LAIN bidang, lain pengalamannya. Lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang kawalan makhluk perosak (pest control), 1,001 pengalaman dan ragam pelanggan yang sudah dihadapi oleh Khairun Naim Abu Bakar. Justeru, Khairun atau lebih dikenali sebagi Naim Pest Control tidak lokek berkongsi cerita dan memanfaatkan pengalamannya sebagai pengendali kawalan makhluk perosak dengan pengikutnya di TikTok. Video-video yang dimuat naik oleh Khairun sentiasa mencecah puluhan ribu jumlah tontonan kerana kisah dan cara penceritaannya yang menarik perhatian ramai. Bagaimanapun, salah satu video yang dimuat naik olehnya iaitu mengenai ragam pelanggan berbangsa India, mencecah sehingga 1.6 juta jumlah tontonan. "Selama aku kerja pest control, aku nak kongsi dengan korang. Dari dulu sampai sekarang kalau aku buat servis atau inspection, aku paling hairan sekali dengan rumah orang India. "Aku pelik, kenapa rumah orang India, tak kira rumahnya kecil atau besar, miskin atau kaya, rumah mereka mesti sentiasa kemas. Dia dah jadi macam trademark rumah orang India ke macam mana? Naim ketika melakukan proses kawalan makhluk perosak di atas kapal. "Aku sampai boleh ingat vividly dalam kepala aku kalau pergi servis rumah orang India. Rumah mereka bukan setakat kemas tapi praktikal. Kalau masuk rumah orang India, ia tak serabut. Tak banyak perabot, barang tak penting tak banyak "Ada benda penting je... biasanya sofa, meja di ruang tamu dan televisyen. Lepas tu ada frame-frame gambar. Itu saja," kongsinya dalam video tersebut. Bukan itu sahaja, salah satu ciri persamaan yang diperhatikan di kebanyakan rumah pelanggan India adalah lantai yang sentiasa bersih. ARTIKEL BERKAITAN: Siapa kata tikus suka makan keju? Abang Pest Control dedah kebenaran, ada makanan lain lebih digemari haiwan ini ARTIKEL BERKAITAN: Basmi makhluk perosak dilabel ‘low class’, pemuda ini buktikan bukan kerjaya picisan... Aktif jadi sifu ‘pest control’ di TikTok "Lagi satu kalau lantai simen, mereka tak suka pakai karpet. Simen tu simen sajalah. Tapi bersih, habuk tak ada. Sampaikan aku yang pergi buat servis, nak masuk rasa segan... takut kotorkan lantai mereka, walaupun rumahnya biasa-biasa saja "Bukan satu dua rumah je tau, menerusi pengalaman aku, kebanyakan. Boleh kata semua rumah customer India yang aku pergi memang macam tu. Bersih, tak banyak barang, praktikal. "Orang kata kalau masuk tu, peace of mind lah. Itu baru ruang tamu, belum lagi cerita bahagian dapur. Tersusun dan tak semak. Tak jumpa tompok-tompok minyak. Periuk belanga berkilat-kilat... macam baru beli," kongsi Khairun. Aku terfikir, macam mana nak capai level kebersihan macam tu. Nak kata anak tak ramai, ramai juga. Tapi rumah tetap bersih. KHAIRUN NAIM ABU BAKAR Khairun yang kini merupakan Pengurus Pemasaran AJ Pest Control berkata, disebabkan itu, dia akan sentiasa teruja dan bersemangat setiap kali mendapat 'job' di rumah pelanggan berbangsa India. "Dulu kalau dapat kena pergi rumah India, aku cepat-cepat pergi... sebabnya tak sakit kepala. Biasanya kalau tarik kabinet nak sembur, berhabuk. Tapi rumah mereka, tarik kabinet, habuk pun tak ada. Hari-hari diorang menyapu agaknya. "Kadang aku pun pening, dia kata rumah dia ada lipas. Kita masuk rumahnya yang bersih, dengan barang tak banyak, dekat mana aku nak cari punca lipasnya? "Kalau korang tanya orang pest control lain pun, sama jawapannya sebab aku pun pernah tanya mereka," ujarnya lagi. Benar-benar mengkagumi sikap pembersih bangsa tersebut, Khairun malah berkata, secara tidak langsung perkara itu turut mempengaruhi cara hidupnya. Lebih 10 tahun berkecimpung dalam bidang kawalan makhluk perosak, Khairun (kanan) kini menjawat jawatan sebagai Pengurus Pemasaran di AJ Pest Control. "Benda ini selalu bermain di fikiran aku. Aku terfikir, macam mana nak capai level kebersihan macam tu. Nak kata anak tak ramai, ramai juga. Tapi rumah tetap bersih. "Sekarang aku jadi tak suka beli barang banyak. Setakat ada meja makan, sofa, rak TV. Dah cukup... tak suka beli hiasan-hiasan, takut semak," ujarnya lagi. Tidak menyangka perkongsiannya menjadi tular, Khairun berkata dia sekadar berkongsi pengalamannya bersama pengikut di TikTok selain mahu menekankan mesej mengenai kepentingan menjaga kebersihan tempat tinggal. "Utamakan kebersihan keadaan sekeliling kita terutama di kediaman kita supaya kita dapat menghindari dari gangguan makhluk perosak dan menjamin kesihatan diri kita, keluarga dan orang ramai," akhirinya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube