PERNAHKAH anda membayangkan bagaimana pemandangan peta Malaysia pada waktu malam menerusi aplikasi Google Earth? Pasti teruja menyaksikan keindahan bandar-bandar mahupun tempat tinggal anda sendiri bermandikan gemerlapan cahaya lampu. Seolah-olah berada di angkasa lepas, tetapi hakikatnya pemandangan indah itu dapat dinikmati di hujung jari menggunakan gajet sahaja. Menerusi satu hantaran di Twitter, beberapa imej Semenanjung Malaysia dengan sinaran cahaya lampu pada waktu malam dimuat naik seorang pengguna. Apa yang lebih menarik perhatian adalah salah satu imej menunjukkan Laut China Selatan yang turut dikesan mempunyai beberapa kawasan dilimpahi cahaya lampu. Salah satu pelantar minyak di perairan Malaysia. -Gambar MOHD SAHAR MISNI "Ini adalah Semenanjung Malaysia pada waktu malam menurut Google Earth. Jika anda melihat pantai Terengganu, anda boleh melihat cahaya lampu di Laut China Selatan. "Saya tertanya-tanya apakah cahaya lampu itu? Saya tidak nampak mana-mana pulau yang saya tahu. Adakah ia kapal? Cahaya tersebut adalah lebih terang berbanding sesetengah bandar," tulis individu dikenali sebagai Ooi Beng Cheah di akaun @luxentX. ARTIKEL BERKAITAN: Foto Google Earth tular, identiti kumpulan lelaki berpakaian putih di tengah gurun jadi teka-teki ARTIKEL BERKAITAN: Menyeramkan! Objek mistik berjaya dirakam Google Earth Berdasarkan imej tersebut, dia turut memberitahu betapa terangnya keseluruhan Selangor dan Kuala Lumpur, berbanding negeri-negeri lain. "Hampir seluruh negeri 'terang-benderang'. "Tanah besar Pulau Pinang juga diterangi. Perbezaan agak ketara berbanding Kedah dengan aktiviti pertanian," katanya. Kenapa pantai Terengganu mempunyai lebih banyak 'lampu' berbanding Sarawak jika ia adalah aktiviti minyak dan gas di luar pesisir? OOI BENG CHEAH Dalam pada itu, dia turut tertanya-tanya mengapa Google Map tidak mempunyai butiran peta lebih terperinci melalui platform tersebut. Ini kerana katanya, jika ada tentunya akan mewujudkan hasil 'penerokaan' yang lebih menarik. Di ruangan bebenang, rata-rata netizen berpandangan bahawa cahaya lampu yang menerangi beberapa lokasi di Laut China Selatan disebabkan oleh penempatan pelantar minyak dan gas. Imej Google Earth merujuk cahaya lampu di luar pesisir pantai Sarawak. Bagaimanapun, Beng Cheah membuat perbandingan dengan kawasan luar pesisir pantai Sarawak yang turut menjadi lokasi sumber minyak dan gas. "Jika dibandingkan dengan lampu-lampu di pantai Sarawak pun tak banyak aktiviti. Sarawak juga mempunyai banyak aktiviti minyak dan gas aktif di luar pesisir pantai. "Saya berasa pelik, kenapa pantai Terengganu mempunyai lebih banyak 'lampu' berbanding Sarawak jika ia adalah aktiviti minyak dan gas di luar pesisir?" soalnya, susulan ciapan yang diulang kicau lebih 2,000 kali. Selain ramai yang meneka cahaya dimaksudkan dalam Google Earth merujuk kepada lampu dari pelantar minyak dan gas, terdapat juga komen-komen netizen yang menghiburkan. "Itu Pulau Perhentian, ada pertunjukan api. "Gelapnya Pahang, bagus tidur awal esok nak pergi kerja. "Tengok! Alien adalah wujud. "Geng-geng candat sotong tu. Musim bercandat bang. Kena cerah baru sotong naik," komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube