suria

Jual produk lelaki ‘game awal’, tapi pelanggan mengadu gatal mata! Dr Samhan minta pengikut hati-hati, scammer makin agresif

Dr Samhan berkongsi mesej perbualan pengikutnya dengan pihak 'scammer'.

TIDAK menghairankan apabila ada yang tertarik dengan produk yang membantu menghilangkan tompok dan bintik hitam pada wajah gara-gara promosi oleh pempengaruh atau influencer Dr Samhan.

Maklumlah, Dr Samhan mempunyai 1.5 juta pengikut di TikTok, dan merupakan salah seorang calon Anugerah TikTok Malaysia 2023 bagi kategori ‘Best of Education’.

Awas! Jangan mudah terpedaya dengan iklan atau promosi yang menggunakan wajah dan suara pengasas klinik Forhim ini.

Dr Samhan atau nama sebenarnya Dr Ahmad Samhan Awang mengakui situasi kini semakin rumit apabila terlalu ramai penipu (scammer) yang menyalahgunakan video miliknya untuk mempromosikan pelbagai jenis produk.

Promosi dan pengiklanan yang didakwa menggunakan wajah dan suara Dr Samhan.

“Malah ada yang menggunakan teknologi artificial intelligence (AI) macam saya yang promosikan produk mereka. Tapi hakikatnya bukan saya yang promosikan produk mereka.

“Akhirnya berlaku komplikasi contohnya ada pengikut saya mengadu, ada yang barang tak sampai, dah beli tiba-tiba peniaga senyap pula tak balas WhatsApp.

“Ada juga yang dah beli mesin urut harga lebih RM3,000 tapi barang tak sampai. Kena scam (tipu) selepas tu marah-marah saya,” katanya kepada mStar.

Kesan sampingan dialami mangsa selepas terpedaya dengan promosi menggunakan wajah Dr Samhan.

Dr Samhan menegaskan pada masa ini dia hanya mempunyai dan mempromosikan produk untuk kesihatan lelaki bagi mengatasi ejakulasi pramatang.

Antara produk-produk yang menyalahgunakan imej Dr Samhan oleh scammer adalah berkaitan penyakit kulit pada wajah seperti melasma dan jeragat, lingkaran gelap bawah mata, resdung dan penyakit kulit psoriasis.

“Itu bukan produk saya, itu produk scammer. Satu-satunya produk yang saya promosikan sekarang adalah Spray Up kerana kepakaran saya adalah kesihatan lelaki yang ‘game awal’ (ejakulasi pramatang).

“Saya tak ada buat paid review untuk produk lain,” tegasnya.

ARTIKEL BERKAITAN: Popular di TikTok... 5 ‘wanita’ ambil kesempatan, mengaku bini Dr Ahmad Samhan - “Eh, abang ada isteri lain ke?”

ARTIKEL BERKAITAN: Doktor baru join TikTok disangka ‘Mat Bangla’ walau ada lebih setengah juta followers, dianggap bisu sebab video ‘tunjuk-tunjuk’ - “Baca komen boleh koyak”

Mengulas lanjut, penipuan tersebut bukan sahaja mengakibatkan kerugian ribuan ringgit malah kesan sampingan daripada penggunaan produk yang dibeli daripada scammer.

“Paling sedih, ada mangsa yang menerima komplikasi seperti mengalami gatal-gatal di keliling mata setelah menggunakan produk tersebut.

Mereka sangat agresif. Kita report 10 akaun mereka, 10 lagi akaun mereka buka. Malah, mereka turut buat report terhadap akaun saya sendiri.

DR AHMAD SAMHAN AWANG

“Ini bukan produk saya, jadi saya tidak bertanggungjawab terhadap apa yang sudah berlaku pada anda yang terbeli atau tertipu dengan scammer.

“Ada yang nak beli, tiba-tiba tengok posting saya (tentang scammer) terus cancel. Scammer tu ‘koyak’, siap nak saman follower tu,” katanya.

Dr Samhan menafikan dirinya menjual produk berkaitan melasma dan jeragat.

Sehubungan itu, Dr Samhan menasihatkan orang ramai agar berhati-hati dan tidak terjerat dengan penipuan promosi mahupun pengiklanan yang menggunakan wajah dan suaranya.

“Anda kena tengok dulu akaun media sosial saya tu betul atau tidak. Semua akaun saya ada blue tick (pengesahan biru). Para pengikut saya tolong pastikan ia adalah akaun media sosial sebenar saya.

“Mereka ni sangat agresif. Kita report 10 akaun mereka, 10 lagi akaun mereka buka. Malah, mereka turut buat report terhadap akaun saya sendiri,” jelasnya lagi.

Menyedari isu yang berlaku memburukkan imejnya, Dr Samhan turut meluahkan kesedihan apabila ramai yang menjadi mangsa penipuan scammer.

“Saya harap tiada lagi yang tertipu atau terbeli. Saya kini dalam proses saman terhadap mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya sambil menambah turut berkunjung ke ibu pejabat TikTok Malaysia berhubung isu berkenaan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain