suria

Video suami isteri bawa anak kecil mengemis tular, Zakat Selangor segera cari... Tapi lain pula yang dijumpai

Lembaga Zakat Selangor pantas bertindak mencari pasangan gelandangan dengan anak kecil.

PLATFORM media sosial ada kalanya merupakan talian hayat kepada mereka yang memerlukan.

Dengan bantuan kuasa tular, pihak berwajib boleh cakna mengenai isu berkaitan dan segera menyalurkan bantuan yang bersesuaian.

Baru-baru ini di laman X, hangat tersebar video pendek memaparkan sebuah keluarga dengan anak kecil duduk di kaki lima kedai, dipercayai di sekitar Ampang Point, Selangor.

Keluarga gelandangan yang mendapat perhatian ramai.

Diperhatikan mereka menagih simpati daripada orang yang lalu-lalang.

Keadaan itu berjaya menarik perhatian seorang individu untuk memberikan derma berupa wang tunai.

"Berat mata memandang, berat lagi bahu yang memikul. Nampak si suami tu macam ada masalah penglihatan, mungkin buta. Semoga Allah melindungi dan murahkan rezeki keluarga ini.

"Hebat, isteri setia di sisi suami walau ketika susah dan senang. Mana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), cepat buat kerja," kata warga maya tersentuh hati.

ARTIKEL BERKAITAN: Pakcik misteri dekati pemuda sedang melepak, buat permintaan aneh! Persoalan terjawab selepas hantar ke pusat zakat

ARTIKEL BERKAITAN: Asnaf buat perangai, 7 kali kena halau tuan rumah... Zakat Selangor terpaksa jawab, dituduh biar Abang Kasturi tinggal bawah jambatan

Perkongsian itu tular hingga menarik perhatian Lembaga Zakat Selangor (LZS) untuk turut padang bagi melihat sendiri keadaan keluarga terbabit.

Namun, pencarian anggota LZS tersebut dikecewakan kerana keluarga itu sudah tidak lagi kelihatan di kawasan berkenaan.

"Kami terima info cakap keluarga itu berada di hadapan Maybank cawangan Ampang Point, jadi kami pun pergi untuk menyantuni mereka. Tapi apabila sampai, sudah tidak kelihatan kelibat keluarga tu.

Kebanyakan orang Malaysia kalau minta sedekah ni sebab betul-betul terdesak.

WARGA MAYA

"Kami masuk tanya pengurus bank, mereka kata keluarga tu ada sebelum ni, tapi waktu kami sampai dah tiada. Jadi kami cuba cari di kawasan sekeliling, mungkin mereka dah pindah tempat.

"Tapi lain pula yang kami jumpa," dedah anggota LZS itu menerusi video yang dikongsikan menerusi akaun rasmi mereka.

Menurutnya, dia melihat lambakan peminta sedekah warganegara Rohingya di kawasan sekitar.

"Kami jumpa warga Rohingya peminta sedekah, mereka bawa anak-anak ikut sama duduk di situ (kaki lima kedai). Apabila ditanya, katanya ada rumah.

Anggota Lembaga Zakat Selangor mencari gelandangan yang tular di media sosial.

"Datang ke sini naik teksi, pulang pun naik teksi, musykil kami dengar penjelasan tu. Tak mahu berlengah, kami teruskan pencarian di sekitar Ampang Point.

"Tak lama selepas tu, kami jumpa lagi peminta sedekah di kaki lima, warga Rohingya juga, cuma kali ini dia nampak sedikit uzur," ceritanya.

Melihat kepada situasi itu, anggota LZS berkenaan cuba menitipkan pesanan sebagai satu kesedaran kepada individu tersebut.

"Kami nasihatkan, kalau boleh janganlah duduk dalam keadaan sebegini. Nabi Muhammad SAW larang untuk kita meminta-minta.

Anggota Lembaga Zakat Selangor berbual dengan gelandangan lain yang ditemukan.

"Sebab kalau seperti ini, sedikit sebanyak boleh jatuhkan imej Islam. Kami (LZS) tak boleh bantu kerana kami terikat dengan akta tertentu.

"Maaf ya pakcik, berhati-hati dan jaga diri baik-baik ya," kata anggota LZS tersebut.

Menghampiri penghujung hari, anggota LZS terbabit masih gagal menemukan keluarga gelandangan yang dicari itu.

"Kami pusing sekali lagi di Maybank tu, kami perasan ada keluarga yang iras macam keluarga kami cari tapi rupanya orang lain.

Deretan pujian yang diberikan warga maya ke atas Lembaga Zakat Selangor.

"Jadi begitulah, agak sukar untuk kami cari gelandangan. InsyaAllah kami akan cuba lagi nanti," kata anggota LZS itu menutup bicara.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata warga maya memuji kecekapan anggota LZS tersebut menggalas tanggungjawab yang diamanahkan.

"Terbaik, terharu tengok LZS betul bersungguh nak bantu, masyarakat kita tidak semuanya bernasib baik.

"Kebanyakan orang Malaysia kalau minta sedekah ni sebab betul-betul terdesak. Dapat sikit pun dah bersyukur tak terhingga, asalkan perut terisi.

"Tapi kalau untuk warga asing, meminta sedekah dah jadi tabiat mereka, itu ibarat pekerjaannya," kata sebahagian warga maya.

Jadilah sebahagian daripada geng mStar! Follow kami di Telegram, Twitter, TikTok, Facebook, Instagram dan YouTube

Banyak video best di YouTube mStar! Rugi kalau tak follow. Klik kat sini!

Artikel Lain