suria

“Bagi RM20 macam RM2,000”- Scammer bengang dikejar di highway, sempat perlekeh mangsa sebelum pulangkan duit yang ditipu

Scammer ini kantoi menipu orang ramai yang berhenti di R&R Behrang.

PELBAGAI taktik penipuan (scam) dilakukan oleh individu tak bertanggungjawab demi mendapatkan wang dengan mudah.

Turut menjadi mangsa scammer adalah seorang pelayar Twitter, Syaa, yang menceritakan pengalamannya ditipu lelaki warga asing dari Dubai di Hentian Rehat dan Rawat (R&R) Behrang.

Menurut cerita Syaa di Twitter, lelaki yang menaiki kereta Mazda tersebut meminta sedikit wang daripadanya untuk membeli makanan buat isteri dan bayi perempuannya yang kelaparan.

"Saya dan abang berhenti dekat R&R menghala utara apabila tiba-tiba lelaki ini berhenti (parkir) sebelah. Dia tanya saya boleh berbahasa Inggeris tak?

"Dia dan ahli keluarga dalam perjalanan ke Pulau Pinang tapi duit cash (tunai) tak ada langsung dan macam mana entah kad Visa dia ditolak (disekat).

Tangkap layar video tular di Twitter.

"Dia guna alasan anak dan isteri belum makan. Nak beli susu (formula) tak ada duit dan transaksi ditolak sebab ada masalah kad," ujarnya menceritakan situasi pada masa itu.

Menurut Syaa, dia pada mulanya takut dan mula mengesyaki bahawa lelaki ini cuba menipunya.

Namun, melihat kepada penampilan warga asing yang kelihatan seperti seorang berpelajaran tinggi itu membuatkan dia kembali yakin bahawa lelaki tersebut tidak menipu.

"Mula tu saya takut sebab melibatkan duit, mestilah scam. Tapi kasihan tengok anak dia lepas tu isteri dia senyap saja tak cakap apa pandang saya.

"Nampak macam orang terpelajar dan mampu sebab tu saya rasa dia mungkin cakap benda betul dalam keadaan terdesak jadi saya berikan dia duit cash RM20 sebab kasihan.

ARTIKEL BERKAITAN: Hati-hati buka mesej kad kahwin digital, rupanya scammer hantar fail godam telefon... Risau mak ayah tak faham, senang jadi mangsa

ARTIKEL BERKAITAN: “Kalau tak mau buat semakan, putuskan talian” - Scammer gelabah, ‘hilang dari radar’ selepas ‘diajar’... hati tisu rupanya

"Dia tak cakap terima kasih lepas tu pandang 'selebet' je sebab saya berikan dia not kertas seringgit dan kemudiannya beredar. Kami pun masuk kereta dan teruskan perjalanan," ujar Syaa lagi.

Tidak lama selepas itu, terdetik kembali di hati Syaa bahawa lelaki tersebut merupakan seorang scammer.

Dia dan abangnya cuba mengejar individu tersebut untuk mendapatkan nombor plat kereta dipandu namun tidak berjaya dikesan.

Mereka bagaimanapun kemudiannya dapat mengejar kereta tersebut yang berada di hadapan dengan cuba memotongnya.

"Dia perlahankan kereta dan biarkan kami memintas. Masa ni mungkin dia boleh agak kami ekori mereka. Kami dah reda dan anggap saja sedekah.

Isteri dia tutup muka anak menggunakan selendang. Saya minta semula RM20 tu dan dapat balik.

SYAA

"Tapi kami terpaksa berhenti dekat hentian seterusnya sebab R&R Behrang tak ada servis tambah nilai Touch 'n Go.

"Masa turun tu kami nampak mereka lagi tengah cuba scam orang lain dengan alasan sama," katanya lagi dalam bebenang sama.

Berang dengan apa dilihat, Syaa merakamkan kejadian itu sebagai bukti yang kemudiannya dimuat naik di Twitter.

Warga asing itu yang berkemungkinan takut setelah tegur Syaa kemudiannya memulangkan semula RM20 diambil daripadanya di R&R Behrang.

"Apabila minta ID (identification) dia tak bagi dan dia kelihatan takut. Isteri dia tutup muka anak menggunakan selendang. Saya minta semula RM20 tu dan dapat balik.

"Dia cakap saya bagi RM20 bukan RM2,000 tapi dah kalau dia tipu orang ramai dekat setiap RNR... kalau 10 orang bagi macam saya, senang-senang boleh dapat RM200.

Komen netizen di Twitter.

"Saya dapat soal siasat dia dan tak nak panjangkan cerita. Yang penting saya puas hati dapat tangkap dia. Jadi hati-hati jangan percayakan orang sangat. Lepas ni saya tak boleh sewenang-wenangnya bagi duit macam tu je dekat orang," jelasnya yang serik dengan apa berlaku.

Hantaran tersebut meraih perhatian netizen sehingga ramai yang menceritakan pengalaman sama berlaku sebelum ini.

"Lelaki sama yang saya jumpa dekat R&R juga, kereta Mazda juga dia pakai and ya sama juga dia cakap dia dari Pulau Pinang kad dia tertinggal dekat Dubai.

"Sudah pernah viral dah kes scammer macam ni memang dia scam dekat R&R. Cuma tak tahu orang yang sama ke tak tapi memang masih sama orang dari Dubai ada bini dan anak.

"Berlaku sebelum Covid-19 sekitar 2017 hingga 2018 dah ada. Jangan layan, kalau dia minta tolong apa-apa cakap je awak tolong dia bawa pergi balai. Nanti dia beredar," komen netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain