suria

Bakal atlet para Malaysia! Kanak-kanak kaki kudung ‘menang’ di hati netizen... Ibu menangis tengok anak sampai garisan penamat

Fiza bangga dan terharu memiliki anak yang bersemangat seperti Aqil.

TULAR di media sosial tentang kegigihan dan semangat kesukanan yang ditunjukkan seorang budak lelaki ketika menyertai acara sukan larian sekolah di Jerantut, Pahang.

Apa yang menarik perhatian ialah keadaan fizikalnya yang kudung kaki kiri dan terpaksa berlari menggunakan tongkat.

Video tersebut menyentuh hati ramai rakyat Malaysia termasuklah ibunya, Noor Hafizah Mat Desa.

Aqil bersungguh-sungguh untuk berlari dalam acara sukan di sekolah.

Ketika dihubungi mStar, Noor Hafizah atau Fiza berkata anaknya Muhammad Aqil Naufal Zahiran, 11, yang bersekolah di Sekolah Kebangsaan Lepar Utara Satu sudah meminta kebenarannya untuk menyertai acara berkenaan.

“Aqil ada maklumkan pada saya yang dia akan sertai acara sukan selepas dipilih cikgu pendidikan khas.

“Sebagai ibu saya tiada halangan pun nak izinkan dia aktif bersukan macam kanak-kanak lain.

ARTIKEL BERKAITAN: Pelajar kudung 2 tangan senyum dapat makan corndog, kawan setia suap sampai habis - “Mulianya hati awak, dik”

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita kudung tak sangka dapat sarung cincin kahwin di jari manis... Syukur ada jejaka baik hati, 3 minggu kenal terus dirisik

“Lepas saya benarkan, memang nampak dia seronok betul. Siap minta saya hadir untuk tengok dia bersukan,” ujarnya kepada mStar.

Tambah ibu kepada dua cahaya mata itu lagi, dia sentiasa terbuka untuk memberi peluang kepada anaknya melakukan perkara yang diminati.

Bagaimanapun, tegas Fiza, kesihatan dan keselamatan anak merupakan perkara utama yang dititikberatkan.

lari3

Seorang guru dilihat turut berlari mengiringi Aqil hingga ke garisan penamat.

“Saya tak nak Aqil merasa rendah diri sebab tak mampu buat apa orang lain lakukan. Saya juga nak bina kekuatan mental dan fizikal dia.

“Saya tak mahu dia nampak dirinya sebagai kanak-kanak cacat tetapi dia adalah budak yang sempurna. Kami sentiasa benarkan saja dia nak buat apa aktiviti asalkan tidak memudaratkan kesihatan.

“Motivasi dalam diri Aqil sangat tinggi. Kadang-kadang dia boleh melompat tanpa menggunakan tongkat pun untuk bergerak dalam rumah,” ujarnya lagi.

Kalau video tu tak viral pun Aqil tetap anak yang saya banggakan.

NOOR HAFIZAH

Bercerita mengenai keadaan Aqil, Fiza yang menetap di Felda Lepar Utara, Bandar Jengka, Pahang berkata anaknya itu dilahirkan sempurna

“Anak saya lahir dalam keadaan normal, tapi masa umur dua tahun setengah dia terkena jangkitan kuman yang teruk.

“Jadi Aqil terpaksa menjalani pembedahan membuang kaki kirinya sebab kuman merebak terlalu cepat pada Oktober 2015 demi menyelamatkan nyawa dia.

“Sudah lapan tahun dia menggunakan tongkat dan pernah juga buat kaki palsu untuk Aqil. Tapi dia tak nak gunakan sebab sakit dan katanya susah nak bergerak aktif macam kawan-kawan lain," katanya.

Fiza merupakan ibu tunggal yang memiliki dua cahaya mata.

Ujarnya yang kematian suami dua tahun lalu, Fiza terharu sehingga mengalirkan air mata apabila melihat semula rakaman video yang tular.

“Saya menangis sebab gembira tengok Aqil bersungguh-sungguh nak selesaikan acara larian walaupun dia bukan juara.

“Sebagai ibu mestilah saya sentiasa doakan yang lakukan yang terbaik demi masa depan dia. Kalau video tu tak viral pun Aqil tetap anak yang saya banggakan.

“Dalam video tu, insan yang berlari sebelah dia tu namanya cikgu Intan. Cikgu tu yang bawa Aqil ke acara tersebut. Dia berlari bersama sebab nak bagi semangat supaya meneruskan larian hingga selesai saja,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain