suria

Penjual jamu kesal berkira-kira nak belanja 7 anak! Terkejut RM65 dah mampu gembirakan mereka di ‘mall’, makan McD siap ada baki

Seorang wanita membawa tujuh anaknya makan McDonald's. -Gambar hiasan

KEPUASAN yang dikecapi apabila dapat belanja keluarga makan merupakan satu nikmat yang sukar untuk digambarkan dengan kata-kata.

Kebanyakan individu, dalam situasi tertentu tetap sanggup berhabisan wang ringgit yang ada asalkan dapat membahagiakan insan tersayang.

Menurut cerita Mak Jah di Facebook, setelah menerima keuntungan hasil jualan jamu, dia pada mulanya berbelah bahagi untuk membelanjakan wang tersebut.

"Baru-baru ni saya ada duit lebih RM65 hasil jualan jamu. Terima kasih kepada yang membeli. Saya pandang anak... ada dua pilihan sama ada nak beli lauk atau bawa anak-anak berjalan.

"Saya tengok lauk (stok makanan) ada lagi sikit. Tak apalah... saya korbankan duit ni untuk anak-anak hari ni. Tapi setakat RM65 ni tak mungkin mencukupi.

Seorang ibu membelikan anak-anaknya tujuh set Menu Rahmah di McDonald's. -Gambar hiasan

"Tapi kasihan mereka asyik duduk dalam rumah tengok televisyen siang dan malam. Jadi saya fikir macam mana nak bahagiakan mereka dengan duit sebanyak tu," katanya dalam hantaran yang tular.

Akhirnya si ibu menyuruh anak-anaknya bersiap lalu membawa mereka keluar ke sebuah pusat beli belah yang tidak dinyatakan lokasi, pada waktu malam.

Dengan membawa kesemua wang hasil keuntungan untuk dibelanjakan, Mak Jah menambah nilai kad untuk bermain di zon kanak-kanak sebanyak RM20 bagi membolehkan anak-anaknya bermain permainan di situ.

"Anak-anak teriak (menangis) gembira sambil bersiap. Sampai saja di mall, saya bawa anak ke kids zone (zon permainan). Anak-anak pula macam faham, main mainan yang murah saja.

"Selepas habis (nilai) kad, sekitar jam 9 malam, saya ajak mereka balik. Kononnya mall nak tutup... Sebenarnya takut anak minta benda lain pula.

ARTIKEL BERKAITAN: Pemuda tersentak bawa gelandangan tak pernah makan McD, asyik ulang ungkapan sama untuk setiap jenis makanan yang dimakan

ARTIKEL BERKAITAN: ‘Couple viral’ dah putus, borak santai dalam kereta jadi punca! BF minta pulangkan hadiah, terkesan komen netizen

"Dalam kereta anak-anak tak habis bercerita. Masa tu air mata saya bertakung gembira disebabkan kegembiraan mereka," katanya lagi.

Berbaki RM45, dia pada mulanya bercadang membawa anak-anaknya ke pasar malam untuk membeli makanan.

Namun, mengenangkan baki wang yang sedikit dan sukar mengawal tujuh anaknya di pasar malam, dia memilih alternatif lain yang lebih menjimatkan.

"Nak heret anak tujuh orang seorang diri, masak juga wey nanti hilang. Nak bawa ke KFC (Kentucky Fried Chicken) mesti tak cukup jadi saya terus pecut ke McDonald's Bintulu. Sampai saja di sana, orang (pelanggan) penuh untuk drive-thru (pandu lalu).

"Jadi saya ambil keputusan parking jauh sikit. Jalan kaki dan masuk untuk order di mesin pesanan. Saya 'jeling-jeling' duit sambil kira.

"Saya pesan Mix and Match tujuh set dapatlah cheese burger dan apple pie. Jumlah termasuk cukai RM42. Alhamdulillah masih berbaki.

Malam tu saya belajar sesuatu. Bukan kemewahan yang anak-anak nak selama ni tapi masa bersama.

MAK JAH

"Anak-anak tengok McDonald's bukan main gembira. Ya Allah, sekali lagi air mata saya bertakung. Masa memandu tu tanpa sedar air mata ni jatuh juga," katanya lagi.

Sebagai seorang ibu, apabila berdepan momen tersebut, dia seolah-olah 'terpukul' dengan diri sendiri.

Dia sedar tanggapannya selama ini bahawa dia memerlukan wang yang banyak untuk membawa anak-anak berjalan adalah salah sama sekali.

"Malam tu saya belajar sesuatu. Bukan kemewahan yang anak-anak nak selama ni tapi masa bersama. Selalu saya cakap RM200 tak akan cukup kalau nak bawa mereka jalan-jalan.

"Rupa-rupanya sedikit (pengorbanan) pun mereka dah gembira. Saya silap dan semoga selepas ni saya akan bawa mereka berjalan walaupun sekejap setakat beli jajan tepi jalan.

"Anak-anak... mak minta maaf atas kesilapan diri. Terima kasih McDonald's sebab bagi menu yang murah dan mampu milik. Saya paling suka menu Rahmah berharga RM4.72," ujarnya lagi.

Komen netizen di Facebook.

Pada akhir ceritanya, wanita ini berterima kasih lagi sekali kepada anak-anaknya kerana memahami status kewangan ibu mereka dan tidak mampu memberi kemewahan.

Hantaran tersebut meraih lebih 8,000 tanda suka dan dikongsikan semula lebih 5,000 kali setelah disiarkan Mak Jah.

Rata-ratanya turut meluahkan rasa sebaknya serta berkongsi pengalaman mereka juga yang pernah berada di situasi sama sebelum-sebelum ini.

"Sedih saya baca. Kasihan anak-anak. Mereka cuma mahukan masa dengan kita bukan minta macam-macam pun.

"Dengan duit yang sedia ada, saya kadang tu bila ada rezeki lebih walaupun sikit. Tak dapat KFC pun, ayam goreng RM3 pun jadilah beli 5 ketul," antara komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain