TAHUN 2023 menyaksikan ramai individu mengambil keputusan untuk mendirikan rumahtangga dengan pasangan pilihan hati masing-masing. Dalam kebanyakan perkahwinan dilangsungkan, terdapat pelbagai keunikan terselit hingga menjadikan kisah mereka tular apabila ia mendapat perhatian ramai. Sebelum memasuki tahun baharu 2024, mStar himpunkan semula lima kisah pasangan yang berkahwin sepanjang 2023. 1.Wanita kahwini jejaka Bangladesh Benarlah kata orang, kalau sudah tertulis jodoh pastinya tidak ke mana. Kisah penyatuan cinta wanita tempatan, Nur Nadhirah Roslee, 26, dan pasangannya yang merupakan jejaka Bangladesh, Mohammad Samim Hossain, 25 menjadi viral di media sosial. Nad dan suaminya bernikah di Joypurhat, Bangladesh. Menurut wanita mesra disapa Nad itu, bibit-bibit cintanya berputik adalah ketika dia dengan Samim sama-sama bekerja di sebuah kilang sekitar tahun 2018. Bagaimanapun pada awal hubungan, mereka pernah ditentang ibu Nad namun akhirnya merestui percintaan itu dengan hati terbuka. Sebagaimana diceritakannya kepada mStar, percintaan pasangan ini membawa kepada sebuah perkahwinan apabila mereka dinikahkan di Joypurhat, Bangladesh, 29 Mei lalu. 2. 'Syafiq Kyle' nikahi gadis sekampung Turut menjadi tumpuan ramai adalah perkahwinan seorang pemuda yang pernah dikaitkan mempunyai wajah seiras dengan pelakon Syafiq Kyle pada April lalu. Jejaka viral bernama Zukhairi Zulkifli, 24, itu memilih gadis sekampung, Aifa Nazirah, 22 yang sama-sama menetap di Terengganu sebagai pasangan hidup. Pengantin lelaki ini pernah tular sebelum ini kerana memiliki wajah mirip Syafiq Kyle. Menurut cerita isterinya ketika ditemubual oleh mStar sebelum ini, suaminya digelar Syafiq Kyle Cabang Tiga kerana bekerja di sebuah stesen minyak Shell di Cabang Tiga, Kuala Terengganu. Turut menjadikan kisah Zukhairi lebih hangat apabila pernikahannya tular pada Ogos selepas pelakon Syafiq Kyle membatalkan perkahwinan dengan aktres, Mimi Lana. 3. Pengkid kahwini mak nyah Kisah seorang bekas mak nyah berkahwin dengan wanita berperwatakan lebih maskulin juga menghiasi tahun 2023. Adam, 40, atau lebih mesra disapa sebagai Danny berkahwin dengan wanita bernama Nurazearah Fateha, 22, atau Yan pada 15 Julai lalu di Ulu Remis, Kluang, Johor. Pasangan ini menjadi tular di media sosial apabila memutuskan untuk berkahwin. Jelas Danny yang menganggapkan mereka sebagai pasangan istimewa, dia berhasrat untuk memimpin Yan ke arah lebih baik. Namun, jodoh pasangan viral ini tidak panjang apabila tempoh perkahwinan mereka hanya bertahan selama dua minggu sahaja. Danny melafazkan cerai talak satu kepada isterinya pada 30 Julai lalu atas sebab-sebab yang tidak didedahkan. 4. Genius matematik Adi Putra kahwin Siapa tidak kenal dengan genius matematik, Adi Putra Abdul Ghani ini? Meskipun namanya kurang mendapat perhatian sejak beberapa tahun kebelakangan ini, namun perkahwinan Adi, 24, dengan gadis pilihan hatinya, Siti Sarah Zurkarnain, 27 pada 2 November lalu turut menarik perhatian ramai. Adi berkahwin dengan pasangannya Sarah selepas lapan tahun berkenalan. Majlis pernikahan pasangan mempelai ini berlangsung di kediaman Sarah di Lundang, Kota Bharu, Kelantan dengan wang hantaran berjumlah RM9,999.99. Sebelum ini, Adi ketika ditemuramah mStar menjelaskan bahawa dia mengenali pasangannya itu sejak lapan tahun lalu menerusi laman sosial Instagram sebelum mengikat tali pertunangan pada 19 Julai tahun ini. 5. Musa Hassan naik pelamin lagi Tidak dilupakan juga, Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan yang melangsungkan perkahwinannya dengan pasangan pilihan hati, Nur Qistina Lim. Dalam majlis perkahwinannya berlangsung pada 24 September, Musa dalam ucapannya menyatakan kesyukuran kerana isterinya diberikan hidayah memeluk Islam walaupun sesi perkenalan mereka hanyalah dalam tempoh singkat. Musa berkahwin dengan pilihan hatinya yang dikenali dalam tempoh singkat. Majlis perkahwinan berlangsung di sebuah hotel di Shah Alam, Selangor, dengan dihadiri ramai jemputan terdiri daripada tetamu VIP, sanak saudara dan sahabat. Untuk rekod, ini merupakan perkahwinan kali ketiga Musa yang mana isteri pertamanya, Juriah Ahmad meninggal dunia pada 2 Mei 2019 sebelum berkahwin buat kali kedua dengan Elly Afizahwati Abdul Jalil, 42. Bagaimanapun, Elly memfailkan permohonan cerai di Mahkamah Rendah Syariah selepas 10 tahun bersama pada 30 Mac lalu kerana faktor shiqaq atau perbalahan berpanjangan. Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube