suria

Tambah koleksi mainan boleh, tambah ‘cawangan’ minta maaf! Isteri support hobi unik suami, beli kren RM4,000 pun tak ada masalah

Azhari sering turun ke tapak pembinaan untuk membuat kandungan bagi TikTok dan YouTube.

SESETENGAH individu mempunyai hobi yang berbeza dengan orang lain sehingga adakalanya ia menjadi persoalan.

Maklumlah, minat setiap orang semestinya tidak sama seperti seorang pemuda ini yang gemar mengumpul jentera mainan di rumahnya.

Malah, hobinya itu sedikit sebanyak menyumbang kepada sumber pendapatan selepas sering membuat kandungan video berhubung koleksi yang dimiliki.

Antara koleksi yang dimilikinya.

Antara koleksi yang dimilikinya.

Berkongsi kisah dengan mStar, Mohd Azhari Ahmad berkata, dia begitu meminati jentera berat sejak kecil.

Bagaimanapun pada masa itu, dia tidak mampu untuk memilikinya.

"Saya minat kenderaan berat sejak kecil lagi, tapi tidak mampu untuk membeli permainannya.

"Pada masa sama kurang pendedahan terhadap kren dan kenderaan berat jadi saya tidak meneruskan minat tersebut sehinggalah tahun 2016," ujarnya yang membeli model kren perlahan-lahan secara berperingkat.

Menurut anak kelahiran Jempol, Negeri Sembilan ini lagi, sebelum mengumpul model kren, dia sudah memiliki beberapa jenis model kereta mainan.

Namun minatnya semakin berubah kepada jentera berat kerana kelihatan lebih unik serta menarik.

ARTIKEL BERKAITAN: Isteri bersuara ‘kalau nak, beli je’... suami terus bina litar, tapak binaan depan rumah untuk traktor kesayangan

ARTIKEL BERKAITAN: Tak sia-siakan hobi, duit poket jualan hotwheels dorong remaja bantu ibu bapa... Wak Doyok pun tempah! - “Saya tak lokek nak kongsi ilmu”

Bukan itu sahaja, dia yang mesra disapa Azhari mengakui kerap turun ke tapak pembinaan untuk melihat kren yang sebenar.

"Bermula dari situlah minat saya terhadap kren semakin mendalam. Bagi saya kren merupakan kenderaan yang unik dan kelihatan menakjubkan," tambahnya.

Bagi saya, hobi mengumpul model kren ni seperti investment di masa hadapan kerana harga yang tinggi.

MOHD AZHARI AHMAD

Tidak dinafikan, sesetengah individu sanggup mengeluarkan kos yang besar apabila meminati sesuatu barang.

Begitu juga bapa kepada dua cahaya mata ini apabila dia turut membelanjakan lebih RM4,000 bagi membeli sebuah model kren yang diminati.

"Buat masa ini saya ada lebih kurang 50 model kenderaan berat termasuk kren, lori dan jentera-jentera berat yang lain.

"Model kren yang paling mahal saya ada, berharga lebih RM4,000," tambahnya yang berusia 36 tahun.

Bagi sesetengah individu, hobi seperti Azhari dianggap sesuatu yang membazir kerana koleksi yang ada dilihat tidak memberi faedah.

Isterinya turut menyokong hobi mengumpul kren

Isterinya turut menyokong hobi mengumpul kren.

Malah ada juga yang menyatakan ia hanya membuatkan rumah kelihatan semak.

Pun begitu, Azhari menyatakan ia adalah 'pelaburan' terbaik untuknya di masa hadapan kerana harga model mainan tersebut boleh melonjak tinggi.

"Saya sering diajukan dengan pertanyaan seperti 'tak membazir ke'. Bagi saya, hobi mengumpul model kren ni seperti investment di masa hadapan kerana harga yang tinggi.

"Ada kalanya harganya semakin meningkat dan tiada pembaziran selagi kita masih mengutamakan keluarga," jelasnya lagi yang merupakan seorang YouTuber.

Dalam pada itu, pereka kesan visual secara bebas (freelancer) ini turut bersyukur kerana minatnya itu turut disokong oleh isteri tercinta.

Malah isterinya itu sering menemaninya turun ke tapak pembinaan untuk membuat kandungan video bagi TikTok mahupun YouTube.

Menyusuri video perkongsiannya itu, pelbagai jenis model kren yang dimiliki disusun di dalam sebuah bilik khas.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain