suria

Bakal suami tarik diri, batal kahwin 2 minggu sebelum majlis... Wanita kecewa terus pergi ‘healing’ tengok konsert

Maiya hadir ke konsert bagi mengubati hati yang terluka.

TIDAK semua yang kita rancang akan menjadi kenyataan termasuklah isu berkaitan jodoh.

Lebih mendukacitakan apabila perkahwinan yang dirancang terpaksa dibatalkan pada saat-saat akhir atas kehendak pasangan kita.

Selain menanggung malu, sudah pasti kita berdepan dengan kekecewaan apabila hubungan yang terjalin sekian lama terputus di tengah jalan.

Begitulah nasib wanita bernama Maiya yang 'membawa diri' ke sebuah konsert di ibu kota untuk merawat hatinya yang berduka lara.

Maiya akur dengan takdir tidak dapat melangsungkan perkahwinan pada hujung tahun ini.

Menerusi perkongsian di TikTok, wanita berkenaan merakamkan momen dia menyanyikan lagu Untuk Mencintaimu nyanyian kumpulan dari Indonesia, Seventeen.

"Sepatutnya tarikh 23 Disember saya kahwin. Tapi dia cancel (batalkan) perkahwinan dua minggu sebelum," ujarnya menerusi ruangan kapsyen.

Enggan membiarkan netizen berteka-teki tentang punca perkahwinannya dibatalkan, mStar mendapatkan Maiya bagi mendengar sendiri cerita sebenar dipihaknya.

ARTIKEL BERKAITAN: Wanita batal kahwin kerana gurauan rakan, alami depresi dan kemurungan

ARTIKEL BERKAITAN: Seminggu lagi nak kahwin, gadis pasrah bakal suami batal nikah kerana tolak ajakan seks

Namun, Maiya memilih untuk tidak mengulas lebih lanjut berkenaan isu berkenaan.

Bagaimanapun tegas Maiya dalam mesej dihantar kepada mStar, perpisahan yang berlaku bukanlah disebabkan isu curang atau campur tangan pihak lain.

"Yang penting bukan sebab orang ketiga. Anggap sahaja tak ada jodoh.

"Mungkin kami tidak ditakdirkan untuk satu sama lain," katanya lagi.

Yang penting bukan sebab orang ketiga... anggap sahaja tak ada jodoh.

MAIYA

Menjengah ke ruangan komen pada posting yang meraih hampir setengah juta tontonan itu, rata-rata warga maya bersimpati dengan nasib yang menimpanya.

Justeru ramai yang mendoakan agar Maiya diberikan jodoh lebih baik pada masa akan datang.

"Semoga jumpa jodoh yang lebih baik. Terus bergerak ke hadapan ye.

"Allah nak jodohkan awak dengan lelaki lebih baik. Ada hikmah semuanya ini. Semoga awak terus kuat dan jangan sedih-sedih.

Komen netizen di TikTok.

"Saya baca pun dah sakit hati apatah lagi awak alami. Saya sangat kasihan mendengar kisah awak. Semoga Allah gantikan dengan lebih baik," komen netizen pada video.

Pada 23 Disember baru-baru ini Rapid KL mengadakan Malam Healing Rapid KL di Stesen MRT Kwasa Sentral, Shah Alam, Selangor.

Iamenampilkan artis-artis terkenal iaitu Faizal Tahir, Najwa Latif, Kaka Azraff dan beberapa jemputan lain.

Malam Healing yang dianjurkan oleh syarikat pengangkutan awam itu mengumpulkan penonton di Malaysia yang terluka dan kecewa untuk ‘healing’ bersama-sama di stesen tersebut.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain