suria

Tampan di pentas peragaan, ‘Man of The Globe Malaysia’ selesa nikah gadis biasa! Sabar bantu isteri turun berat badan

Mutalib Mubin memberi sokongan kepada isterinya untuk mengamalkan gaya hidup sihat.

SEGELINTIR suami ‘hilang selera’ dengan isteri kerana badan sudah gempal tidak lagi seperti anak dara.

Ada yang mengadu isteri gagal menguruskan badan selepas bersalin, tapi mereka sekadar merungut tanpa berbuat apa-apa.

Namun seorang lelaki menjadi perhatian apabila membantu isterinya menjalani transformasi menurunkan berat badan.

Bercakap kepada mStar, Abdul Mutalib Abdul Mubin berkata, dia mendirikan rumah tangga pada Oktober tahun lalu dan ketika itu berat isterinya 68 kilogram.

Lebih dikenali sebagai Mutalib Mubin, dia amat mementingkan penjagaan kesihatan termasuk bergiaf aktif dalam sukan dan bersenam di gim sejak zaman bujang.

“Sebelum kahwin, isteri dah tahu saya ni aktif bersenam. Bila dah kahwin, saya masih rajin pergi ke gim dan ajak isteri untuk ikut sekali.

“Bukan paksaan, tapi saya menggalakkan dia melakukan aktiviti bersama di gim dahulu sebelum jalan-jalan, tengok wayang dan makan,” katanya ketika dihubungi.

Pasangan ini mendirikan rumah tangga pada Oktober 2022.

Mutalib Mubin yang berusia 32 tahun berkata, isterinya yang berjinak-jinak dengan senaman berjaya menurunkan berat badan dari 68kg kepada 58kg dalam tempoh enam bulan.

“Bukan sekadar senaman, tetapi juga mengamalkan pemakanan sihat. Saya sendiri memang jaga bab pengambilan gula, minyak dan karbohidrat.

“Saya ajak isteri amalkan juga sebab nak turunkan berat badan bukan hanya dengan senaman, tetapi juga amalan pemakanan yang sihat,” ujarnya yang berasal dari Cheras, Selangor.

Transformasi isteri selama enama bulan dari 68kg kepada 58kg.

Dengan ketinggian 181 sentimeter, maka tidak hairanlah Mutalib Mubin bergelar model di pentas peragaan, fotografi, iklan dan komersial.

ARTIKEL BERKAITAN: 6 tahun kahwin tiada anak, Abang Axia tak gelabah cari lain! Berkat sabar Allah hadiahkan bayi kembar, lulus master

ARTIKEL BERKAITAN: “Setia lebih mahal daripada Tesla” - Teruk diuji di awal perkahwinan, Dr Samhan tiada keraguan ‘isteri untuk dihargai dan dicintai’

Malah, dia turut beraksi di pentas peragaan Minggu Fesyen Kuala Lumpur (KLFW) yang berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos baru-baru ini yang melibatkan ramai pereka fesyen tersohor.

Mutalib Mubin beraksi di pentas peragaan.

Berpengalaman dalam bidang peragaan sejak 2016, Mutalib Mubin menjelaskan bahawa isterinya bukan dari industri fesyen, dan perkenalan mereka bermula dari laman sosial.

“Kami kenal di Instagram, saya tertarik dengan posting dia melakukan aktiviti hiking dan gambar-gambar pemandangan yang diambilnya juga cantik.

Rupa bukan menjadi keutamaan, tapi keperibadian dan personaliti isteri memikat hati saya. Dia cantik di mata saya.

MUTALIB MUBIN

“Dia bukan model, tapi saya terima dia seadanya. Tak ada istilah model kena cari pasangan dalam kalangan model juga. Saya terpikat dengan dia sebab dia tolong kakak dan abang iparnya mengusahakan bisnes mengaji online.

“Alhamdulillah, saya ada latar belakang ibu dan nenek yang mengaji. Saya juga mengaji. Walaupun saya dalam bidang modelling, agama juga saya titikberatkan,” katanya sambil menambah isterinya kini mengusahakan bisnes khat digital.

Mewakili Malaysia bagi Pertandingan Man of The Globe 2022.

Dia yang juga mengusahakan bisnes bekalan makanan laut berkata, isterinya yang berusia 28 tahun itu turut bersikap lemah-lembut selain sering memberi teguran dan nasihat.

“Dari sebelum kahwin, isteri tak pernah judge saya sebagai model. Sebaliknya, dia selalu tegur dan menasihatkan saya supaya menjaga batas pergaulan.

“Bila kita nak kahwin kena cari pasangan jangka panjang dan ada keserasian. Rupa bukan menjadi keutamaan, tapi keperibadian dan personaliti isteri memikat hati saya. Dia cantik di mata saya,” ujarnya yang turut berjinak-jinak dalam dunia lakonan memegang watak antogonis menerusi filem Badang bersama pelakon popular Fasha Sandha dan Fauzi Nawawi serta usahawan Datuk Seri Alif Shukri.

Mutalib Mubin mengalakkan isteri bersenam dan mengamalkan pemakanan sihat.

Mengulas lanjut, Mutalib Mubin yang mewakili Malaysia bagi pertandingan Man of The Globe 2022 juga mahu memberi kesedaran bahawa kecantikan itu bermula dari dalam.

“Bagi saya, cantik datang dari kesihatan. Kalau tak sihat, cantik tu tak ada makna. Sampai bila nak cantik hanya pakai mekap je.

“Saya mahu nanti apabila sudah berusia tetapi masih sihat dan boleh bersenam, InsyaAllah. Sebagai suami, saya juga mahu isteri sama-sama berubah kepada lebih sihat,” katanya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain