suria

Sayu tangisan di terminal! Dah bersiap nak melancong, sekeluarga tak lepas naik cruise sebab masalah pasport

Azura sedih tidak dapat menaiki cruise bersama keluarga kerana masalah pasport.

IMPIAN keluarga ini untuk bercuti menaiki kapal cruise musnah apabila kemasukan mereka dihalang oleh Jabatan Imigresen Malaysia.

Azura membuat rakaman luahan perasaan sambil menangis setelah tidak dibenarkan masuk ke dalam Terminal Cruise Port Klang disebabkan masalah pasport.

Berdasarkan penceritaannya di TikTok, dia sangat sedih kerana penantian selama berbulan-bulan untuk bercuti menaiki cruise bersama suami dan tiga anaknya tidak kesampaian.

Jelasnya, percutian ini sangat ditunggu-tunggu kerana jarang sekali bercuti ke luar negara kerana takut menaiki pesawat.

"Saya mengalami anxiety jadi takut kalau naik kapal terbang. Dah dapat peluang naik kapal laut rasa seronok sangat. Dengan anak-anak pula tu. Memang dan rancang ni istimewa untuk mereka tapi Allah tak izinkan," tulisnya di ruangan kapsyen.

Menurut Azura, dia tidak tahu prosedur Jabatan Imigresen bahawa jika mahu ke luar negara, pasport perlu diperbaharui (renew) enam bulan lebih awal sebelum tamat tempoh.

"Saya dah bagi RM5,000 pada agensi. Ada satu agensi ni yang uruskan tiket kami naik cruise. Nak dijadikan cerita pasport saya ada dua bulan lagi sebelum tamat tempoh.

"Saya tak tahu mengenai prosedur pasport kena renew enam bulan lebih awal. Kami tak diberikan taklimat oleh agensi atau siapa-siapa menyatakan kami perlu renew pasport enam bulan sebelum tamat tempoh," dakwanya.

Azura berkata pasportnya tamat tempoh pada bulan Oktober, manakala pasport dua lagi anaknya tamat tempoh lagi lima bulan.

"Anak saya yang seorang tu baru perlu renew pasport. Masa sampai di sini (terminal) kami nak naik cruise tak dapat, yang lepas cuma anak saya seorang saja.

Tangkap layar perkongsian Azura di TikTok.

"Bayangkan anak kecil dua orang tu dah teruja nampak kapal besar-besar tu. Betapa kecewanya budak kecil yang dah seronok sangat nak naik.

"Itulah perkara saya tak boleh terima sekali. Tak boleh tengok anak saya menangis. Saya tak apa, janji anak saya lepas pun saya dah gembira," katanya sambil mengelap air mata yang mengalir laju.

Jelasnya, suaminya juga mengamuk di bahagian dalam (pejabat pengurusan) tetapi dia sedar tindakan itu hanya sia-sia kerana sudah kesuntukan masa untuk memperbaharui pasport.

Anak-anak Azura kelihatan kecewa kerana tidak dapat menaiki cruise.

"Saya cakap dekat dia kalau renew pasport sekarang pun dah tak guna sebab tak sempat. Apa yang saya boleh usahakan sekarang hanyalah tuntutan duit RM5,000 yang saya bayar tu daripada agensi.

"Itu pun kalau dia nak bagi tapi saya rasa dia tak bagi. Saya tak kisah pasal duit tu, lebih kisahkan anak saya," katanya yang dilihat sudah memakai pakaian cantik untuk melancong.

ARTIKEL BERKAITAN: Lelaki ini kongsi pengalaman ‘renew’ pasport, boleh dapat dalam masa 40 minit selepas lulus

ARTIKEL BERKAITAN: Benda boleh online buat apa beratur di kaunter... Ini cara perbaharui pasport atas talian!

Dalam video sama, Azura turut menunjukkan rakaman detik-detik keterujaan anak-anaknya sebaik sahaja melihat kapal di pelabuhan, sehinggalah momen mereka menangis di balai pelepasan kerana tidak dapat bercuti menaiki cruise.

Hantaran tersebut mendapat pelbagai reaksi netizen dan ada juga yang berkongsi pernah berdepan pengalaman yang sama.

Apa yang saya boleh lakukan sekarang hanyalah dapatkan semula tuntutan duit RM5,000 yang saya bayar.

AZURA

Malah, ada juga yang mendapat pengajaran dan maklumat berguna melalui perkongsian ini kerana mereka juga tidak tahu tentang prosedur pembaharuan pasport.

Ada juga yang mempertikaikan mengapa agen pelancongan tidak membuat pemeriksaan pasport pelanggan dan memaklumkan mengenai pembaharuan pasport sepatutnya dilakukan lebih awal.

Komen netizen pada video.

"Maknanya kalau ada sisa dua atau tiga bulan la contoh, memang tak bolehlah ye? Betul-betul pengajaran buat semua ni.

"Aku ingat semua pemilik pasport dah tahu benda ni.

"Pasport ni kalau kita renew lima tahun sebenarnya kita untuk empat tahun enam bulan je. Lagi enam bulan tak boleh pergi mana.

"Pendapat saya renewal passport ni tak perlu briefing dari ejen pun sebab ni personal passport... maybe ada hikmah ni sabar ye sis.

"Selalu agensi akan periksa pasport, kalau kena renew agensi wajib beritahu customer," demikian antara komen netizen.

Menurut portal Kementerian Luar Negeri Malaysia, sudah dimaklumkan lebih awal mengenai Pasport Antarabangsa Malaysia perlu diperbaharui sekurang-kurangnya enam bulan sebelum tamat tempoh (expiry date).

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain