suria

3 kali anak usia 4 tahun tegaskan nak galas tugas cuci buntut ibu, dari kecil dah ziarah rumah orang tua-tua di Melbourne

Tariq berjanji untuk menjaga ibunya dengan membasuh punggung apabila sudah uzur kelak.

JAWAPAN seorang kanak-kanak lelaki setelah diajukan soalan oleh ibunya mengundang rasa sebak dan terharu warga maya.

Mana tidaknya, walaupun baru berusia empat tahun, Putera Tariq Ferhad menyatakan kesanggupan menjaga ibunya apabila sudah uzur kelak.

"Adik (gelaran Tariq) basuh buntut mama," katanya, menjawab soalan si ibu, Datuk Puteh Hidayah A.Rahman.

Ketika dihubungi mStar, Puteh berkata dia sendiri membuat rakaman video itu untuk dijadikan sebagai kenangan dan disimpan di media sosial.

"Saya selalu bersembang dengan anak-anak tentang masa depan. Antaranya berkenaan saya dan suami akan tua sama seperti datuk dengan nenek.

"Saya ada cerita yang orang tua (uzur) tak mampu lagi nak ke tandas macam biasa. Perlukan bantuan orang lain uruskan mereka buang air, mandi, pakaikan baju dan suap makan. Orang tua pun perlu digembirakan.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak berhenti kerja, pilih berbakti jaga mak ayah sakit! Selepas 5 bulan ibu meninggal, bapa pula ‘menyusul’ - “Bahagialah bersama cinta hati abah”

ARTIKEL BERKAITAN: Suami ‘mesra warga tua’, jaga mentua strok macam ibu sendiri... sikit pun tak merungut - “Kadang-kadang kesian tengok dia”

"Kemudian, saya teringat nak rakam momen masa tanya anak-anak sama ada mereka nak jaga tak kalau saya dah tua nanti?" ceritanya mengenai video tular.

Menurut ibu kepada empat cahaya mata ini, anak bongsunya Tariq yang dilahirkan di The Royal Women’s Hospital, Australia pada 2018, sudah didedahkan dengan kehidupan di rumah orang tua-tua apabila dia sering dibawa menziarah ke sana ketika menetap di Melbourne.

Tariq dilahirkan di Melbourne pada 2018.

Puteh yang sudah berumah tangga selama 16 tahun berkata, sebelum ini anak-anaknya juga sudah terbiasa bertanyakan soalan-soalan mengenai penjagaan orang tua.

Tambahnya yang menetap di Putrajaya, walaupun kini Tariq sudah pandai mencuci buntut sendiri namun tetap dipantau oleh Puteh atau orang gajinya bagi memastikan bahagian tersebut benar-benar bersih.

"Anak-anak saya ni memang suka bertanya. Memang saya dah terangkan dulu berkenaan rumah orang tua-tua. Kenapa orang tua tu ada dekat situ dan lain-lain soalan.

Sejujurnya saya tak menaruh harapan pun untuk anak-anak jaga saya dan suami bila tua nanti.

PUTEH HIDAYAH

"Perkataan basuh buntut (punggung) tu dia cakap secara spontan saja masa saya rakam video tu. Mungkin dia pernah dengar saya cakap Dah siap (buang air besar), panggil mama. Nanti mama datang basuh buntut adik.

"Baru-baru ini saya ada tanya Tariq, tak geli ke nak basuh berak mama. Saya cakap busuk, nanti berbau dekat tangan. Dia cakap tak apa nanti dia cuci dengan sabun, wangi semula," jelasnya yang terhibur dengan gelagat anak bongsunya itu dan anak-anak yang lain.

Dalam pada itu, jelas Puteh, dia tidak menaruh harapan tinggi agar segala yang dikatakan oleh Tariq dilaksanakan apabila dia dewasa kelak.

Ahli keluarga Puteh.

Malah, dia dan suaminya, Ahmad Rashezry Abdul Rahim sudah membuat persediaan sendiri sekiranya anak-anak tidak dapat menjaga mereka apabila sudah tua.

Bercerita lanjut mengenai video-video dimuat naik di TikTok, tujuannya adalah untuk melatih anak-anak untuk petah bercakap namun tidak menyangka beberapa videonya menjadi tular.

"Sejujurnya saya tak menaruh harapan pun untuk anak-anak jaga saya dan suami bila tua nanti. Kami tak mahu menyusahkan mereka. Lagipun, kami dah buat persiapan diri untuk kehidupan hari tua.

Tariq berazam untuk menjaga ibunya kelak.

"Sekiranya mereka jaga kami, itu sudah dikira sebagai satu rahmat. Video-video saya kongsi tu memang ramai sangat bagi pujian dekat Tariq. Jawapan dia konsisten cakap tiga kali nak basuh buntut saya.

"Saya memang suka rakam perbualan dengan anak-anak sebagai latihan percakapan mereka. Nanti kami akan tengok semula video tu dan saya akan betulkan sebutan atau perkataan yang tersilap," katanya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain