AKIBAT ingkar pesanan ibu, lima daripada 12 adik-beradik berdepan detik cemas yang boleh membawa maut apabila mereka terkena renjatan elektrik ketika bermain di luar rumah. Menurut cerita salah seorang mangsa, Nurul Atiqah Mukhtar, ketika kejadian ibu bapanya tiada di rumah kerana keluar bekerja. Jadi tugas menjaga adik-adik diamanahkan kepada kakaknya dikenali sebagai Balqis yang pada ketika itu berusia 12 tahun. "Sebelum mak pergi sekolah dia ada pesan dekat kakak saya. Jaga adik-adik dekat rumah sebab mak dan ayah nak pergi kerja ni. Kalau ada apa-apa jadi beritahu jiran. "Masa tu tak ada telefon lagi... mak saya pesan banyak kali. Tak pernah dia bagi pesanan begitu. Seolah-olah nasihat macam ada sesuatu nak jadi. Wanita ini menunjukkan keadaan rumahnya yang bertembok. "Mak saya pesan banyak kali jangan keluar. Tak pernah bagi pesanan banyak kali macam tu. Tapi biasalah kami masih budak-budak masa tu, nakal sikit," ujarnya ketika dihubungi mStar. Mengimbas kembali insiden 25 tahun lalu, Atiqah yang merupakan anak ketujuh bersama Balqis dan adik-adik mereka iaitu Ite, Kimi dan Yasin tetap keluar dari rumah sewaktu kedua-dua ibu bapa mereka yang berkhidmat sebagai guru berada di sekolah. Kata Atiqah ketika mereka bermain di halaman rumah, salah seorang adiknya iaitu Kimi cuba memanjat tembok pagar untuk keluar. "Rumah kami ada tembok pagar yang dipasang lampu. Tapi lampu pada salah satu satu tembok tu dah tercabut, wayarnya terkeluar. ARTIKEL BERKAITAN: Ajal bersama... Dua pekerja gerai burger maut terkena renjatan elektrik ARTIKEL BERKAITAN: Jiran saksi 3 beradik kena renjatan elektrik, ibu dedah sebelum kejadian seorang anaknya ada bercakap tentang mati "Masa Kimi panjat tembok tu, dia sudah terkena sedikit renjatan elektrik. Dia kemudian beritahu kami. Adik saya sorang lagi iaitu Yasin tanya dekat tembok mana yang ada elektrik tu. "Masa Kimi nak tunjuk tempat berkenaan dari jarak dekat, tangan dia seolah-olah disambar arus elektrik. Tangan dia terus genggam wayar elektrik tadi. Kami menyaksikan badan dia bergegar-gegar sampai naik biru," kata Atiqah lagi. Tambah Atiqah yang pada ketika itu berusia 10 tahun, dia yang berada dalam keadaan panik meminta Yasin untuk mengambil air kerana menyangka ia boleh berfungsi untuk menhentikan arus elektrik. "Disebabkan masih di Tahun 4, saya tak faham mengenai elektrik. Saya ingat boleh simbah air je untuk selesaikan masalah. Kami semua menangis berpelukan... masa tu anggap Allah nak selamatkan dan panjangkan umur. NURUL ATIQAH "Kemudian ketika saya cuba selamatkan Kimi dengan pegang badan dia, saya pun kena renjatan. Seorang lagi adik perempuan iaitu Ite yang pegang pun terkena juga. "Mujurlah Yasin tak sempat ambil air. Kalau dia simbah mesti lagi teruk," jelasnya. Cerita Atiqah lagi, dalam kekalutan itu mereka bersyukur apabila Balqis yang berada di Tahun 6 pada ketika itu segera menggunakan sebatang kayu untuk menyelamatkan adik-adiknya. "Mujur Balqis baru belajar tentang elektrik dalam subjek sains, dia ambil kayu dan pukul badan saya dan Ite. Kami berdua akhirnya terlepas daripada arus elektrik. "Yang akhir sekali Balqis pukul Kimi yang mula-mula kena renjatan elektrik tu... dengan izin Allah dia pun terlepas. Saya tak ingat berapa lama dalam situasi tu sebelum kena pukul masa kena renjatan elektrik. Atiqah menceritakan situasi berlaku sewaktu adiknya terkena renjatan elektrik. "Kami semua menangis berpelukan. Masa tu anggap Allah nak selamatkan dan panjangkan umur. Kami baring dan ketakutan tunggu mak ayah balik," katanya dalam nada sebak. Jelas Atiqah, sejak insiden itu ibu bapanya tidak lagi meninggalkan mereka bersendirian tanpa pengawasan orang dewasa. Tegasnya, perkongsian dibuat hanyalah bertujuan untuk berkongsi kenangan lampau bersama adik-beradik serta untuk dijadikan pengajaran supaya mendengar pesanan ibu bapa. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube