suria

Pengantin lelaki hati tisu, menangis kakak pakaikan bedak... Si bongsu rindu arwah ibu - “Terbayang macam mak ada dekat belakang”

Sufri menangis di hari bahagianya kerana rindukan arwah ibu.

GUGUR air mata seorang pengantin lelaki apabila disentuh manja kakak sulung seusai memberi solekan ringkas pada wajahnya.

Menurut Sufri Jamaluddin, 26, momen tersebut secara tiba-tiba menjentik rasa rindunya terhadap arwah ibu yang pergi buat selama-lamanya empat tahun lalu.

Ketika dihubungi mStar, dia yang senang disapa Sufri menceritakan semula kisah di sebalik video pada hari pernikahannya 30 September lalu.

"Video tu dirakam ketika tengah buat persiapan sebelum nak akad nikah. Kakak saya yang sulung tolong mekap sikit sebelum majlis bermula.

"Masa tengah touch up bedak supaya tak nampak berminyak tu... dia gosok muka dalam keadaan saya tengah pejam mata. Momen tu buatkan saya terasa macam arwah mak yang tolong pakaikan bedak masa kecil-kecil dulu.

sufri 2

Sufri ditenangkan bapa dan rakan-rakannya kerana tidak dapat menahan sebak.

"Lagi sedih apabila kakak goyangkan pipi saya... dia gurau cakap alolo adik kecik ni. Apabila dia buat macam tu... gugurlah air mata saya teringatkan mak," katanya kepada mStar.

Mengakui dia begitu rapat dengan ibu, Sufri berkata masih menangis apabila mengenangkan arwah tidak dapat bersama pada hari bahagianya.

Malah kata pemuda yang berasal dari Bukit Sagu, Kuantan, Pahang itu, dia beberapa kali terpaksa ditenangkan oleh kakak dan rakan-rakan baiknya sewaktu majlis berlangsung.

ARTIKEL BERKAITAN: Anak terkilan ibu tak sempat tengok majlis nikah, tapi terharu lihat gambar telaga dalam handphone arwah - “Mak tak sempat masak ayam pecel”

ARTIKEL BERKAITAN: Kasihan pengantin baharu menangis penat jaga suami, pikul tugas isteri! Biasa bangun 11 pagi ibu dah buat semua

"Saya dengan mak memang rapat memandangkan saya anak bongsu. Saya manja dengan dia sampaikan makan pun bersuap. Jadi apa-apa saya lakukan pun memang dah terbiasa buat dengan mak sejak kecil.

"Masa sebelum akad nikah tu memang agak lama saya menangis depan kakak. Lepas selesai akad nikah dan taklik pun saya menangis lagi sekali terbayang macam mak ada dekat belakang tengah tengok.

sufri 3

Sufri terkilan apabila ibunya tidak dapat melihat dirinya yang kini berjaya menjadi askar.

"Kakak dan kawan-kawan yang rapat daripada kecil yang ada masa majlis tempoh hari terpaksa pujuk untuk tenangkan saya dan bagi semangat," ujarnya lagi.

Menurut Sufi, ibunya Sarimah Man meninggal dunia pada usia 57 tahun akibat sakit buah pinggang, darah tinggi dan mengalami masalah paru-paru pada 2019.

Dia yang berkhidmat sebagai anggota bomba KB19 selama empat tahun terkilan apabila ibunya tidak sempat melihat dia mencapai kejayaan.

Saya manja dengan mak sampaikan makan pun bersuap.

SUFRI

"Dulu mak janji dengan saya dia nak teman dan belanja baju kemeja baharu untuk temuduga kedua ujian lisan. Tapi yelah... dia tak sempat nak tunaikan semua tu sebab mak 'pergi' dulu.

"Memang ralat juga mak tak sempat tengok saya berkahwin dan jadi bomba. Masa arwah masih ada, saya pernah cakap yang kalau dah ada duit gaji sendiri nanti nak belanja mak pergi jalan-jalan.

sufri 4

Sufri dan pasangannya melangsungkan perkahwinan pada 30 September lalu.

"Tapi saya pujuk hati semula dengan fikirkan saya sempat jaga mak dua hingga tiga bulan sebelum dia meninggal dunia. Saya anggap itu rezeki saya sebagai anak boleh jaga mak masa sakit," imbasnya.

Jelas Sufri yang memiliki empat lagi adik beradik, kakak sulungnya seolah-olah menjadi pengganti sejak ketiadaan ibu.

Maka tidak hairanlah mengapa dia mengalirkan air mata ketika dibelai kakak pada hari pernikahannya hingga video yang dkongsikan di TikTok meraih lebih 262,000 tontonan.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain