suria

Lebih 300 tetamu jatuh sakit, lumpuh selepas seminggu makan kenduri... Rupanya rebung jadi punca!

Dr Aishah (gambar kecil) berpesan agar orang ramai berhati-hati dalam penyediaan hidangan berasaskan rebung.

REBUNG biasanya dihidangkan sebagai salah satu menu sewaktu majlis kenduri di kawasan-kawasan kampung.

Selain masak lemak, rebung yang dijadikan acar dan gulai juga enak dimakan bersama nasi panas sehingga ia menjadi menu popular di negara ini.

Namun harus waspada kerana rebung juga boleh menyebabkan alahan kepada pemakannya jika tidak dimasak dengan baik.

Terbaharu, pakar perubatan kesihatan awam, Dr Aishah Abas tampil membuat perkongsian tentang kes keracunan rebung yang pernah berlaku di negara jiran.

rebung3

Menu rebung sering jadi pilihan sewaktu kenduri di kawasan kampung.

"Siapa sangka makan rebung masa kenduri menyebabkan 309 penduduk kampung jatuh sakit, 34 orang masuk hospital dan 42 orang lumpuh sampai perlukan bantuan pernafasan.

"Inilah kisah benar yang terjadi dekat penduduk kampung di Daerah Bang Lluang, dekat Thailand pada 2006. Mereka ada kenduri dan makan rebung yang diletakkan di dalam tin. Tak dimasak properly," ujarnya memulakan bicara.

Menurut Dr Aishah, tetamu majlis itu tidak menunjukkan sebarang simptom pada hari kejadian, sebaliknya mula jatuh sakit seminggu kemudian.

Anda kena pastikan rebung yang dimakan dimasak secukupnya, at least 30 minit atas api.

DR AISHAH ABAS

Ekoran peningkatan jumlah pesakit dengan simptom serupa, pihak kesihatan negara itu terpaksa membuat siasatan sebelum menyimpulkan bahawa rebung merupakan puncanya.

"330 orang datang kenduri, tapi mereka tak sakit terus lepas balik kenduri. Seminggu lepas kenduri baru mereka mula ada simptom seperti muntah, loya, dan yang paling teruk sampai tak boleh berjalan.

"Lepas seminggu kan, kalau saya jadi doktor kat situ, memang saya akan blur. Apa yang jadi ni, kena sumpahan ke? Nasib baik ada epidemiologist atau kita kata pegawai epid pakar perubatan kesihatan awam masa tu memang tengok trend ni macam pelik, macam ada sesuatu yang tak kena.

ARTIKEL BERKAITAN: Geram tengok cendawan gebu tumbuh tepi rumah, isteri masak jamu sekeluarga... Rupanya beracun! - “Saya panik, suami dah lemah longlai”

ARTIKEL BERKAITAN: Topik ‘sindrom nasi goreng’ tiba-tiba viral di TikTok... Rupanya keracunan makanan yang boleh bawa maut!

"Mereka pun jalankan siasatan, apa kaitan yang terjadi masa kenduri tu, apa yang menyebabkan mereka semua sakit? Tindakan mesti kena buat cepat sebab orang dah mula lumpuh.

"Mereka akhirnya dapat diagnosis sebenarnya kena racun dengan clostridium botulinum," ceritanya lagi.

Menurut Dr Aishah, semua pesakit yang dirawat akhirnya kembali pulih selepas diberi anti toksin oleh pakar perubatan di sana.

Akhir bicara, Dr Aishah turut memberi pesanan kepada penggemar rebung agar lebih berhati-hati, sekali gus mengelakkan kejadian sama berulang lagi.

"Apabila tengok balik bukan satu kes kat Thailand saja. Keracunan makanan yang disebabkan botulinum toksin ni sebenarnya dah berlaku dekat Mesir pada 1991, menyebabkan 90 orang keracunan.

doctor aishah

Dr Aishah berkongsi kisah itu menerusi TikTok.

"Elak mengambil rebung dalam tin jika didapati berubah bau, warna, rasa atau tin sudah kembung. Walaupun spora C. botulinum adalah tahan haba.

"Toksin yang dihasilkan oleh bakteria yang tumbuh daripada spora dalam keadaan anaerobik ini boleh dimusnahkan dengan memanaskan makanan pada suhu 176°F (80°C) selama 30 minit atau 212°F (100°C) selama 10 minit.

"Langkah ini dapat untuk mengurangkan risiko penyakit bawaan makanan ini," ujarnya.

Sehingga kini, video yang dikongsi menerusi TikTok Dr Aishah menerima hampir 40,000 tontonan dan turut dipenuhi komen-komen netizen Malaysia.

"Mama saya suka makan rebung rebus cicah budu, katanya baik untuk kesihatan.

"Masak lemak rebung campur udang, sedap. Tak dimasak makan mentah-mentah, memang bahaya la.

"Kita repost untuk manfaat orang lain," tulis beberapa netizen.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain