suria

Susahnya tawan puncak Ledang! Gadis kaki hiking hampir putus asa... Bandingkan dengan Gunung Kinabalu, lebih mudah

Video Nana mendaki Gunung Ledang tular di TikTok.

BAGI kaki hiking, puncak Gunung Ledang di Johor merupakan salah satu destinasi yang patut dikunjungi untuk mencabar kemampuan diri.

Baru-baru ini, seorang gadis dikenali sebagai Nana Jaapar tular di aplikasi TikTok apabila dia berkongsi video semasa pendakiannya ke gunung itu.

Tidak bersendirian, Nana, 25, sebaliknya membawa 31 lagi peserta dalam misi untuk menawan Gunung Ledang sehingga video yang dikongsinya meraih hampir sejuta tontonan.

nana1

Nana bersama peserta yang mendaki Gunung Ledang baru-baru ini.

"Trip Ledang ini saya pergi sebagai crew trip, mewakili Tripbajetmy untuk membawa seranai 31 orang peserta. Kami mula mendaki pukul 8 pagi. Sampai di puncak pada 12.30 tengah hari. Kemudian turun pukul 5 petang.

"Keseluruhannya ambil masa tujuh ke lapan jam pendakian naik dan turun. Trip ini berlangsung pada 25 November. Ia tarikh terakhir pendakian Ledang sebelum ditutup oleh pihak berkuasa Taman Negara.

"Jadi sempatlah kami merasa final chapter sebelum ia ditutup sementara," ujar Nana yang aktif mendaki gunung-gunung di sekitar Malaysia serta Indonesia sejak tahun 2018.

Trek hiking Ledang sangat menguji kesabaran kaki. Ya Allah nangis saya naik.

NANA JAAPAR

Menurut gadis yang menetap di ibu negara itu, dia beranggapan trek pendakian ke Gunung Kinabalu di Sabah lebih mudah berbanding misi menawan Gunung Ledang gara-gara tidak sempat membuat persediaan rapi.

Imbas Nana, dia dan para peserta berdepan cabaran getir yang bukan sahaja menguji fizikal, malah turut memberi kesan mental sehingga ada yang hampir berputus asa dalam misi berkenaan.

"Ledang lagi susah berbanding Kinabalu. Mungkin sebab saya dah buat persediaan dan latihan sebelum ke Kinabalu. Trek di Kinabalu bertangga, tak perlu panjat batu atau berpaut pada tali. Berbeza dengan Ledang yang kena panjat batu dengan tali yang berketinggian bangunan empat tingkat.

ARTIKEL BERKAITAN: “Saya pejam mata, duduk tepi, bertenang” - Pergi hiking nak layan sunset, gadis terkejut tengok balik video selepas pulang... rupa-rupanya ramai ada pengalaman sama

ARTIKEL BERKAITAN: Dah masuk banyak hutan, tawan 6 gunung tanpa gangguan... pemuda pencinta alam mengaku ‘goyang’ terserempak gajah

"Trek hiking Ledang sangat menguji kesabaran kaki. Ya Allah nangis saya naik. Ia sangat menguji mental dan fizikal. Saya hampir putus asa tapi ada local guide yang push, akhirnya sampai juga saya di puncak. Alhamdulillah," ceritanya.

Akhir bicara, Nana turut menitipkan pesan kepada para pendaki, khususnya kaum Hawa agar memberanikan diri untuk meneroka pengalaman baharu.

Imbas Nana, dia juga bermula dengan kosong, namun perlahan-lahan menimba pengalaman selepas 'berguru' dengan mereka yang lebih senior dalam aktiviti itu.

nana3

Nana juga pernah menawan gunung-gunung di negara jiran.

"Saya mula hiking selepas sekolah dan masa tu saya tiada langsung kawan hiking. Jadi saya cuba explore dan beranikan diri pergi ikut open trip hiking seorang diri tanpa ditemani kawan. Saya cuba pergi sendiri dan kenal kawan-kawan baru semasa hiking trip.

"Nasihat saya sebagai perempuan, memang pergerakan kita agak terhad lagi-lagi kalau keluarga tak izinkan atau yang tak berani pergi seorang tanpa kawan. Kita kena cuba, sebab kalau tak cuba, kita tak tahu nak terokai alam semula jadi... dunia hiking ni seronok sebenarnya.

"Saya start join hiking random group sampailah sekarang jadi crew untuk bawa orang pergi hiking. Jadi saya sangat sokong kalau ada orang perempuan yang pertama kali nak hiking walaupun tak ada kawan. Saya akan ajak mereka join trip dengan saya. Jangan risau kawan boleh dicari," ujarnya lagi.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain