SIAPA sangka serangga seperti cengkerik mampu menjadi penghubung kasih dan pengikat silaturrahim antara bapa dan anak. Percaya atau tidak, begitulah yang berlaku pada seorang anak yang saban waktu menerima pesanan yang sama daripada bapanya. “Balik nanti beli cengkerik,” tulis si bapa secara ringkas menerusi aplikasi WhatsApp. Menerusi perkongsian di laman sosial, seorang wanita memuat naik beberapa tangkap layar perbualan bersama bapanya sejak tahun 2020, sehingga mengundang pelbagai reaksi netizen. Tangkap layar mesej bapa Sarah. Berkongsi cerita, wanita bernama Sarah Ashiqin Salleh berkata, perkongsian koleksi mesej tersebut di TikTok dibuat sekadar suka-suka mengikut trend perbualan bersama ibu bapa atau keluarga. Mesra disapa Sarah, dia mengakui selama ini bapanya yang berusia 59 tahun itu hanya menghantar mesej di WhatsApp bagi meminta dia membelikan serangga berkenaan. “Ayah saya sebenarnya bukan jenis banyak bercakap, termasuklah dalam mesej. Memang dia akan mesej minta belikan cengkerik je. “Saya pula tinggal serumah dengan ayah. Jadi kebanyakan masa kami berbual di rumah atau keluar bersama, ayah suka bercakap depan-depan,” katanya ketika dihubungi mStar. Sarah merupakan penasihat jualan Proton. Tambah Sarah yang berusia 26 tahun, bapanya meminta untuk dibelikan sejumlah cengkerik untuk dibuat makanan burung. ARTIKEL BERKAITAN: Macam Aquaman! Dah 20 tahun pakcik ni tak jemu berteriak panggil ‘Titi’... laung azan 3 kali sehari pun masih ada kudrat - “Lebihan makanan beri anjing jalanan” ARTIKEL BERKAITAN: Sayu burung hantu terkulai layu di tengah jalan, pencinta haiwan cuba dapat bantuan sana sini tapi akhirnya hanya linangan air mata Jelas Sarah lagi, bapanya yang bekerja sendiri memelihara burung murai di rumah sebagai satu-satu hobinya. “Ayah bela burung murai sejak saya bersekolah menengah. Dia minta saya belikan cengkerik untuk diberi makan kepada burung-burung. “Kedai makanan haiwan jual cengkerik tu dekat dengan tempat kerja saya dan biasanya singgah beli dalam perjalanan pulang ke rumah,” ujarnya yang berasal dari Rawang, Selangor. Ayah bukan jenis banyak bercakap, termasuklah dalam mesej. Memang dia akan mesej minta belikan cengkerik je. SARAH ASHIQIN SALLEH Menurut anak kedua daripada tiga beradik itu lagi, bapanya mempunyai kira-kira 15 ekor burung murai, sekali gus menjadikan sekitar kediamannya meriah dengan kicauan burung setiap hari. “Karakter ayah dengan burung memang berbeza. Ayah lebih banyak berdiam, tak banyak cakap... burung-burung belaan dia pula bising tapi meriah. “Ayah ni nampak je garang dan tegas, tapi dia peramah orangnya. Yang penting ayah tak cerewet terutama soal makanan,” ujarnya sambil menambah burung-burung tersebut memberi ketenangan kepada bapanya. Antara komen netizen. Sarah yang juga penasihat jualan Proton di Rawang mengakui terhibur dengan komen-komen netizen, namun pada masa sama sebahagiannya mengundang sebak. “Ada yang kata mesej-mesej itu akan dirindui suatu hari nanti. Saya bersimpati juga kepada mereka yang dah tak ada ayah lagi, mendoakan arwah ayah mereka,” katanya yang melabelkan dirinya sebagai runner cengkerik. Dalam pada itu, Sarah turut mengulas mengenai komen netizen mengenai cara mudah bakal suami untuk mengambil hati bapanya dengan mempunyai hobi membela burung. “Bakal suami tak perlu minat burung atau jadi pencinta burung. Macam saya katakan ayah saya ni tak cerewet, asalkan dia okay dan saya suka, cukup bagi dia. “Macam abang ipar, dia bukan minat burung pun tapi jadi menantu. Yang penting bakal suami yang bertanggungjawab, sabar, memahami dan pemaaf,” katanya yang enggan mengulas mengenai statusnya. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube