SETELAH dituduh menjadi punca penceraian dalam perkahwinan yang bertahan hanya selama dua minggu, bekas pengkid dikenali sebagai Nurazearah Fateha atau Yan akhirnya tampil bersuara. Bagaimanapun kata Yan, 22, dia reda dengan apa yang berlaku dan memilih untuk tidak membuka aib dengan terus bercerita tentang punca penceraiannya dengan bekas mak nyah bernama Adam, 40, atau lebih dikenali sebagai Danny. "Aib itulah berdosa besar, ibarat satu fitnah yang paling besar dalam dunia ini. Pelangi akan hilang apabila kita dah mula perbaiki diri kita dengan jalan yang benar. Saya kena buka buku baru atas diri saya. "Aktiviti saya adalah mencari saham di akhirat nanti. Saya takut pada Allah kerana sekarang baru saya rasa hebatnya ujian yang diturunkan kepada saya. "Saya doa supaya saya sentiasa tabah dan terus istiqamah. Saya ambil ujian ini sebagai pengajaran supaya saya lebih berhati-hati lagi," ujarnya menerusi laman TikTok. Danny dan Yan mengambil keputusan untuk berkahwin selepas lima hari berkenalan. Sebelum ini menerusi temubual eksklusif mStar bersama Danny, lelaki itu menyalahkan Yan sebagai punca rumah tangga yang dibina musnah selepas dua minggu. Kata Danny rumah tangga yang dibina 15 Julai lalu berakhir dengan penceraian menerusi aplikasi WhatsApp pada 30 Julai selepas Yan berkali-kali minta diceraikan. Sementara itu Yan berkata buat masa ini dia memilih untuk tinggal bersama ibunya di Ulu Remis, Kluang, Johor. ARTIKEL BERKAITAN: Bekas mak nyah dedah isteri minta cerai... puas pujuk tapi tetap nak berpisah ARTIKEL BERKAITAN: Jodoh bekas mak nyah, pengkid tak tahan lama... Danny cerai Yan lepas 2 minggu nikah "Terima kasih semua yang mendoakan saya. Insya-Allah demi anda semua, saya kuat setahap ini. Doakan saya semoga saya berjaya suatu hari nanti untuk banggakan ibu. "Terima kasih banyak-banyak kepada semua yang selalu bagi sokongan pada saya... yang tak henti-henti bagi semangat pada saya. Insya-Allah dengan izin Allah saya boleh berjaya suatu hari nanti. "Niat saya ikhlas daripada hati suci saya, Allah akan kabulkan doa saya untuk membuat ibu saya tersenyum. Saya lebih tenang di sisi ibu saya," katanya. Kisah perkahwinan pasangan ini menjadi perhatian netizen. Dalam posting berlainan di TikTok, Yan berkata dia sabar berdepan pelbagai ujian dan menerima sekiranya terus menjadi bahan kejian mana-mana pihak. "Sabar saya, diam saya, itulah kunci kekuatan saya untuk menghadapi Allah. Biarlah tabur dengan fitnah apa orang sampaikan pada saya, saya reda. Suatu hari nanti Allah akan membalasnya. "Biar Allah yang aturkan, cukup saya sujud minta pada Allah apa yang terjadi dalam hidup saya," luah Yan. Terdahulu, perkahwinan Yan dan Danny menjadi tumpuan ramai gara-gara status mereka sebelum ini yang dikenali sebagai bekas mak nyah dan pengkid. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube