MEMPUNYAI cahaya mata yang dikategorikan sebagai individu istimewa bukanlah satu tugas yang mudah buat mereka yang bergelar ibu bapa. Selain cabaran untuk membesarkan anak-anak ini yang pasti sukar berbanding individu normal, ibu bapa juga berdepan dengan 1,001 cabaran lain khususnya dari segi menyediakan pendidikan, kemahiran, terapi, penerimaan masyarakat sekeliling dan perkara lain yang menguji mental serta fizikal. Malah, golongan istimewa ada kalanya menjadi mangsa diskriminasi segelintir pihak, sebagaimana yang diluahkan oleh seorang individu di laman Facebook. Menerusi hantaran yang dikongsikan di grup Autisme Malaysia, seorang individu dipercayai ibu kepada seorang pelajar Program Pendidikan Khas Integrasi (PPKI) meluahkan rasa terkilannya dengan sikap pendidik yang seakan-akan meminggirkan kanak-kanak istimewa. "Cikgu-cikgu khas banyak yang ambil kesempatan atas kelemahan anak-anak PPKI sampai lupa amanah dan tanggungjawab mereka. "Jadual atau aktiviti pembelajaran pun tak ikut. Kadang dibiar je anak-anak buat hal sendiri... tu yang ada yang bergaduh sampai tak sedar hingga tercedera. Luahan yang disuarakan oleh seorang ibu kepada anak berkeperluan khas. "Cikgu-cikgu leka dengan handphone (dah lama diperhatikan oleh ibu bapa). Belum masuk sikap pilih kasih cikgu lagi. "Ada je jenis cikgu yang melayan lebih perhatian kepada anak-anak yang ibu bapanya selalu bagi hadiah dekat cikgu. Kesian anak PPKI yang lain," luahnya. Tidak sekadar itu, individu tersebut juga mendedahkan bahawa daripada pengalaman rakannya yang turut mempunyai anak istimewa, ada guru yang bertindak lebih berani terhadap pelajar. ARTIKEL BERKAITAN: Kena ‘piat telinga’ sampai jadi biru! Ibu dakwa anak autisme jadi mangsa dera, cikgu beri alasan tak cukup staf ARTIKEL BERKAITAN: Melulu kaitkan anak autisme, speech delay dengan gangguan jin... ustazah teruk kena ‘sekolah’, pakar psikiatri pun bersuara "Yang naik tangan dekat anak-anak PPKI ni pun ada. Anak kawan pernah mengadu. Kenapa ya? Kalau rasa tak boleh nak kerja sebagai guru khas, jangan kerja. "Kerja hanya kerana nakkan gaji... kesian anak-anak PPKI yang jadi mangsa. Cikgu jangan lupa yang anak-anak istimewa ni juga ada hati dan perasaan. "Diaorang balik mengadu cikgu macam ni macam tu," luahnya tanpa mendedahkan butiran lanjut seperti lokasi sekolah yang dimaksudkan. Yang alami saja tahu... macam mana down apabila cikgu asyik complain anak kita. NETIZEN Tambahnya lagi, situasi sedemikian dapat ditangani sekiranya pihak atasan sentiasa mengambil perhatian dan membuat pemantauan yang lebih kerap di sekolah-sekolah PPKI. Perkongsian individu berkenaan meraih perhatian warga maya dengan rata-ratanya tampil dengan reaksi yang bercampur. Ada segelintir yang menyokong pandangan individu berkenaan malah turut berkongsi pengalaman masing-masing. "Betul... anak saya pun bila saya tanya belajar apa, (jawab) cikgu main handphone. Esoknya cikgu tengok laptop. Pernah pergi sekolah, lalu kelas, nampak cikgu main handphone... murid-murid buat haluan masing-masing. "Betul... anak lelaki saya dah melaluinya. Cikgu kurang penyabar dan tiada ilmu dalam mendidik anak-anak autisme. "Yang alami saja tahu... macam mana down apabila cikgu asyik complain anak kita. Siap ada yang geleng-geleng kepala dan buat muka bila ambil anak. "Terima kasih sebab mewakili kami ibu bapa anak-anak istimewa yang terpinggir dek kerana pilih kasih," demikian antara komen netizen. Warga maya memberikan reaksi yang bercampur terhadap perkongsian ibu berkenaan. Namun sebahagiannya berpendapat tidak wajar individu berkenaan membuat kenyataan 'pukul rata' dan menyalahkan guru-guru PPKI hanya kerana situasi yang dilalui oleh anak istimewanya. "Tak boleh pukul rata semua cikgu PPKi macam tu. Hanya segelintir yang bermasalah, habis guru-guru lain terpalit jua. Ada yang mengajar dengan penuh komitmen... Alhamdulillah rezeki anak, cikgu semua baik. "Tidak semua macam tu. Anak saya lebih baik di sekolah. Jika di rumah, saya rasa saya pun tak mampu nak ajar anak sendiri. "Kalau ada cikgu yang macam tu, ambil bukti dan laporkan terus kepada Sistem Pengurusan Aduan Awam (SisPAA)," demikian antara komen netizen. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube