suria

Anak arwah Aziz Desa tunjuk bukti dihubungi penganjur APBN, siap minta gambar HD... Disuruh ikut garis panduan foto pemenang anugerah

Zhiddin menjawab isu pencalonannya dalam kategori yang digugurkan dalam APBN 2023.

MAJLIS Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) 2023 sedikit tercalar apabila salah seorang finalis mempertikaikan penganjurannya.

Umpama rumah sudah siap tapi pahat masih berbunyi, pempengaruh media sosial, Zhiddin Aziz kini tampil membuktikan dia pernah dihubungi Sekretariat APBN di bawah Jabatan Belia dan Sukan KBS bagi memaklumkan tentang status pencalonannya untuk kategori Ikon Belia Influencer (Media Sosial).

Menerusi penjelasan di TikTok, Zhiddin turut mendakwa dia mendapat tahu mengenai kemenangan lebih awal.

Zhiddin menerima jemputan ke majlis penyampaian APBN 2023.

Terang anak kepada personaliti televisyen, Allahyarham Aziz Desa itu, dia bersama pencabar bagi kategori yang disertainya dihimpunkan dalam satu grup WhatsApp sebelum majlis diadakan.

“Kan kalian wujudkan grup WhatsApp dan dalam grup tersebut, kalian kumpulkan finalis untuk kategori yang saya sertai.

“Saya ni ramah orangnya dan saya pun bermesra dengan saingan, tanya ada dapat call daripada KBS (Kementerian Belia dan Sukan) tak? Mereka (jawab) tak dapat,” katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Tidak penuhi kriteria punca anak arwah Aziz Desa tak naik pentas... Penganjur rahsia pemenang sebelum majlis

ARTIKEL BERKAITAN: Anak arwah Aziz Desa terkilan dah tempah baju ribuan ringgit tapi anugerah batal saat akhir

Mengulas lanjut Zhiddin atau nama lengkapnya Mas Zhiddin Zhiddan berkata, dia juga dimaklumkan pihak penganjur ada menghantar email kepada beberapa finalis bagi memaklumkan tentang status pencalonan mereka.

“(Saya tanya) ada dapat emel tak? (Mereka beritahu) ada, emel kata tidak berjaya. Ada dia minta gambar (kualiti) HD tak? Tak ada. Setiap finalis beri jawapan yang sama, dapat emel berbentuk ‘anda tidak berjaya’.

“Saya seorang sahaja dapat emel ‘anda dijemput ke majlis penyampaian anugerah', dan hanya saya satu-satunya finalis yang mereka minta gambar,” ujarnya.

Garis panduan foto pemenang anugerah.

Dalam rakaman video berdurasi satu minit dan 28 saat itu, Zhiddin turut mendedahkan tangkap layar kiriman emel bagi meminta dia untuk menyediakan gambar dengan garis panduan foto pemenang anugerah untuk paparan skrin pentas utama.

“Jadi tak akan saya nak tipu diri sendiri bahawa saya bukan pemenang. Sedangkan dalam ramai finalis yang ada, saya saja yang dapat emel macam tu, saya saja yang diminta untuk hantar gambar HD.

Saya seorang sahaja dapat emel jemputan dan hanya satu-satunya finalis yang mereka minta gambar.

ZHIDDIN AZIZ

“RM500 juga la habis sekali dengan beli baju baharu. Mesti la kena segak sebab gambar akan dipaparkan sewaktu ambil anugerah.

“Tapi waktu di (majlis) anugerah, tak ada pula gambar ni di skrin, sedangkan gambar ni diminta. Mungkin mereka nak gantung gambar saya di pejabat... anugerah belia paling kecewa,” katanya dalam nada berbaur sindiran.

Terdahulu, Zhiddin melahirkan rasa kesal dan mendakwa anugerah bagi kategori Ikon Belia yang sepatutnya menjadi miliknya dalam majlis yang turut dihadiri Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dan Timbalannya, Adam Adli Abd Halim, digugurkan pada saat akhir.

Apatah lagi dia yang segak berbaju Melayu lengkap dengan tengkolok, ditempatkan di dalam auditorium bersama sekumpulan penerima anugerah, namun dia hampa kerana tidak berpeluang untuk naik ke pentas bagi menerima anugerah bagi kategori yang disertainya.

2384540-3

Tangkap layar video Zhiddin meluahkan kesedihan.

Susulan kekecohan itu, pihak penganjur Sekretariat APBN tampil memberikan penjelasan bahawa Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN sebulat suara memutuskan tiada pemenang bagi dua kategori yang dipertandingkan.

“Tiada pemenang bagi dua kategori iaitu Ikon Belia Influencer (Media Sosial) dan Ikon Belia Sanjungan Budi kerana tiada calon yang memenuhi kriteria ditetapkan.

“Pengumuman semua pemenang anugerah juga hanya diumumkan ketika majlis berlangsung dan tiada pengumuman rasmi dibuat kepada mana-mana pemenang sebelum itu.

“Pemenang bagi setiap kategori di bawah APBN dipilih dan dinilai oleh panel penilai yang mempunyai kepakaran dalam kategori masing-masing sebelum dipersetujui oleh Jawatankuasa Pengesahan Pemenang APBN,” menurut kenyataan itu, pada Sabtu malam.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain