suria

Nampak mesin baru, masih bau kedai... Lelaki tempatan bagi peluang warga Pakistan potong rumput, tembus pasaran mat Bangla

Seorang lelaki mencari rezeki sebagai pekerja pemotong rumput. -Gambar FB Mohd Yazid Ismail

PASANGAN suami isteri ini mendidik anak-anak mereka untuk hidup berdikari termasuklah rajin membuat kerja rumah.

Maka segala tugasan di rumah dilakukan mereka sekeluarga sehinggakan memotong rumput di halaman rumah juga dilakukannya sendiri tanpa mengupah orang luar.

Namun menerusi satu perkongsian, si bapa tergerak hatinya untuk mengupah seseorang bagi memotong rumput di rumah.

“Sebelum ni saya tak pernah upah orang mesin rumput sebab saya buat sendiri. Saya tengok mesin dia masih baharu tak pernah guna, bau kedai lagi.

“Begitulah sunnatullah, Allah akan tolong orang yang berusaha. Allah menggerakkan hati saya untuk guna servis dia, walaupun sebelum ni saya buat sendiri,” tulis seorang usahawan, Mohd Yazid Ismail di Facebook.

Seorang lelaki bertanggungjawab untuk menanggung kehidupan keluarga di kampung. -Gambar hiasan

Cerita Mohd Yazid, di kawasan kediamannya sudah ada pekerja warga Bangladesh yang sering dipanggil untuk melakukan kerja-kerja kasar di kawasan perumahannya.

“Percubaan untuk masuk pasaran yang dah dipegang oleh orang lain, Alhamdulillah dia berjaya pagi ni, dapat rezeki.

“Tiga bulan cari kerja tetap, tapi tak dapat. Dia ambil keputusan cuba kerja mesin rumput. Dia kata saya orang pertama bagi dia job,” katanya lagi.

Susulan perkongsian yang tular, mStar berjaya menghubungi pekerja pemotong rumput yang dikenali sebagai Asim itu.

ARTIKEL BERKAITAN: Rumah besar tapi pelik tiada orang gaji... Rupanya anak-anak jadi ‘bibik’, jawapan suami isteri ini paling ‘deep’

ARTIKEL BERKAITAN: “Pernah kutip tahi ayam dapat upah 50 sen seguni” - 16 anak pak imam walau sekadar makan nasi campur garam, semua bergelar graduan

Menurut lelaki berusia 38 tahun yang berasal dari Pakistan berkenaan dia mempunyai pengalaman lebih 10 tahun mencari rezeki di Malaysia dengan memotong rumput termasuk melakukan kerja-kerja pembersihan.

Pada September lalu dia mendirikan rumah tangga dengan seorang rakyat Malaysia yang berusia 40-an dan mereka kini menetap di Bangi, Selangor.

Sebagaimana yang dikongsi Mohd Yasid, Asim mengakui dia berusaha untuk mencari pekerjaan bagi menampung kehidupannya bersama isteri yang baru dinikahinya.

“Macam-macam pekerjaan saya cari seperti di tempat cuci kereta, nurseri (tanaman pokok) dan cleaner (kerja-kerja pembersihan), tapi tiada yang kosong.

Tak fikir perlu ada harta seperti kereta... saya lebih pentingkan keluarga hidup selesa di kampung.

ASIM

“Saya akhirnya nekad beli mesin potong rumput Khamis minggu lalu untuk kembali kerja potong rumput seperti sebelum ini.

“Saya pusing-pusing di kawasan sekitar Bangi cari orang mahu potong rumput di rumah mereka. Khamis dan Jumaat sudah pusing, tapi tiada yang mahu,” katanya.

Namun kata Asim, tuah berpihak padanya pada Sabtu lalu apabila Mohd Yazid merupakan pelanggan pertamanya dan dia bersyukur kerana rezekinya bertambah selepas itu.

“Saya potong rumput di beberapa rumah pada Sabtu dan Ahad. Alhamdulillah, saya dapat upah RM400,” ujarnya yang melakukan kerja potong rumput di sekitar Bangi dan Kajang.

Mohd Yazid mendidik anak-anak supaya hidup berdikari. -Gambar FB Mohd Yazid Ismail

Asim yang turut boleh melakukan kerja-kerja mengecat memberitahu, kesungguhannya untuk mencari kerja di bumi Malaysia bukan sahaja kerana isteri, tetapi mahu menyara sara hidup ibu dan keluarganya di Pakistan.

“Mak saya berusia 80-an dan ayah sudah meninggal dunia. Masih ada mak dan adik-adik di sana (Pakistan). Isteri saya juga bekerja, ada pendapatan sendiri.

“Kalau saya tak kerja, macam mana nak tanggung isteri? Macam mana saya nak hantar duit ke kampung? Saya hantar duit kepada keluarga di Pakistan supaya mereka hidup gembira.

“Jadi saya kerja potong rumput dengan naik motor. Tak fikir perlu ada harta seperti kereta. Saya lebih pentingkan keluarga hidup selesa di kampung. Alhamdulillah, saya jumpa orang yang baik sangat beri peluang saya untuk potong rumput di rumah mereka,” katanya dengan nada gembira.

Terdahulu, kisah Mohd Yazid pernah tular apabila mendidik anak-anaknya berdikari dan bertanggungjawab, yang mana salah seorang daripada mereka menawarkan diri untuk membantunya ketika sedang memotong rumput di halaman rumah.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain