suria

Dapat nombor satu, wanita ini sayu terkenang arwah abah... Demi janji, ibu bawa naik van jenazah pusing Danga Bay

Diah sekeluarga masih terkesan dengan pemergian arwah bapanya.

KEHILANGAN orang tersayang bukan mudah untuk dilalui, ada kalanya memakan masa bertahun-tahun.

Kesannya sememangnya boleh menjejaskan kehidupan, terutama diri mereka sendiri.

Begitulah yang dialami Diah Haziqah apabila menceritakan semula peristiwa menyayat hati yang berlaku pada dirinya.

Menerusi ciapan di laman X, bapa Diah meninggal dunia sebelum sempat menunaikan janji terhadapnya sekiranya berjaya memperoleh pencapaian tempat pertama dalam kelas.

"Masa saya darjah tiga, pertama kali dapat nombor satu. Abah janji nak bawa jalan-jalan dekat Danga Bay di Johor, tapi esoknya abah meninggal dunia.

Diah (kanan) dan bapa (dua, kanan) bersama adik-beradik.

"Disebabkan benda tu sebuah janji, mak nak tunaikan. Jadinya dengan jenazah abah dalam van, kami pusing dalam Danga Bay tu. Lepas tu ibu cakap abah dah tunaikan janji ya dik.

"Cuba teka banjir menangis dalam van jenazah tu berapa lama? Jawapannya sepanjang jalan balik ke Rengit, Batu Pahat. Sampai tahap apabila abah dikebumikan, saya dah tak mampu menangis. Duduk tepi jalan termenung," tulisnya.

Tidak berhenti di situ, dia menyuarakan pula kesedihan sewaktu menziarahi pusara bapanya setiap hari.

"Saya borak dengan abah sambil baring tepi kubur tu macam kat rumah. Setiap kali selepas sekolah memang pergi, dah masuk waktu maghrib saya balik.

ARTIKEL BERKAITAN: Selepas suami meninggal, didiagnos kanser pula! Guru 4 anak cekal buat kemoterapi sendirian, dulu ke mana saja berteman

ARTIKEL BERKAITAN: Balu kematian suami meraung bincang hal faraid... Sikap mentua, ipar duai makin terserlah - “Semoga Allah gandakan rezeki kalian”

"Seleps tu, saya demam on off untuk beberapa bulan. Saya dah mula tak nak bercakap. Seminggu saya bersekolah, seminggu lagi cikgu hantar balik rumah sebab badan panas.

"Saya siap ada kawan imaginasi, bermain dengan 'budak' tu sampai ketawa-ketawa," katanya lagi.

Kelakuannya itu kemudian didedahkan oleh guru, sekali gus membuatkan ibunya membawa Diah menjalani rawatan.

Menurut Diah, selama hampir setahun dia menjadi seorang yang pendiam, berkemungkinan gara-gara trauma yang dialaminya selepas pemergian bapa.

Melihat keadaannya yang semakin 'sakit' membuatkan orang ramai mengatakan Diah terkena badi mayat dan memerlukan rawatan tradisional.

Saya dah mula tak nak bercakap. Seminggu saya bersekolah, seminggu lagi cikgu hantar balik rumah sebab badan panas.

DIAH HAZIQAH

"Saya ada kawan imaginasi jadi buat apa nak bercakap dengan orang lain. Orang cakap saya terkena badi mayat.

"Ikhtiar terakhir adalah mak bawa saya berubat dengan seorang makcik ni...Alhamdulillah, elok jugak saya akhirnya," ujarnya yang bersyukur kerana pulih.

Komen netizen pada hantaran dibuat.

Bagaimanapun kata Diah, terdapat kesan sampingan yang dialaminya apabila dia didianogsis menghidapi gangguan tekanan selepas trauma (PTSD) dan gangguan mood bipolar (BMD) tahap satu.

Dia yang kini sudah berumah tangga masih mengambil ubat dan melakukan rawatan terapi untuk memulihkan keadaannya.

Wanita ini bagaimanapun tidak pernah berputus asa dan berharap diberikan kekuatan untuk mengusahakan perniagaan Johor dengan semangat arwah bapanya yang juga ahli perniagaan.

"Dulu abah seorang ahli perniagaan. Sekarang, kami adik-beradik memasang impian untuk jadu macam abah dan balas jasa mak yang bersusah-payah membesarkan kami," katanya.

grave

Pemergian insan tersayang bukan sesuatu yang mudah untuk dilalui. -Gambar hiasan

Perkongsian Diah ternyata mengundang sebak ramai yang bersimpati dan memberi kata-kata semangat.

"Allahu sedihnya. Harap bertabah semoga arwah ditempatkan dalam kalangan orang beriman.

"Antara semua yang sedih, ini yang paling sedih.

"Harap sentiasa kuat menjalani hari mendatang," komen netizen di laman X.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain