadai harta angkara sihir

Seorang peniaga sedih kerana restorannya tidak dikunjungi pelanggan.

RESTORAN nampak meriah, terang-benderang disinari lampu namun malangnya langsung tiada pelanggan.

Keadaan yang berlaku itu mengundang sebak seorang pengusaha sehingga meluahkan kesedihannya di laman sosial.

"Buka sejak 12 tengah hari. Sekarang jam 8.43 belum ada pelanggan," luahnya menerusi satu perkongsian video yang dimuat naik di TikTok.

Berkongsi cerita, pengusaha restoran berkenaan, Nor Fazilah Jusoh mengakui dia tidak dapat menyembunyikan perasaan yang terlalu sedih kerana tiada pelanggan datang ke premisnya pada hari berkenaan.

Namun, wanita berusia 44 tahun itu mendedahkan kejadian seumpama itu bukan pertama kali berlaku di restoran mereka yang terletak di Puchong, Selangor.

"Berlaku tidak menentu sejak hampir setahun, tapi tahun ini keadaannya paling teruk. Masalahnya, bukan pelanggan tak datang. Cuma mereka dakwa kata tak nampak atau tutup.

"Ada kereta masuk ke kawasan parkir di restoran saya, selepas dua hingga tiga minit kemudian mereka keluar semula. Keadaan itu berlarutan sampai sekarang," katanya kepada mStar.

Restoran milik Nor Fazilah terletak di Puchong, Selangor.

Beroperasi dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam, Nor Fazilah mengusahakan restoran itu dengan lebih 30 jenis masakan terutama sajian popular maggi ketam.

ARTIKEL BERKAITAN: Peniaga 'urut dada' pelanggan ghaib waktu Maghrib, lauk penuh meja tapi tak muncul... Mujur ada hamba Allah baik hati hulur duit

ARTIKEL BERKAITAN: Kedai makan tak laku, seorang pelanggan pun tiada... Hasrat wanita minta edit gambar macam gerai viral sentuh hati netizen

Dia yang berasal dari Setiu, Terengganu berkata, pelbagai cara yang diikhtiarkan termasuk melakukan rawatan perubatan Islam.

"Saya diberitahu ada gangguan. Setiap kali berubat, keadaan pulih dan tidak lama kemudian berulang kembali.

"Pernah suatu malam, ada seorang pelanggan sekeluarga datang dari Nilai, Negeri Sembilan dan parking kereta depan restoran. Kebetulan saya nampak macam mereka nak keluar semula, cepat-cepat saya lambai.

"Pelanggan tu nampak saya dan sangka kedai tutup sebab sebelum tu dia tengok semua kerusi diletakkan atas meja. Memang pelik sebab kami tak buat macam tu walaupun tutup," ujarnya.

Restorannya sebelum ini dikunjungi ramai pelanggan.

Menurut Nor Fazilah, keadaan itu ternyata memberi kesan kepada perniagaannya yang bertapak di lokasi baharu sejak 2021.

"Dulu ramai pelanggan sampai tak menang tangan dan terpaksa menghentikan servis penghantaran sebab tak dapat tampung pesanan yang terlalu banyak.

Keadaan ini sangat misteri dan mistik, mungkin ada yang sakit hati dan dengki.

NOR FAZILAH JUSOH

PEMILIK RESTORAN

"Dulu ada seramai 16 pekerja, sekarang tinggal tiga orang sahaja. Kalau dulu, saya dapatkan pekerja part time untuk Jumaat, Sabtu dan Ahad sebab hari cuti lebih ramai yang datang.

"Dulu pendapatan paling sikit pun RM4,000 sehari. Sekarang ni pernah dapat bawah RM100," katanya yang merupakan ibu kepada empat anak itu.

Antara masakan yang disajikan di restoran.

Sehubungan itu kata Nor Fazilah, dia merancang untuk mengembalikan semula khidmat penghantaran bagi meneruskan kelangsungan perniagaannya, termasuk membiayai sewa tanah yang menempatkan restorannya.

"Sampai saya terpaksa jual sebuah kereta, dua superbike dan barang kemas. Sekarang nak jual rumah pula sebab simpanan dah habis. Saya beritahu suami kalau keadaan macam ni berterusan mungkin akan tutup kedai.

"Saya dah cuba pelbagai cara termasuk mengurangkan harga makanan tapi masih ada pelanggan yang tak nampak. Yang saya sempat tegur dan lambai tu mujur mereka masuk ke dalam dan kebetulan saya duduk termenung menunggu pelanggan.

"Keadaan ini sangat misteri dan mistik. Mungkin ada yang sakit hati dan dengki tapi saya tak tahu. Dalam hati saya tertanya-tanya kenapa restoran saya macam ni? Saya doa minta pada Allah supaya kembalikan rezeki dan restoran nampak dibuka," katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain