CIAPAN seorang pelayar X yang meminta pengikutnya berkongsikan kenangan paling bermakna bersama ibu bapa atau ahli keluarga sama ada masih hidup mahupun sudah meninggal dunia mengundang pelbagai versi cerita. Selain kisah gembira, terdapat juga beberapa perkongsian yang meruntun hati pelayar platform itu. Tidak terkecuali seorang wanita dikenali sebagai Wanis yang turut berkongsi kenangan manis bersama arwah bapanya. Berkisar tentang lesen memandu, dia menggambarkan kegembiraan arwah bapanya apabila berjaya lulus ujian Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) selepas tiga kali percubaan. Ciapan asal yang dibuat seorang Wanis. “Aku repeat test JPJ dua kali. Arwah ayah aku cikgu, dah la dia siap ambil cuti semata-mata nak hantar aku pergi ambil lesen. “Kemudian, kali ketiga dia kata tak boleh nak cuti... Jadi aku pergi dengan kawan arwah ayah. Habis saja ujian, aku call ayah tapi belum sempat aku cakap. “Dia terus tanya ‘gagal lagi ke dik?’. Aku cakap dah lulus dan dia terus luahkan rasa syukur... ‘Alhamdulillah dik, ibu dengan ayah ambil tau kita pergi makan’,” ceritanya. Menurut Wanis, bapanya kelihatan sangat teruja dan sedikit tergesa-gesa pada masa itu. ARTIKEL BERKAITAN: Bapa baru meninggal, 7 anak yatim buka gerai! Kawan arwah tergerak hati singgah sebelum viral- “Aku bangga tengok depa usaha” ARTIKEL BERKAITAN: Bapa meninggal, anak sulung rancang berhenti belajar... simpati tengok ibu kerja teruk demi sara keluarga Mana tidaknya, baru sahaja berjaya lulus, bapanya sudah bertanyakan bilakah lesen memandunya akan siap. “Aku cakap nanti sekolah memandu yang pergi JPJ uruskan. Tapi nampak ayah lain, dia ada cakap ‘dik, biar ayah yang pergi JPJ sebab tak sempat ni dik’. “Aku tak faham apa maksud dia tak sempat. Aku ambil lesen hari Selasa dan hari Khamis arwah ayah jatuh dalam tandas,” tambahnya lagi. Lebih menyedihkan apabila selepas insiden tersebut bapanya tidak sedarkan diri. Ahli keluarga akan membersihkan tanah perkuburan insan tersayang. -Gambar hiasan/Raja Faisal Hishan Tragedi yang berlaku itu membuatkan kehidupannya berubah. “Baru aku tahu, kenapa dia yang paling excited nak aku ambil lesen. Sebab aku yang hantar dia pergi klinik waktu tu dalam keadaan yang penuh hiba. “Selepas dua tahun tujuh bulan terlantar, ayah pun menghembuskan nafas terakhir di dalam dakapan ibu aku dan di hadapan mata aku,” katanya. Merupakan anak tunggal dalam keluarga, Wanis menyatakan dia kini mengikuti pengajian di peringkat ijazah. Rata-rata warga maya meluahkan rasa sedih di ruangan komentar. Menyedari kisahnya mendapat perhatian warga maya, dia yang pada awalnya terkejut turut menzahirkan ucapan terima kasih dengan setiap kata-kata positif dan doa yang dititipkan untuknya sekeluarga. Malah dia turut menyelitkan ucapan yang meruntun hati warga maya. “Ayah, hari ni lima tahun dah kita ada lesen. Kita pun dah bawa ibu jalan-jalan... kita jaga ibu untuk ayah ye,” luahnya. Menjengah ke ruangan komen, selain menitipkan doa dan kata-kata semangat, beberapa warga maya menyatakan mereka tidak menyangka pengakhiran kisah Wanis begitu menyedihkan. “Saya ingat cerita yang berakhir dengan comel dan gembira tetapi... al-Fatihah. Semoga arwah ayah berada dalam golongan yang mendapat keredaan Allah. “Sis, I didn't expect the ending. Allahu, sedihnya kisah ni. Tadi dah nak tergelak baca awal-awal... masuk paragraph lain terasa nak nangis. “Ya Allah tak sangka ending dia sedih macam ni. “Mula-mula aku ingat cerita dia lawak tapi apabila baca sampai habis... Allahu bergenang, semoga awak dan ahli keluarga sihat sejahtera,” ujar beberapa warga maya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube