suria

Call tak angkat, mesej tak balas pemuda terus terjah pejabat! Terkejut belum ada staf masuk kerja - “9.13 pagi masih tutup, waktu operasi mula jam 8”

Hanif menceritakan pengalamannya ketika hadir ke cawangan AKSB pada Ahad.

ISU 'curi tulang' di tempat kerja merupakan topik yang sering menjadi bualan ramai.

Golongan ini cukup sinonim dengan sikap malas, suka mengular malah ponteng kerja malah dan ia wujud sama ada dalam kalangan penjawat awam atau pekerja syarikat swasta.

Seperti yang terjadi kepada Hanif M Noor baru-baru ini, dia meluahkan rasa terkilannya dengan staf pengurusan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB).

Sebagaimana dinyatakan dalam hantaran di Facebook yang tular pada Ahad, sebagai pelanggan dia berasa kesal sejurus tiba di pejabat AKSB cawangan Pasir Mas pada pagi itu setelah melihat pejabat kosong tanpa pekerja.

Dakwanya, dia sebelum itu cuba berkali-kali menghubungi pihak pengurusan melalui telefon dan menghantar mesej di aplikasi WhatsApp namun tiada sebarang respons diterima.

Foto-foto dikongsikan Hanif dalam hantaran tular.

“Patutlah telefon tak diangkat, WhatsApp tak dibalas. Rupanya tiada seorang pun staf berada di kaunter.

"Pukul 9.13 pagi masih tutup, padahal waktu kerja bermula jam 8 pagi," katanya dalam posting yang dimuat naik berserta beberapa foto yang dirakam.

Hanif kemudian terus menunggu demi menyelesaikan urusan untuk menyemak butiran laporan yang dibuat.

“Saya masuk dan tunggu lebih kurang 10 minit. Barulah keluar seorang staf," katanya.

Namun malang nasib Hanif apabila dimaklumkan bahawa pekerja yang bertugas di bahagian kaunter pengurusan sedang bercuti pada hari tersebut.

"Tapi dia (staf) bukanlah pekerja yang menjaga kaunter. Nak semak maklumat laporan pun tidak boleh, staf jaga kaunter cuti,” ujarnya lagi.

Umum mengetahui bahawa cuti hujung minggu di negeri Kelantan termasuk cuti sekolah adalah pada hari Jumaat dan Sabtu, sama dengan Terengganu, Johor dan Kedah.

ARTIKEL BERKAITAN: Lepasan SPM nak minta kerja tapi biadab, ‘menjawab’ disuruh beri resume - “Saya bukan apply HR atau akauntan”

ARTIKEL BERKAITAN: “Pekak ke apa kau ni?” - Selamba kongsi video tengking pekerja McD ketika drive-thru, lelaki ini teruk dikecam

Beberapa keping foto menunjukkan maklumat mengenai waktu operasi turut disertakan bagi menggambarkan dia berada di lokasi pada waktu bekerja.

Lelaki ini sangat terkilan kerana tiada seorang pekerja pun bertanggungjawab dan kaunter dibiarkan kosong tanpa dijaga oleh sesiapa.

Cuti memanjang. Cutilah, hari minggulah (bercuti), nenek beranaklah, kucing sakit perutlah.

NETIZEN

“Boleh pula dia (staf bercuti) dan tinggalkan kaunter kosong begitu sahaja? Teruk sungguh perkhidmatan AKSB.

"Telefon HQ (headquarters) sampai empat kali pun tidak diangkat panggilan. Minta peruntukan sampai RM8 bilion. Kalau macam ni, layak diberi RM8 saja,” luahnya lagi.

Semakan mStar mendapati hantaran tular tersebut dibanjiri pelbagai reaksi netizen yang meluahkan pandangan masing-masing di ruangan komen.

Rata-ratanya tidak puas hati dengan sikap yang ditunjukkan staf di syarikat ini kerana mereka semua dibayar gaji untuk berkhidmat kepada rakyat.

"Bonus nak, kerja tak nak.

"Itu yang seronok bekerja sektor kerajaan. Cutilah, hari minggulah (bercuti), nenek beranaklah, kucing sakit perutlah.

"Semua boleh cuti tanpa rekod. Cukup bulan, pergi mesin ATM keluarkan gaji," demikian antara komen netizen.

Komen netizen di Facebook.

Menurut portal Jabatan Sumber Air Kelantan, Jabatan Air Negeri Kelantan telah ditubuhkan dengan rasminya pada 1 Januari 1996 untuk mengawal selia perkhidmatan bekalan air yang diswastakan pada 1 Oktober 1995.

Penubuhan jabatan air adalah selaras dengan peruntukan dalam Enakmen Bekalan Air 1995.

Matlamat awal penubuhan jabatan ini adalah untuk memastikan pengurusan bekalan air dilaksanakan secara efisien selaras dengan Dasar Air Negeri.

Namun setelah Akta Industri Perkhidmatan Air 2006 (Akta 655) berkuatkuasa, fungsi kawal selia bekalan air telah diambil alih oleh Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (Span) pada 1 Januari 2008.

Pengambilalihan ini dilakukan di semua negeri di semenanjung mengikut Akta Pengurusan Industri Air Negara (WISA).

Bagaimanapun sehingga kini, masih tiada sebarang kenyataan rasmi dikeluarkan daripada pihak berkenaan mengenai isu tular ini.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain