suria

Terpaling konvo! Graduan USM rakam gambar pra-konvokesyen di konsert Coldplay, tak sia-sia sumbat jubah dalam beg

Syamuel mengabadikan kenangan pra-konvokesyen di konsert Coldplay.

KEHANGATAN konsert kumpulan rock dari United Kingdom, Coldplay masih dirasai dalam kalangan peminatnya di Malaysia.

Ini kerana biarpun konsert yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil pada Rabu sudah pun melabuhkan tirai, namun warga maya masih memperkatakannya di media sosial.

Terbaharu, tular video menunjukkan seorang penonton dilihat berpakaian jubah konvokesyen dalam 'lautan manusia' yang dihadiri seramai 75,000 orang itu.

Gerak-gerinya mencuri tumpuan ramai dan mStar berjaya menjejaki peminat tegar Coldplay berusia 23 tahun dari Pulau Pinang ini.

Syamuel (belakang, tengah) bersama adik-beradik dan sepupu di luar Stadium Nasional Bukit Jalil.

Menurut Muhammad Syamuel Mahdini Mohd Esmadi, dia bakal menghadiri majlis konvokesyen di Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang yang dijadual berlangsung pada Ahad.

Mesra disapa Syamuel, dia bagaimanapun menerima jubah konvokesyen itu pada Rabu minggu lalu, seminggu sebelum konsert Coldplay diadakan.

"Seperti ramai graduan yang buat gambar pra-konvensyen, saya juga tidak terkecuali. Cuma saya tak melancong ke mana-mana untuk bergambar.

"Cuma ada konsert Coldplay sebab dah beli tiket lebih awal. Pada mulanya ia sekadar rancangan saja (gambar pra-konvokesyen) sebab gementar juga sama ada jubah yang tebal dan besar tu lepas dibawa masuk ke stadium," katanya ketika dihubungi mStar.

Keterujaan masing-masing menyaksikan konsert Coldplay.

Namun, graduan Ijazah Sarjana Muda Sains Seni Bina yang hadir ke konsert Coldplay bersama adik-beradik dan sepupu itu reda sekiranya jubah tersebut tidak boleh dibawa masuk.

ARTIKEL BERKAITAN: Graduan UiTM ‘slay’ habis! Terbang ke Bangkok rakam video pra konvo... Sanggup berpeluh-peluh demi ‘content’ level T20

ARTIKEL BERKAITAN: Lengan baju ala ikan laga, satu dewan tertumpu kepada graduan selempang pink! Rupanya busana dipakai ada ‘sejarah’

"Kami datang bersama ibu saudara saya yang menghantar kami. Jadi, kalau jubah konvo tu tak lepas, saya akan serahkan kepada ibu saudara di luar stadium.

"Jubah tu besar, memang penuh apabila dimasukkan dalam beg. Kalau boleh bawa masuk, akan jadi epik dan memori yang tak boleh dilupakan," ujarnya yang berasal dari Sungai Ara di Pulau Pinang.

Gelagat Syamuel ketika merakamkan foto pra-konvokesyen.

Anak ketiga daripada empat beradik itu bersyukur apabila jubah itu boleh dibawa masuk, dan mengambil peluang untuk merakamkan foto sebelum konsert kumpulan antarabangsa itu berlangsung.

"Saya hanya pakai jubah untuk sesi bergambar dekat ralling (pagar) stadium. Nak bergambar semasa konsert risau tak ada peluang sebab ramai nanti.

Berpeluh dan penat, tapi rasa tu hilang sebab teruja.

MUHAMMAD SYAMUEL MAHDINI MOHD ESMADI

"Belum masuk dewan konvo, dah gementar kat stadium. Saya tak fikir apa masa turun tangga ke pagar, hanya mahu bergambar saja," kata Syamuel sambil menambah ia merupakan konsert kedua dihadirinya selepas konsert ratu rock, Ella, baru-baru ini.

Menjadikan Viva La Vida sebagai lagu Coldplay yang paling disukainya, Syamuel yang kini bertugas sebagai pembantu arkitek mengakui terharu apabila dia dihujani ucapan tahniah sepanjang memakai jubah tersebut di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Selain di konsert Coldplay, Syamuel turut bergambar dengan memakai jubah di sekitar Kuala Lumpur.

"Ramai penonton ucap tahniah pada saya. Adik-beradik saya siap beritahu ada yang bersorak ketika saya mengambil gambar.

"Puas hati dan lega sebab dapat tunaikan hasrat untuk foto pra-konvo di konsert Coldplay. Berpeluh dan penat, tapi rasa tu hilang sebab teruja," katanya yang turut berpeluang merakamkan foto pra-konvo selepas konsert berakhir.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain